19 SEPT
Berkumandangnya lagu raya dan lagu satu Malaysia bagaikan petir menyambar di telinga. Apa tidaknya yang dilaungkan hanyalah sebuah khayalan dan mimpi buat rakyat kecil. Rakyat kampung yang masih jauh dari online news dan yang hanya melahap berita dari media UBN. Saya bukan ekstrim anti UBN membabi buta tetapi ianya fakta dan kewajaran rakyat celik untuk menjadi anti UBN makin jelas. Kadangkala mahu rasanya menyuarakan ke pihak mereka yang faham agama dan meminta mereka memberi fatwa HARAMnya berfaham UBN. Mungkin agak ekstrim memang tetapi perbuatan mereka makin melampau. Saya juga faham jika meminta apapun kepada para mufti atau siapa sahaja yang berkepentingan dengan UBN pasti fatwa jadi terbalik. Sama macam mahkamah juga dan apa sahaja institusi yang bernaung di bawah UBN.
Soalnya sekarang ialah bagaimana kita mahu mencapai taqwa dan menjadi muslim yang soleh? Saya tidak nampak kita semua boleh mencapai taqwa jika masih berlutut dengan faham UBN. Mendengar khutbah dari Jamil Khir dari mimbar Putrajaya dengan dalil dan segala nasnya bagaikan menuang air limbah ke muka sendiri. Apa yang benar dan apa yang salah sudah tidak kelihatan lagi. Semuanya jadi rojak dan kabur. Kenapa saya berani mengatakan begitu?
1. Sila baca artikel di bawah tentang Mat Sah suami Norlaila. Derita beliau dianggap Jamil Khir apa? Dianggap mufti Perak sebagai dramake? Dianggap Najib dan Rosmah macma sinetron Sekar? Dianggap Hishamuddin sebagai main dangoke? Rakyat kecil diperlakukan begitu rupa dan mereka masih bertakbir di pagi raya? Allahuakbar seharusnya menjadi realiti bukan hanya ucapan kosong dan lakonan. Buktikan bahawa yang paling berkuasa itu hanya ALlah dan yang selayaknya memberi hukuman hanya Allah dan menurut hukumNYA. Mangsa ISA macam Mat Sah, isteri dan anaknya sewajarnya diberi hak untuk meminta ganti rugi. Dan jika tuntutan ini dipenuhi maka barulah benar ucapan Allahuakbar tersebut. Ya Allah..mereka mempermainkan Engkau dan Engkau Maha Tahu akan kebobrokan mereka. Ya ALlah berilah sdr kami ini kesabaran dan kekuatan untuk melalui saat getir ini!! Kami tidak mahu mndoakan laknat ke atas para penzalim ini tetapi kami serahkan kepada Mu ya..Allah. Engkaulah lebih Berkuasa dari segala Maharaja yang berada di dunia ini.!!
Renungkanlah berita ini!!
Setelah 6 jam Mat Sah bersua isteri, anak tercinta...
Azamin Amin/Foto Shukri Mohd Thu Sep 17, 09 3:08:39 pm MYT
KUALA LUMPUR, 17 Sept: Kali ini giliran Mat Sah Mohd Satray, 46 pula menitiskan air mata. Begitu hening pagi tadi tatkala melihat kelibat isteri dan anaknya yang telah ditinggalkan secara paksa selama hampir 8 tahun.
Mereka baru bersua jam 2 pagi tadi sehinggalah sekarang, masih tidak tidur lagi. Perasaan mereka bertiga anak beranak masih bercampur baur. Gembira, sayu dan terasa janggal pun ada. Tidak terbit kata-kata pada awalnya. Masing-masing melayan perasaan.
Tepat jam 5 pagi, tiga beranak ini bersahur buat pertama kalinya setelah terpisah sekian lama. Rendang daging, telur mata kerbau dan nasi antara santapan. Dan juadah dijamu cukup berselera dan paling enak dirasa.
"Perasaan saya masih bercampur-baur. Nak kata gembira sangat pun tak, sedih pun ada
"Dan terkejut melihat anak yang dah besar...ketika saya tinggalkan usianya baru 9 tahun," demikian mukadimah Mat Sah ketika menceritakan perasaannya setelah dibebaskan.
