foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

Wednesday, July 9, 2008

BERHENTI SEJENAK DAN MERENUNG...ISLAM & IMAN KITA....

HR9808@IKRAR - adalah wadah bebas bukan partisan yang memfokus kepada kebajikan rakyat.Singkatan;
IKRAR (Ikatan Kebajikan Rakyat)

10 JUN.

Para pejuang kebenaran harus menyediakan setiap hari, masa untuk bermuhasabah atau introspeksi diri. Setinggi manapun kedudukan atau pangkat atau apa sahaja, kita tetap sebagai manusia biasa perlukan muhasabah. APakah niat perjuangan kita selaras dengan syara' (sebagai seorang muslim) atau kita sudah tidak hiraukan semua hal ini?..Bila kita renung kes fitnah terhadap DSAI membuat diri kita terasa begitu tercabar apatah lagi DSAI. Sebuk kita memikirkan semua itu dan ini sehingga kita lupa inilah sebahagian dari kehidupan seorang pejuang. Musuh tak pernah diam berfikir dan merancang bagaimana untuk mengalahkan kita semua. Sila perhatikan hal ini secara mendalam dan kita ambil hikmahnya sehingga kita tidak akan mengulangi kesalahan yang sama sekali lagi.

Dalam kehebatan undang-undang manusia di mahkamah kita terlupa bahawa ada undang-undang lain yang lebih terjamin keadilannya untuk manusia. Maka DSAI merujuk kes ini ke mahkamah syariah adalah langkah yang amat baik sehingga dapat membuka fikiran kita semua bahawa syariah sebenarnya lebih tepat dalam menangani permasalahan manusia sejagat. Alangkah indahnya jika undang-undang ini dapat dilaksanakan untuk manusia kerana sejarah telah membuktikan betapa banyak kes permasalahan manusia dapat diselesaikan secara tuntas tanpa menimbulkan kesan sampingan kepada manusia beragama lain. Inilah bukti kukuh betapa berkesannya undang-undang tersebut yang telah berlaku hampir 2/3 dunia suatu masa dahulu.

Ikut nasihat ulama, Anwar buat aduan 'qazaf' di Jawi
Azamin Amin | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Wed | Jul 09, 08 | 12:57:28 pm MYT

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Hrkh) - Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat aduan berhubung isu fitnah yang dilemparkan ke atasnya di Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

ImageAnwar hadir dengan ditemani oleh isteri beliau yang juga Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beserta dua orang peguamnya iaitu Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek dan Kamar Ainiah Kamaruzaman.

"Atas nasihat ulama dan peguam, saya telah membuat aduan kepada bahagian penguatkuasaan, membersihkan nama saya dan keluarga daripada fitnah jahat dan mengaibkan ini.

"Dan saya dinasihatkan membawa kes ini mengikut undang-undang peruntukan 'qazaf'. Jadi, (saya) minta bahagian penguatkuasaan buat siasatan segera," katanya kepada pemberita.

ImageSementara itu Kamar Ainiah menjelaskan kepada pihak media, hukuman dan makna 'qazaf' yang termaktub dalam undang-undang syariah di negara ini.

Menurut seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, "mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina (atau liwat) tanpa mengemukakan, mengikut hukum syarak, empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan." kata Ainiah.

'Qazaf' katanya ialah tuduhan palsu terhadap zina dan jika sabit boleh dihukum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 dan ianya merupakan kesalahan dalam hukum hudud di mana seorang penuduh yang terbukti bersalah boleh dikenakan 80 kali sebatan.

Turut ditanya berhubung isu sumpah yang turut dibangkit pelbagai pihak demi membersih tuduhan terhadapnya dan Anwar menyatakan mengikut pandangan ulama yang melarang berbuat demikian.

Malah katanya sumpah menjunjung al-Quran tidak ada nas atau dalilnya dalam Islam.

