foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

Monday, July 7, 2008

POLITIK YANG MAKIN GAWAT..

HR9808@IKRAR - adalah wadah bebas bukan partisan yang memfokus kepada kebajikan rakyat.Singkatan;
IKRAR (Ikatan Kebajikan Rakyat)

8 JUN
Makin gawat politik sebenarnya makin senang pemimpin BN untuk menangguk di air keruh. Suasana ini sengaja diwujudkan agar semuanya hilang kendali. Inilah strategi lapuk yang akan terus diulang-ulang selagi BN menjadi pemerintah Malaysia. Mereka tidak kisah rakyat susah, merana dan derita. Yang penting bagaimana mereka boleh kekalkan pemerintahan. Hadhari atau tidak bukan agenda utama tapi ianya sekadar kulit pelapik supaya kelihatan menawan. Inilah perancangan jahat dan perangkap jahat yang terus diguanapakai sejak zaman dahulu kala...Wajar Pemuda PAS menghantar memorandum kepada YD Agung..


Suruhanjaya siasat Najib, Gani, Anwar
Jul 7, 08 4:20pm
Pemuda PAS menyerahkan memorandum kepada Yang di-pertuan Agong, menyeru baginda menubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat beberapa dakwaan terkini melibatkan tokoh-tokoh utama negara, termasuk timbalan perdana menteri, ketua polis negara dan peguam negara. Dalam memorandum yang sama, ketuanya Salahuddin Ayub juga berkata dakwaan itu termasuklah tuduhan liwat terhadap penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim."Patik merasa terpanggil untuk meminta supaya satu suruhanjaya siasatan diraja dapat dibentuk untuk membuat penyiasatan terhadap YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan isterinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Gani Patail dalam aduan-aduan tersebut," katanya, yang menyerahkan memorandum kepada seorang pegawai Istana Negara tengah hari tadi.

Salahuddin, yang juga ahli parlimen Kubang Kerian, memohon agar baginda menitahkan Najib, Musa dan Abdul Gani untuk bercuti daripada jawatan mereka sehingga selesai penyiasatan oleh suruhanjaya tersebut.Berikut teks lengkap memorandum tersebut:Seri Paduka Baginda Tuanku, Dengan hormat dan takzimnya patik merafakkan sembah dan berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wataala, mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sentiasa berada dalam selamat dan kesejahteraannya.Adalah dengan ini patik Salahuddin bin Ayub, selaku Ketua, Dewan Pemuda Parti Islam Se Malaysia (PAS) yang mewakili seluruh saf pimpinan dan ahli-ahli parti serta rakyat Malaysia yang menyokong dan bersimpati dengan kami, dengan ini mengangkat sembah mengadu dan membawa ke perhatian Seri Paduka Baginda Tuanku mengenai kemelut politik negara yang semakin tenat dan perlu kepada tindakan segera.

Patik percaya sekalian rakyat amat bimbang dan gusar terhadap suasana perebutan kuasa serta lontaran fitnah dan tuduhan yang melibatkan kredibiliti pihak-pihak paling tertinggi dalam negara.Patik merujuk kepada pertuduhan-pertuduhan berikut:

-1. Surat akuan bersumpah YM Raja Petra Raja Kamarudin bertarikh 18 Jun 2008 melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor isteri YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Timbalan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu;

2. Laporan polis terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertarikh 28 Jun 2008 oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan melibatkan tuduhan liwat;

3. Laporan polis Dato’ Seri Anwar bertarikh 1 Julai 2008 terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail Peguam Negara memberi keterangan palsu berhubung beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor pada 20 September 1998;

4. Surat akuan bersumpah P. Balasubramaniam bertarikh 1 Julai 2008 berkenaan tuduhan terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan surat akuan bersumpah keduanya bertarikh 4 Julai 2008 yang menarik balik tuduhannya.Patik berpandangan pada masa ini, oleh kerana terdapat tuduhan langsung terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan isterinya, serta tuduhan terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail Peguam Negara maka badan eksekutif negara sudah hilang kelayakan untuk menangani penyiasatan dan pendakwaan dalam kesemua tuduhan dan laporan di atas yang amat berkaitan antara satu sama lain.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun.Oleh yang demikian, patik merasa terpanggil untuk meminta supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dapat dibentuk untuk membuat penyiasatan terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan isterinya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail dalam aduan-aduan tersebut.

Patik sekalian juga memohon agar Seri Paduka Baginda Tuanku menitahkan YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk bercuti dari jawatan mereka sehingga selesai penyiasatan oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja.