Mat Sah kelihatan agak susut badannya, mengenakan baju t-shirt berwarna putih dan berseluar 'track' hitam begitu tenang menerima kunjungan Harakahdaily seawal jam 9 pagi.
Sambil duduk rapat dan erat dengan anaknya, Suhaib 16 seolah-olah tidak mahu lagi berenggang, Mat Sah dengan nada sebak merasa cukup pilu apabila mengenangkan anaknya itu membesar tanpa ayah.
Dia dipaksa berpisah dengan anaknya, pada April 2002, apabila sepasukan polis dengan kekuatan 20 orang anggota datang menyerbu dan mengeledah isi rumahnya. Habis siling rumah dipecah dan tilam dibongkar. Malah malam yang sama, rumah abangnya juga turut disergah, disepah gara-gara pihak berkuasa menyangka abangnya itu Mat Sah.
Semenjak itu, hanya doa dan gambar menjadi teman di bilik kurungan.
Mat Sah, kemudiannya dikurung secara bersendirian selama tiga tahun, gara-gara isterinya Norlaila Othman begitu lantang memperjuangkan nasib suami dan tahanan yang lain termasuk 'menyerbu' bekas Perdana Mneteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya dengan memo bantahan di tangan.
"Saya dituduh salah akidah. Terlibat JI, KMM, Wahabi dan sabotaj Pelabuhan Klang...dipaksa mengaku salah...
"Kenapa perlu mengaku kerana saya tidak bersalah. Oleh kerana itu, tempoh tahanan saya dilanjutkan setahun ke setahun...," kata Mat Sah dengan nada yang serak dan perlahan.
Selama 8 tahun itu, dia memendam rasa rindu teramat sangat terhadap anak dan isteri namun menguatkan hati yang adakalanya 'kecundang' dengan membasahkan bibir dengan kalimah ayat-ayat suci al-Quran sehingga dapat menghafal banyak surah-surah panjang.
"Kalau terlalu rindu sangat, peluk bantal yang dilekatkan gambar anak...," katanya sambil sesekali menjeling Suhaib.
Beliau menceritakan, tiada aktiviti dan program khusus di Kamunting, tetapi meluangkan masa dengan banyak membaca buku dan bergaul dengan rakan-rakan.
"Pagi-pagi kami disuruh keluar mengadap bendera menyanyi..lepas itu aktiviti sendiri. Cuma enam bulan sekali polis datang soal siasat dan ada masa di bawa ke Kuala Lumpur untuk 'kursus' basuh minda ataupun betulkan akidah.
"Diaorang selalu beritahu pentingnya ISA ini dan harap isteri saya serta GMI akan menghentikan perjuangan. Kata mereka jika, ISA tak ada, Malaysia akan huru hara dalam masa 5 bulan," jelasnya yang sekali-kali tidak setuju dengan pendapat mereka.
Kata Mat Sah, penahanannya sudah jelas menunjukkan ISA tidak adil dan tidak menepati kehendak Islam dan secara berterus-terang tanpa takut memberitahu pegawai-pegawai soal siasat, bahawa Akta itu mesti dimasuhkan.
Beliau pada awalnya tidak menyangka akan dibebaskan kerana sudah 7 kali ditipu oleh pihak berkuasa yang berjanji untuk melepaskkannya setiap tahun menjelang Hari Raya.
Ditanya tentang persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma, Mat Sah tidak mempunyai sebarang perancangan memandangkan beliau perlu menyesuaikan diri dan berehat dengan keluarganya. Norlaila yang disisi kemudiannya mencelah cuba menerangkan realiti pahitnya kepada Harakahdaily.
"Tak buat persiapan apa-apa...apa makna Hari Raya bila suami disekat tak boleh jalan malam, tak boleh keluar kawasan...dan tak boleh balik kampung.
"Baju yang dipakai pun pinjam baju anak...'Mereka' ini semua tak fikir kesusahan orang. Dah bebas pun susahkan orang lagi...yang dia tahu buat peraturan sahaja," kata Norlaila.