Image"Saya tidak boleh ikut cabaran. Kalau mahu guna al-Quran, guna Islam ianya mesti ikut syarak...bukan isu politik atau isu peribadi. Ini nasihat yang diberi oleh ulama dan saya tunduk dengan nasihat itu.

"Kalau mereka kata perlu jawab sumpah, kita jawab. Tapi setakat ini ianya isu jenayah kalau 'you' buat tuduhan, 'you' kena jawab," kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu. - mks. _



Sdr/sdri, marilah kita semua bermuhasabah untuk diri, keluarga dan ummat ini!! Pasti akan ada hasil yang lebih baik untuk kita semua...Semoga Allah permudahkan segala urusan kita...!!

Sila renungkan pandangan ulama...

Fatwa Dr Taha Jabir al-'Ulwani mengenai fitnah terhadap Anwar Ibrahim
Terjemahan Ustaz Zainuddin Hashim
Wed | Jul 09, 08 | 4:43:07 pm MYT
Soalan
Telah berlaku satu isu yang menggemparkan banyak pihak di Malaysia baru-baru ini, berhubung mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dituduh terlibat dengan perlakuan liwat, pihak berkuasa Malaysia berusaha untuk memanggil kedua-dua individu yang menuduh dan dituduh agar melakukan angkat sumpah untuk membuktikan pihak yang benar dan salah.

Apa pandangan Islam berhubung tindakan angkat sumpah berkenaan, apakah pihak yang dituduh perlu berbuat demikian bagi membersihkan dirinya daripada fitnah atau tuduhan itu seperti sumpahan orang yang terlibat dalam kes pembunuhan?

Jawapan Dr Taha Jabir al-'Ulwani:

Menurut Imam Ibnu al-Qaiyim al-Jauziyah dalam kitabnya at-Turuq al-Hukmiyyah dan beberapa pandangan ulama, mereka menolak dakwaan atau tuduhan yang datang daripada seorang yang dilihat tidak berlaku adil, khususnya daripada setiap tindakan, cara hidup terhadap orang yang mempunyai kedudukan baik dalam masyarakat, di mana dakwaan seumpama itu disifatkan sebagai 'Qazaf' dengan membawa empat orang saksi, ia bersandarkan kepada ayat 4, Surah an-Nur maksudnya:

4. "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik;

Firman Allah lagi menerusi ayat 11-19, Surah an-Nur maksudnya:

"11. Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh siksa yang besar (di dunia dan di akhirat).

Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.

Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.

Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab siksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu; -

Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.

Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi Kami memperkatakan hal ini! Maha suci Engkau (Ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli Rumah Rasulullah)! ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".

Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.

Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab siksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)."

Sesungguhnya sejarah gerakan Athisme dan Komunisme di dunia Arab secara khusus melatih perkaderan di peringkat akar umbi untuk menonjolkan akhlak yang songsang yang dilemparkan terhadap pimpinan ahli agama Islam yang komited dengannya, ia adalah cara untuk memburukkan nama baik dan imej mereka kepada umum (kerana mahu meraih kepentingan tertentu) agar umum tidak lagi percaya dan memberi sokongan kepada ahli-ahli agama, inilah yang pernah dilakukan oleh pengikut Komunis di Iraq satu ketika dahulu di kalangan parti Ba�ath (Kebangsaan Arab).

Justeru, kita amat rasa sedih apa yang sedang berlaku di Malaysia sekarang ini di mana para pemimpin kerajaan bertindak serupa dengan apa yang pernah berlaku di Iraq, mereka lakukan itu adalah semata-mata untuk kepentingan politik kotor mereka dan menyekat kemaraan pengaruh lawan dengan apa sahaja cara sekali pun walaupun melibatkan harga diri seseorang.

Mereka ini bukanlah pemimpin kerajaan yang baik yang boleh menjaga kebaikan dan kemaslahatan negara, tetapi untuk diri mereka semata-mata, tapi bagaimanapun tindakan mereka itu akan dibalas, kalau pun tidak pada diri mereka, mungkin isteri serta anak-anak mereka.