Ampun Tuanku,
Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan doa kehadrat Allah Subhanahu Wataala mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Raja Permaisuri Agong dan seluruh kerabat Tuanku sekalian dilanjutkan usia dan berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan selama-lamanya. Amin Ya-Rabbal-Alamin.

Ampun Tuanku.

Patik dengan segala hormat takzimnya,
Salahuddin bin AyubKetua Dewan Pemuda PAS Pusat
4 Rejab 1429 / 7 Julai 2008


DIDAKWA... Raja Petra Raja Kamarudin yang didakwa atas tuduhan memfitnah keluar dari Mahkamah Majistet Kuala Lumpur selepas membayar wang jaminan semalam.


KUALA LUMPUR 17 Julai – Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam akuan bersumpah yang diikrarkan Jun lalu.

Dia yang menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan itu turut didakwa memfitnah Pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isterinya, Kolonel Norhayati Hassan berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dalam akuan yang sama.

Raja Petra, 58, bagaimanapun enggan membuat sebarang pengakuan dengan alasan ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya cacat dan mala fide (niat jahat) selepas ia dibacakan di hadapan Majistret Nazran Mohd. Sham.

Mengikut pertuduhan, Raja Petra didakwa memfitnah Rosmah, Abdul Aziz dan Norhayati dengan membuat tohmahan dalam akuan bersumpah yang diikrarkan di Mahkamah Tinggi Sivil 5, Tingkat 4, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini pada pukul 10.25 pagi, 18 Jun lalu.

Setiap pertuduhan disertakan dengan lampiran iaitu akuan bersumpah Raja Petra dengan bahagian-bahagian yang mengaitkan ketiga-tiganya digariskan.

Dia yang merupakan individu kedua didakwa di bawah seksyen tersebut selepas penyanyi Datuk Sharifah Aini pada tahun 2005, dibawa ke mahkamah pada pukul 11.10 pagi ini selepas sejam disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Jika sabit kesalahan, Raja Petra boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Anselm Charles Fernandis yang mengendalikan pendakwaan memohon agar ketiga-tiga pertuduhan itu dibicara bersama serta menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam J. Chandra yang mewakili Raja Petra bagaimanapun memohon agar anak guamnya dibebaskan dengan bon peribadi tanpa penjamin mengikut Seksyen 387(2) Kanun Prosedur Jenayah.

Kata Chandra, anak guamnya memberikan kerjasama sepenuhnya dan tiba di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada pukul 9.58 pagi sedangkan pegawai penyiasat hanya tiba pada pukul 10.31 pagi.

Nazran kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Ogos ini untuk sebutan semula kes itu.

Terdahulu, suasana tegang apabila Raja Petra bangkit menyuarakan rasa tidak puas hati selepas Fernandis menerima keengganannya membuat pengakuan sebagai pengakuan tidak bersalah mengikut Seksyen 173(C) Kanun Prosedur Jenayah.

‘‘Saya enggan membuat sebarang pengakuan, itu maklum balas saya, bukan saya mengaku tidak bersalah. Pendakwa tidak sepatutnya membuat interpretasi.

‘‘Saya bagi alasan dan saya boleh menjelaskannya. Kalau peguam saya bersetuju dengan pihak pendakwa, saya akan pecat dia dan mewakili diri sendiri,’’ katanya.

Raja Petra sekali lagi naik berang apabila Chandra memohon agar jumlah jaminan yang ditawarkan dikurangkan kepada RM5,000 sedangkan dia mahu dibebaskan dengan bon peribadi tanpa penjamin.

‘‘Saya ingin memecat peguam saya dan mewakili diri sendiri. Tiada sebarang keperluan untuk jaminan dikenakan kerana saya memberikan kerjasama sepenuhnya dan sentiasa hadir ke mahkamah,’’ tegasnya.

Tindakan Raja Petra yang bercakap dengan laju dan nada yang agak tinggi bagaimanapun ditegur oleh Nazran.

‘‘Kalau kamu tidak hormat saya tidak mengapa, tapi tolong hormat mahkamah. Beri saya peluang untuk catat apa yang kamu cakap,’’ katanya.

Berikutan keadaan itu, Chandra memohon agar prosiding ditangguhkan sebentar bagi membolehkan dia berbincang serta mendapat arahan lanjut daripada Raja Petra.

Prosiding yang berlangsung dari pukul 12 tengahari berakhir pada pukul 2.25 petang dan Raja Petra dilihat keluar dari lokap kira-kira pukul 3.50 petang selepas isterinya, Marina Lee Abdullah mengemukakan wang jaminan.

Pada 6 Mei lalu, Raja Petra didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana menerbitkan satu artikel membabitkan pembunuhan Altantuya di laman webnya.