Bagi Suhaib, kepulangan Mat Sah sangat dinantikan walaupun terpaksa mengambil masa untuk serasikan diri dengan ayahnya.
"Masa saya kecil, selalu jogging dengan ayah waktu cuti. Zaman kanak-kanak saya telah berlalu begitu sahaja tanpa ayah.
"Dan selepas ini saya terpaksa ambil masa nak bersosial kembali dengan ayah, sebab terlalu lama." kata Suhaib meluahkan isi hati.
Walaupun masih sebak, sesekali Mat Sah sempat bergurau dengan Harakahdaily tentang kematangan dan kedewasaan anaknya Suhaib yang tidak 'sempat' dikecapi dan dilihatnya.
"Saya masih terkejut lagi melihat anak saya ini. Dia membesar tidak ikut kebiasaan, tidak diberi kasih sayang oleh seorang ayah. Tengoklah ni...bulu kaki pun dah tumbuh.." katanya tersenyum.
Sambil itu, Mat Sah turut memberitahu makanan yang paling dirinduinya selama menjadi tahanan di Kamunting ialah Rendang Ayam dan Daging, dan sahur pagi tadi makanan kesukaan itulah menjadi menu hidangan sungguhpun bukan dari masakan isterinya.
"Kalau di Kamunting, masak kari rasa tomyam, masak tom yam rasa ntah apa-apa...
"Cuma adalah kawan-kawan tahanan yang pandai masak...terubat jugalah rasa nak makan sedap," kata bekas kakitangan Dewan Bahasa dan Pusataka itu.
Norlaila yang tidak berkesempatan memasak kerana baru pulang dari Sabah bagi misi menyampaikan sumbangan derma Tabung Harakahdaily untuk 7 buah keluarga mangsa ISA.
Beliau bersama anaknya dan Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman ke negeri bawah bayu itu pada 15 Sepetember lalu dan menerima berita pembebasan suaminya itu melalui panggilan dan sms rakan-rakan media alternatif.
"Tak boleh tidur saya semalam dan pagi ni lagilah tak boleh tidur...
"...sebab baru nak 'berkenalan' dengan orang yang dah hilang lama ni," kata Norlaila tersenyum.
Ketika ditanya apa-apa perubahan isterinya sekembalinya daripada kem itu, Mat Sah kagum dengan isterinya yang menunjukkan komitemen dalam perjuangan menentang ISA dan sudah mula sibuk dengan jemputan dan aktiviti yang dirancang.
"Dari segi cantik, macam biasa jelah...cuma nampak semakin sibuk dan aktif," katanya tersenyum melihat Norlaila yang kelihatan 'geram' dengan usikan suaminya itu.
Buat sementara ini, kata Mat Sah belum sempat untuk berfikir akan akan perancangannya di masa akan datang seperti bekerja kembali apatah lagi dengan sekatan dan peraturan yang dikenakan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini.
"Saya nak berehat dulu... dan mungkin selepas Hari Raya baru nak fikir, berniaga ke atau bekerja semula. Buat masa ini masih nak serasikan diri dulu dengan keluarga," katanya sambil mengakhiri perbualan dan berpelukan dengan krew Harakahdaily.
Hari ini, Mat Sah yang baru 'berkenalan' dengan keluarganya 6 jam lalu, mempunyai jadual padat dengan tetamu, NGO, aktivis dan wakil pihak media yang bakal bertemu untuk mendapat kisah dan ceritanya.
Ternyata, raut ceria dan bahagia terpancar di wajah ketiga-tiga beranak ini dan yang pasti Aidilfitri kali ini cukup beerti dan tidak lagi sunyi...