Apa yang umum hingga di peringkat global mengetahui, bahawa Saudara Anwar Ibrahim sejak masa mudanya dilantik sebagai ketua gerakan belia di Malaysia (ABIM), pernah mengurus kira-kira 25 buah sekolah beraliran agama khusus buat remaja lelaki dan perempuan (sekolah alternatif) di seluruh tanahair, tidak kedengaran pada usia remajanya atau ketika memimpin gerakan belia, sesuatu yang menjatuhkan harga diri atau maruahnya dengan tindakan yang menyalahi ajaran agama Islam. Jika pada usia begitu beliau disenangi, dipercayai dan dihormati sebagai seorang pemimpin yang baik, bagaiman mungkin pada usia yang mencecah 60 akan terlibat dengan perlakuan kaum Lut?.

Beliau sekarang ini terdedah kepada pelbagai ancaman, konspirasi, provokasi, bagi mengekalkan amalan politik kotor sekali gus mengajak manusia seluruhnya untuk menentang Allah SWT.

Isu akuan bersumpah sebenarnya tidak dibahaskan panjang lebar oleh kalangan fuqaha� melainkan pada keadaan bila wujudnya pembunuhan antara dua kampung hingga tidak dapat dikenal pasti siapa pembunuh sebenar, maka menurut sebahagian mereka: Akuan bersumpah hendaklah dilakukan oleh 50 orang ahli setiap kampung bagi membersihkan diri daripada sebarang tuduhan, tetapi ia bukan dalam isu yang sedang dibincangkan iaitu �Qazaf�.

Ini kerana apa yang sedang disaksikan ialah isu antara seorang penuduh fasiq lagi zalim tidak diterima kesaksiaannya dan seorang yang teraniaya dan bersih daripada tuduhan tetapi tidak diberi haknya untuk membebaskan diri daripadanya.

Isu ini serupa apa yang pernah berlaku kepada pemimpin gerakan Islam Iraq al-marhum Syeikh Muhammad Mahmud as-Sowaf dan Syeikh Abdul Aziz al-Badri yang dilemparkan oleh pengikut Komunis dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan hingga kedua-dua mereka tidaK dapat membela diri untuk membersihkan nama baik dan maruah.

Isu Dato' Seri Anwar Ibrahim yang pernah cemerlang dalam kepimpinannya ketika menerajui Kementerian Belia dan Sukan dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno beberapa tahun, tidak kedengaran suara-suara sumbang daripada golongan remaja, belia bersamanya dahulu menyebut tentang perlakuan sumbang beliau, tetapi bagaimana sejak akhir-akhir ini terdapat kecenderungan pihak tertentu dengan rasa tidak malu dan takut kepada Allah melemparkan tuduhan negatif itu.

Saya menyeru pihak terbabit secara jujur, bertakwalah kamu kepada Allah, takutkan akan Dia Yang Maha Bertindak Balas ke atas hamba-hambaNya di akhirat, ingatlah ketegasan Allah dalam al-Quran : Sesungguhnnya hari tersebut (kiamat) tidak akan memberi manfaat harta dan anak-pinak, melainkan mereka yang datang menemui Allah dengan hati yang selamat (dari sebarang penyakit hati yang merbahaya).

Secara peribadi selaku seorang muslim, harapan dan seruan saya kepada Kerajaan Malaysia, agar bertakwa kepada Allah dalam mengurus negara dan rakyat, khususnya orang Melayu/Islam, berakhlaklah dengan nilai akhlak Islam yang murni, dengan tidak melebihkan politik daripada akhlak, jangan bertindak sesuatu yang boleh melucutkan harga diri seseorang atau rakyat hilang keyakinan para pemimpin yang memerintah negara sekarang ini, kerana setiap sesuatu yang zalim itu adalah jalan kegelapan, yang rosak itu akan membawa kepada neraka yang membakar.

Kita bermohon kepada Allah agar Dia memelihara negara dan rakyat di bawah naungan-Nya. - mr_


Sila renungkan ucapan Ust. Abd Hadi...
Dunia rosak akibat zionis dan penjajah
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Thu | Jul 10, 08 | 7:00:31 am MYT

Semua di kalangan kita menyedari bahawa dunia Islam terletak dalam kedudukan yang strategik di peta dunia.

Image Negara-negara umat Islam kaya dengan hasil bumi semulajadi yang turut sama memberi sumbangan kepada seluruh dunia. Umat Islam bertebaran di seluruh dunia sama ada di Timur atau Barat.

Mereka merupakan tenaga manusia yang memikul amanah dakwah agama Islam, yang mengajak kepada keamanan , keadilan dan persaudaraan antara sesama manusia.

Tenaga kerja umat Islam pula dapat menjana tenaga kerja mahir dalam pasaran global yang luas. Umat Islam juga merupakan umat yang mampu membangunkan tamadun manusia dan mentajdidkannya. Namun kesan dan pengaruh penjajah masih lagi utuh dan teguh.

Situasi ini menghalang usaha murni untuk membangunkan aspek kerohanian dan material umat Islam itu sendiri apatah lagi untuk mambangunkan manusia keseluruhannya supaya mereka menjadi umat yang disebut oleh Allah sebagai umat yang terbaik.

Marilah kita menyedari bahawa Orde baru dunia hari ini adalah merupakan hasil dan cetusan strategi penjajah yang bertujuan untuk membendung kebangkitan Islam dan seterusnya menyekat umat Islam daripada kembali kepada ajaran agama Islam yang menjadi punca keagungan kita.

Negara-negara umat Islam hari ini tidak mempunyai kebebasan dalam menyusun hal ehwal ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan media. Mereka masih dibelenggu oleh peraturan yang ditetapkan oleh penjajah. Namun pada masa ini peraturan-peraturan penjajah itu dilaksanakan oleh anak bangsa kita yang menerajui sistem pemerintahan dan mereka bercakap dengan bahasa kita.

Dalam masa yang sama, gerakan Islam yang berjuang untuk membebaskan umat ini daripada cengkaman penjajah terpaksa berdepan dengan berbagai halangan dan rintangan sama ada dari dalam atau luar.

Sekalipun mereka bergerak dengan cara aman seperti menggunakan kaedah demokrasi, kebebasan hak asasi manusia, keadilan dan berbagai syiar yang dimomokkan oleh order baru pada masa ini, gerakan Islam masih dihalang daripada menegakkan syiar-syiar tersebut kecuali dengan syarat mengubah Islam atau mengenepikan asas-asas keimanan dan akhlak sebagaimana yang dikehendaki oleh mereka.

Jika kita mengimbau sejarah umat Islam, kita dapati umat Islam telah berjaya memberikan sumbangan yang besar kepada umat manusia khususnya di zaman keagungan Islam. Islam telah mengemukakan sistem yang terbaik dalam menguruskan sumber manusia sama ada dalam pembentukan individu, sistem pemerintahan, pengurusan ekonomi dan sebagainya.

Islam juga berjaya memberikan definisi yang jelas mengenai nilai-nilai baik, keadilan, persaudaraan antara sesama manusia dan hak-hak asasi kemanusiaan. Dari sudut yang lain Islam juga berjaya meletakkan manusia sebagai hamba yang mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Antara keistimewaan Islam adalah kesesuaiannya dengan fitrah dan naluri semula jadi manusia. Oleh itu al-Quran memberikan petunjuk kepada manusia sama ada melalui peraturan-peraturannya atau kisah-kisah yang dipaparkan supaya ia menjadi panduan kepada manusia dalam semua urusan mereka.