(Sebarang komen dan pandangan, bolehlah dimajukan kepada
azaminamin@yahoo.com
2. Berita kedua juga adalah bukti yang mereka yang saya sebutkan di atas tergolong dalam golongan yang zalim dan wajib diberi peringatan. Golongan ini Islam larang hormat apatah lagi mencium tangannya kerana mereka tidak tahu menghormati manusia lain. Dalil apa yang kita boleh guna untuk berbaik dengan golongan zalim? Saya hairan masih ada lagi yang mencium tangan golongan ini? Cium tangan pun tak layak macamana nak pilih mereka sebagai pemimpin? Inilah asas pemahaman yang seharusnya umat ini dapat dari Ramadhan. Taqwa bukan hanya igauan atau cadangan tetapi dirasai dan terbukti dengan amal. Lihatlah sejarah para solihin, bagaimana mereka menjadi penentang paling awal apabila khalifah atau raja pada masa itu menyeleweng dari ajaran NYA. Maka lahirlah pemimpin yang baik seperti para khalifah yang empat, Umar Abd Aziz, Harun Arasyid, Muhammad Al Fatih dan ramai lagi. Mereka baik kerana ulamanya soleh dan ikhlas. Ulama penjilat akan membuahkan pemerintah yang zalim. Pemerintah yang zalim wajib dihalang dengan kadar kemampuan yang ada. Musa melawan Firaun, Ibrahim menentang Namrud dan Muhammad menentang Abu Jahal apakah sebuah sejarah yang kosong? Atau sejarah yang sewajarnya dijadikan setting perubahan umat? Jauh sekali para Nabi ini mencium atau berlutut dengan golongan zalim sejak dari Adam sampailah Nabi Muhammad. Takkanlah sejarah asas ini para ulama kta tidak faham? Yang jelas mereka sengaja buat-buat tak faham. Ya..inilah tugas dakwah dan tugas kita semua!!!
Mari kita renung berita ini...!!
SIAPA YANG SEBENARNYA YANG MELENGAHKAN PERBICARAAN ANWAR?
(emel dari Latifah Koya)
Usaha pihak pendakwaan (DPP) melengah-lengahkan kes pendakwaan fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan tindakan yang zalim. Sewaktu Anwar dituduh di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Puan Komathy, pihak pembelaan dan Mahkamah telah siap bersedia untuk perbicaraan. Namun pihak pendakwa mengemukakan sijil di bawah S. 418A, bagi memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi atas alasan yang remeh.
Pihak DPP memberi dalih bodoh, kononnya Anwar adalah seorang yang berprofil tinggi, atas tujuan menjaga keselamatan awam (sedangkan kedua-dua Mahkamah terletak di Kompleks Mahkamah Jalan Duta) serta kes ini melibatkan isu-isu teknikal seperti DNA. Meskipun, yang hendak dijaga hanyalah keselamatan kerajaan Barisan Nasional dan undang-undang tidak pernah memberikan layanan yang berbeza atas dasar profil individu. Tambahan pula, Mahkamah Sesyen lebih berpengalaman dalam mengendalikan hal-hal teknikal. Misalnya sebahagian besar kes-kes melibatkan jenayah seksual didengar di Mahkamah Sesyen dan bukan di Mahkamah Tinggi.
Keputusan DPP untuk memindahkan kes ini datang dari Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, orang yang terlibat dalam konspirasi kes pendakwaan terdahulu. Malah Gani Patail juga berdepan dengan tuduhan jenayah memalsukan keterangan. Hal ini diperakui oleh bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim merangkap pegawai penyiasat dalam kes mata lebam Anwar 1998. Gani Patail telah memalsukan keterangan untuk menutup insiden mata lebam Anwar. Cukup jelas tujuan perpindahan mahkamah ini berniat jahat.
Sudah tentu Anwar akan mengarahkan peguam-peguam beliau untuk mendapat satu perbicaraan yang lebih adil dan membuat permohonan membatalkan sijil S.418A.
Hakim Mahkamah Sesyen, Puan Komathy telah bersetuju dengan hujahan pembelaan ini. Beliau telah membuat perintah mahkamah menolak keabsahan Sijil S.418A . Ini kerana ia ditandatangani oleh Tan Sri Gani Patail, orang yang tidak harus terlibat dalam pendakwaan ini.
Tindakan pihak pendakwaan merayu kepada Mahkamah tinggi menunjukkan pihak mereka cuba melengah-lengahkan kes ini.
Kemudiannya, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi atas alasan hanya Peguam Negara yang berkuasa menandatangani sijil S.418A . Anwar dan pasukan peguam beliau terpaksa menerima keputusan dan hadir ke Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Tinggi telah menetapkan tarikh bicara dan sekali lagi kedua-dua pihak telah bersetuju dengan tarikh-tarikh tersebut.