Islam merupakan agama yang paling sempurna mengatasi segala idealogi dan pemikiran yang dijadikan asas kepada order baru dunia hari ini. Kepincangan dan kelemahan idealogi manusia ini boleh mengancam keamanan dan kestabilan dunia sehingga tersebarnya gejala-gejala buruk dalam masyarakat dan negara. Manusia diancam kebuluran dan ketakutan sehingga akhirnya boleh membawa kepada kemusnahan dan kehancuran.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara-saudara kita di Turki yang telah menganjurkan muktamar tahunan yang menghimpunkan seluruh persatuan-persatuan dan gerakan Islam di seluruh dunia.

Muktamar ini diharap akan dapat menyatukan saf perjuangan umat Islam. Saya juga berharap semoga muktamar ini akan dapat menyelaraskan kerja-kerja ini dengan lebih baik dan teratur supaya kita akan berjaya memimpin umat ini untuk mencapai objektif yang diharapkan dan menyelamatkan umat manusia daripada agama yang menyimpang serta idealogi yang merosakkan.

Mudah-mudahan usaha ini akan menyebabkan kita berjaya menjulang tinggi agama Islam yang mulia ini sekalipun ia dibenci oleh orang yang kufur.

Islam sebagai agama yang syumul dan global memerlukan kita bersikap positif dalam menangani isu-isu berkaitan dengan politik, keamanan, ekonomi, akhlak, alam sekitar dan sebagainya.

Sungguhpun gerakan Islam disekat daripada bergerak secara bebas kita masih boleh berdepan secara aman dalam negara yang demokrasi.

Dari sudut yang lain, kita juga tidak akan berdiam diri terhadap sebarang bentuk kezaliman yang dilakukan secara terang-terangan bagi menghalang kemenangan kita di setiap tempat.

Begitu juga kezaliman yang menyekat kemajuan kita dalam bidang sains dan teknologi serta paksaan untuk kita patuh dan tunduk dalam usaha untuk menjajah bumi umat Islam dan menghalang hak-hak kita untuk hidup.

Dalam perayaan memperingati pembukaan kota Istanbul oleh orang-orang Turki yang keluar dari Asia Tengah dengan dipimpin oleh Muhammad al-Fatih r.h. mengingatkan kita kembali bahawa Islam akan memuliakan mereka yang berpegang dengan ajarannya.

Sebagaimana Allah telah memuliakan masyarakat Arab yang keluar dari tengah padang pasir dan berjaya menewaskan dua kuasa besar dunia pada masa itu iaitu Rom dan Parsi.

Mereka berjaya memimpin dunia setelah mereka berpegang kepada ajaran Islam. Kita juga akan berjaya memulihkan dunia yang telah dirosakkan oleh golongan Zionis dan penjajah moden ini jika kita kembali kepada Islam kerana kita berada di atas landasan yang benar.

Kebenaran akan terus kekal dan akan mendapat pertolongan daripada Allah SWT Mereka membuat perancangan-perancangan jahat mereka sedang Allah juga merancang untuk mereka dan ingatlah bahawa Allah tidak akan menyalahi janji kepada para rasul-Nya dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bertindak. - mks.

[Terjemahan intipati ucapan YB Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa berucap di 17th International Congress of Muslim Communities Union, 29 � 30 Mei 2008, Istanbul, Turki. Ucapan diberikan dalam Bahasa Arab] _


Pasrah Di Zaman Badai Fitnah

Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Nabi Muhammad s.a.w banyak mengajar doa-doa yang indah. Namun, keindahan doa-doa itu kadang-kala tidak dapat seseorang hayati sehinggalah muncul suasana kehidupannya yang benar-benar disentuh oleh doa-doa tersebut. Apabila suasana itu hadir, barulah dapat dinikmati kesyahduan doa-doa tersebut.

Ketika itu, doa yang dahulunya kita baca berulang kali terasa biasa bertukar menjadi begitu menusuk kalbu dan jiwa. Terasa betapa keperluan menghayati apa yang diajar oleh Nabi s.a.w. Malangnya dalam masyarakat kita, doa-doa Nabi s.a.w yang asli ditinggalkan, sementara doa-doa rekaan yang dipetua oleh buku atau orang tanpa bersumber daripada Nabi s.a.w pula menjadi pilihan.

Tokoh ulama umat yang besar al-Qadi `Iyadh berkata: “Sesungguhnya Allah telah mengizinkan untuk berdoa kepadaNya. Dia mengajar doa dalam kitabNya kepada hamba-hambaNya. Nabi s.a.w pula mengajar doa kepada umat baginda. Dalam doa-doa tersebut mengandungi tiga unsur, iaitu; ilmu mengenai tauhid, ilmu mengenai bahasa dan nasihat kepada umat.

Maka tidak wajar bagi seseorang berpaling daripada doa-doa baginda s.a.w. Syaitan telah menipu manusia dalam hal ini, lalu dia telah mewujudkan untuk mereka satu puak yang jahat (kaum yang mencipta doa-doa palsu ini). Lantas mereka mencipta secara palsu untuk diri mereka doa-doa yang memalingkan mereka daripada mencontohi Nabi s.a.w.

Lebih buruk lagi, mereka menyandarkan doa-doa tersebut kepada para nabi dan orang-orang soleh, lalu mereka kata: Doa Adam, doa Nuh, doa Yunus dan doa Abi Bakr al-Siddiq r.a.”( Ibn al-Imam, Silah al-Mu’min fi al-Du`a wa al-Zikr, m.s. 22-23, Damsyik: Dar al-Kalim al-Tayyib)

Zaman ini adalah zaman fitnah. Fitnah dalam al-Quran dan al-Sunnah bukan seperti yang difahami oleh orang melayu dengan maksud menuduh dusta ke atas orang lain. Tetapi fitnah itu apabila disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah ia bermaksud ujian atau kejadian yang mengancam agama dan ketenteraman hidup sehingga mampu mengheret seseorang ke kancah yang tidak diredhai Allah.

Demikian syirik, kufur, bid’ah, maksiat, pembunuhan, ketidak tenteraman, kekacauan dan seumpamanya diistilahkan juga sebagai fitnah. Hidup di zaman fitnah adalah sesuatu yang memeritkan. Sehingga kadang-kala insan akan terpinga-pinga dalam menentu pendirian dan keputusan yang betul.

Nabi s.a.w dalam banyak hadis-hadis baginda mengajar kita supaya sentiasa memohon perlindungan dengan Allah daripada fitnah iaitu ancaman yang menggugat agama dan ketenteraman hidup. Sebab itu, antara yang diajar oleh baginda kepada setiap yang bersolat agar sentiasa memohon perlindungan dengan Allah daripada empat perkara. Iaitu “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada azab neraka jahanam, daripada azab kubur, daripada fitnah semasa hidup, fitnah semasa mati dan fitnah al-Masih Dajjal” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Doa ini dibaca semasa tasyahud (tahiyyat) sebelum memberi salam. Banyak lagi doa-doa yang cantik banyak diajar oleh baginda dalam solat. Namun ramai yang tidak tahu kerana solatnya ikut-ikutan. Mereka tidak mempelajari solat menerusi hadis-hadis Nabi s.a.w, sebaliknya hanya mewarisi solat apa yang dilihat semata.

Tanpa tahu bagaimanakah solat itu diajar oleh Rasulullah s.a.w. Lalu hilanglah peluang kemanisan doa-doa tersebut. Sebab itu, antara buku yang baik untuk dibaca oleh setiap lapisan tentang solat ialah buku tulisan ulamak hadis yang terkenal Nasiruddin al-Albani yang bertajuk “Sifat Solat Nabi s.a.w”.