Walaubagaimanapun pihak DPP telah dengan sengaja melengah-lengahkan penyerahan dokumen-dokumen kepada pihak pembelaan.
Penyerahan dokumen menjadi wajib dibawah prosedur Kanun Keseksaan. Tetapi pihak DPP hanya menghantar sebahagian dokumen saja. Malah pihak pembelaan telah menulis beberapa kali kepada pihak Pendakwaan untuk menyerahkan kesemua dokumen yang perlu. Namun mereka enggan berbuat demikian.
Motif tindakan tidak profesional pihak pendakwaan ini cukup diragui. Anwar tidak harus duduk diam tanpa jaminan hak beliau untuk mendapatkan satu perbicaraan yang adil dicabar.
Justeru menjadi amat wajar, bilamana para peguam Anwar terpaksa memohon kepada Mahkamah untuk tidak menyerahkan kesemua dokumen yang perlu bagi penyediaan pembelaan. Ini adalah tindakan yang waras dilakukan oleh mana-mana tertuduh untuk menjamin keadilannya.
Apabila permohonan penyerahan dokumen ditetapkan untuk pendengaran, Peguam Kanan Tuan Haji Sulaiman yang mengetuai pasukan peguam Anwar menarik diri kerana beliau telah jatuh sakit. Beliau dimasukkan ke hospital. Tetapi Hakim tidak membenarkan Anwar menangguhkan kes untuk mendapatkan Peguam Kanan yang baru. Ketua Pendakwaan, Datuk Yusof Zainal Abiden sendiri telah mengesahkan dengan Hospital Kuala Lumpur bahawa Tuan Hj Sulaiman memang sakit.
Menuduh Tuan Hj Sulaiman dengan sengaja menarik diri merupakan suatu fitnah yang kejam dan zalim kerana beliau telah dirawat diwad hospital selama 2 minggu!
Para peguam dalam pasuan pembelaan tanpa melengahkan masa terpaksa meneruskan permohonan tersebut.
Menjadi kebiasaan, selalunya Mahkamah akan membenarkan penangguhan kepada pembelaan atas sebab yang munasabah seperti Peguam sakit. Anehnya, Anwar mendapat layanan yang berbeza.
Hakim Mahkamah Tinggi pula bersetuju dengan hujahan pihak pembelaan dan memerintahkan pihak pendakwa untuk menyerahkan dokumen yang dipohon. Tetapi pihak Pendakwa enggan berbuat demikian. Malah pihak DPP membuat rayuan memohon untuk menggantung keputusan Mahkamah sehingga selesai keputusan di Mahkamah Rayuan. Kini Rayuan bakal didengar pada 23 Oktober 2009. Bahawasanya, pihak pendakwaanlah yang menangguhkan perbicaraan.
Keengganan pihak pendakwa menyerahkan dokumen-dokumen kepada pembelaan menunjukkan ada sesuatu perkara yang ditakuti dan ingin disembunyikan.
Pihak pendakwaan tidak menyerahkan senarai saksi kepada pihak pembelaan. Walhal, menjadi suatu amalan biasa di dalam mana-mana kes perbicaraan jenayah yang lain. Anwar Ibrahim tidak harus duduk diam dan menunggu sehingga satu lagi sabitan dibuat terhadap beliau. Pertuduhan ini hanyalah ulang tayang peristiwa dan konspirasi paling jahat ke atas beliau.
Di sini mari kita perhatikan individu-individu yang jelas mempunyai motif politik dalam membuat fitnah yang kononnya Anwar melengah-lengah kes ini :-
- Peguam Hasnal Rezua Marican sebenarnya telah memberi pandangan tidak profesional kepada Utusan dengan hasad prasangka keji terhadap Anwar. Hasnal, bekas ketua pemuda Umno Selayang, merupakan seorang ahli UMNO yang setia aktif. Hasnal sendiri pernah meminta penangguhan bagi pihak anakguam-anakguam beliau bagi kes-kes yang diwakili beliau. Beliau juga merupakan peguam bagi Ezam yang telah beberapa kali memohon penangguhan bagi kes-kes perhimpunan haram Ezam dari Mahkamah. Kes-kes tersebut ditangguh selama 10 tahun!