Banyak bacaan-bacaan yang amat indah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w dapat dipelajari. Antara yang indah itu bahawa Nabi s.a.w apabila bangun bersolat pada malam hari, baginda membuka solatnya (membaca doa iftitah) seperti berikut: (maksudnya) “Wahai Tuhan Jibril, Mikail, Israfil, Pencipta langit dan bumi, Mengetahui yang ghaib dan yang nyata! Engkau yang menghukum apa yang hamba-hambaMu berselisihan antara mereka. Tunjukkan daku kebenaran mengenai apa yang dipertikaikan dengan izinMu. Sesungguhnya Engkau menunjukkan sesiapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus”. (Riwayat Muslim).

Demikian doa yang seperti ini -dengan keindahan bahasa arabnya- menusuk jiwa di kesunyian malam, di kala manusia lain masih nyenyak tidur dan tenggelam dalam mimpi, sedangkan hamba Allah yang ikhlas merintih merayu agar ditunjuk jalan yang lurus atas segala perselisihan yang berlaku di kalangan masyarakatnya.

Doa ini lebih menyentuh jiwa dan kehalusan nurani tatkala kita hidup di zaman kegawatan tingkah manusia dan perselisihan yang tidak sudah-sudah. Setiap pihak mendakwa dia yang benar. Sehingga kita tidak tahu siapa syaitan yang bertopengkan malaikat, atau malaikat yang dituduh syaitan.

Telah berulang kita membaca doa Nabi s.a.w. “Ya Allah, jika Engkau kehendaki berlaku dalam sesuatu kaum itu fitnah, maka matikanlah aku dalam keadaan tidak terfitnah” (Riwayat al-Imam Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani). Namun membaca hadis ini dalam zaman atau keadaan yang penuh fitnah benar-benar memilukan jiwa.

Terasa keperluan kepadanya. Terasa kerinduan kepada kedamaian hidup yang hakiki. Lalu airmata tanpa sedar membasah pipi dalam kelesuan gelora hidup dan syahduan perasaan yang rindukan bimbingan Tuhan. Dalam doa ini Baginda Nabi s.a.w mengajar agar kita memohon supaya jangan ditimpakan fitnah iaitu kerosakan yang menggugat pegangan atau pendirian yang benar dalam beragama.

Fitnah jika turun sehingga menggugat apa yang diajar oleh Allah dan rasulNya, maka kehidupan itu adalah racun sekalipun disangkakan madu. Jika benar fitnah akan berlaku maka kita disuruh memohon kepada Allah agar mati dalam keadaan tidak terlibat dengan fitnah atau kerosakan tersebut. Walaupun asalnya seseorang tidak disuruh bercita-cita untuk mati, namun baginda dalam hadis lain menyebut: “Jangan seseorang kamu berharap agar mati disebabkan kemudaratan yang menimpanya. Namun jika tidak boleh, katakanlah: Ya Allah! Hidupkanlah daku sekiranya kehidupan itu baik untukku. Matikanlah daku jika kematian itu baik untukku” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kadang-kala kematian lebih baik daripada hidup menyusahkan orang lain sehingga menjadi fitnah atau gangguan kepada umat. Demikian mati lebih baik daripada cuba menghadapi ujian yang akhirnya membawa kita tewas lagi rugi pada kehidupan akhirat. Maka tidak pelik jika Saidina ‘Umar bin al-Khattab r.a. pada usianya yang lanjut, ketika dia pulang dari menunai haji, beliau berdoa sambil mendongak ke langit dan mengangkat tangannya: “Ya Allah! Sesungguhnya telah lanjut usiaku, telah rapuh tulang belulangku, bertambah ramai rakyatku, maka ambillah nyawaku sebelum aku mensia-sia tugas dan tanpa ditimpa fitnah”. Lalu tidak sampai sebulan selepas pulang ke Madinah beliau wafat dibunuh.