- Tan Sri Abu Zahar Ujang, Presiden Persatuan Peguam Muslim, merangkap Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) - kedua-dua Persatuan yang pro-UMNO dan anti-Anwar ini tidak memberi pandangan secara waras tapi penuh dengan syak wasangka dan tidak adil. Peliknya Presiden persatuan-persatuan ini tidak pula mempersoalkan kelewatan pertuduhan Qazaf terhadap Saiful di Mahkamah Syariah. Sehingga ke hari ini, ia langsung tidak dipedulikan. Mereka tidak mempercayai proses perundangan Syariah di Malaysia yang membenarkan Anwar membuat aduan fitnah di Mahkamah Syarie. Tan Sri Abu Zahar Ujang juga adalah ahli Lembaga Disiplin UMNO dan merupakan bekas calon UMNO.
- Lokman Noor Adam dan Roslan Kassim, bekas ahli PKR yang membelot daripada perjuangan reformasi. Kedua mereka menghadapi pertuduhan menyertai perhimpunan haram di Mahkamah Majistret. Mereka paling kerap tidak hadir ke Mahkamah tanpa alasan yang munasabah. Malah mereka selalu meminta penangguhan. Mereka tergolong dalam kelompok orang yang pernah keluar UMNO lantas merangkak balik kepada UMNO dan menyalak kerana duit!
- Chandra Muzaffar, seorang yang menyamar menjadi kononnya intelektual, bermuka-muka dan bersifat lalang. Komen-komen beliau hanya menjurus kepada satu tujuan khusus untuk menyerang Anwar, dengan mendapat imbuhan lumayan, seperti kurniaan jawatan pengerusi penaung Yayasan 1 Malaysia.
Akhirnya ulasan Profesor Salleh Buang, seorang pakar perundangan dibuat sembarangan tanpa hati-hati meneliti fakta. Beliau ikut menuduh Anwar membuat helah melengah-lengahkan kes dengan membuat permohonan ala peguam-peguam di Amerika. Undang-undang di Malaysia sendiri membenarkan mana-mana tertuduh membuat pelbagai permohonan untuk menjamin hak beliau. Tidak perlulah merujuk kepada Amerika bagi tujuan ini. Misalan, permohonan mendapatkan dokumen sangat jelas dan termaktub di dalam Kanun Prosedur Jenayah, iaitu Seksyen 5, 51, 51A. Perlembagaan Persekutuan menjamin seseorang tertuduh itu berhak mendapat perbicaraan yang adil.
Biarpun tidak ada bukti jolokan (penetrasi) langsung ke dalam dubur Saiful, (dan ini berdasarkan sekurang-kurangnya laporan 4 doktor termasuk 3 dari HKL!) - suatu elemen wajib yang harus wujud untuk mendakwa kesalahan, pihak DPP tetap meneruskan kes ini. Sepatutnya kes ini wajib dibuang saja. Pihak yang dituduh wajib menikmati hak untuk mendapatkan kesemua dokumen bagi penyediaan pembelaan.
Akhbar Utusan sebagai lidah UMNO tambah mengapi-apikan fitnah kononnya Anwar sengaja melengahkan kes pertuduhan. Hakikatnya pertuduhan ini adalah suatu konspirasi jahat untuk memastikan Anwar merengkok semula ke dalam penjara Sungai Buloh. Malah Utusan dalam laporan bertarikh 8 September 2009 memanipulasikan kenyataan Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof. Dr. Shad Saleem Faruqi dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Md. Ismail. Kedua-dua mereka hanya memberi pandangan umum berkenaan proses Mahkamah yang adil sebagaimana termakutub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Mahkamah tidak akan menangguh tanpa alasan. Mereka langsung tidak menyentuh kes Anwar dan tidak memberi apa-apa komen terhadap kes beliau.
Kita sedang menyaksikan, sekali lagi peristiwa konspirasi jahat untuk menjatuhkan Anwar yang menjadi ancaman terhadap kerakusan kuasa kerajaan Barisan Nasional!
17 September 2009