Demikian Saidina ‘Ali bin Abi Talib r.a, walaupun usia belum lanjut, namun apabila rakyatnya kucar-kacir tidak mahu tenteram walaupun telah diusahakan, beliau meminta agar Allah merehatkannya dari kedegilan rakyatnya. Lalu beliau pun mati selepas itu. Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz apabila merasakan rakyat sudah tidak mampu mentaati keadilan dan kebenaran yang ditegakkannya, dia meminta daripada insan yang mustajab doanya ketika itu agar memohon Allah mengambil nyawanya. Lalu tidak lama kemudian dia pun meninggal. (lihat: Ibn Rajab, al-Jami’ al-Muntakhab, 103, Lebanon: Muassasah Fuad).

Ini adalah cebisan kisah daripada sirah insan-insan soleh yang lebih rela mati daripada hidup menjadi beban dan fitnah kepada orang lain. Bandingkanlah mereka ini dengan orang-orang politik yang rela sesiapa pun mati, asalkan mereka dapat hidup. Segala macam ‘kelentong’ dikeluarkan. Biar manusia pecah kepala, asal mereka mendapat kuasa.

Saya bukan menimbulkan kisah ini untuk kita putus asa dengan kehidupan. Tetapi supaya orang yang daif seperti saya sentiasa beringat walaupun kaki berpijak di bumi, namun jiwa hendaklah sentiasa tenggelam dalam kehidupan hakiki selepas berakhir episod di bumi ini. Jika itulah jiwa dan perasaan kita, tentulah politik kita tidak sekelam kabut begitu.

Walaupun kadang-kala politik berbunyi agama, namun bukan sedikit juga agama hanya jambatan untuk dipijak agar sampai ke kerusi politik. Maka, berapa ramai yang hanya membaca nas-nas yang mengharamkan itu dan ini untuk menyalahkan orang lain. Tidak pula membacanya untuk dirinya dan puaknya.

Umpamanya, ketika menuduh orang lain dengan berbagai tuduhan, tidaklah pula kedengaran nas dan dalil pengharaman menuduh orang tanpa bukti dan saksi. Tetapi segala dalil dan nas akan keluar dengan lancarnya ketika orang lain menuduh kita. Sehingga ramai yang keliru. Siapakah yang jujur, siapa pula hanya bermadah pujangga? Atau kesemuanya jembalang yang menjelma dalam berbagai wajah demi menggoda kita semua?

Siapakah yang selamat dalam suasana yang sebegini? Berdasarkan hadis-hadis Nabi s.a.w golongan yang paling selamat adalah sesiapa yang tidak melibatkan diri dari menyertai mana-mana pihak yang bertempur sesama muslim. Itulah fitnah yang merosakkan agama kerana bertempur atas isu yang tidak pasti. Firman Allah dalam Surah al-Isra, ayat 36: (maksudnya): “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.

Pada zaman Saidina ‘Ali bin Abi Talib r.a. telah berlaku fitnah yang telah memecah belahkan kaum muslimin, termasuk para sahabah Nabi s.a.w. Kesemuanya berpunca daripada isu pembunuhan Saidina ‘Uthman bin ‘Affan r.a. Isu dan peribadi mereka jauh lebih mulia. Bukan seperti peribadi-peribadi samar dan kabur yang diselubungi oleh berbagai tanda tanya seperti sesetengah orang pada hari ini.

Para pengkaji sejarah cuba mengkaji pendirian siapakah yang paling tepat dalam suasana fitnah ketika itu. Berbagai kesimpulan telah dikeluarkan, namun saya bersetuju bahawa pendirian yang paling tepat adalah pendirian para sahabah yang tidak mahu terlibat dengan perbalahan tersebut. Ini pendirian majoriti sahabah.

Kata Muhammad bin Sirin (meninggal 110H): “Ombak fitnah melanda, sementara para sahabah yang masih hidup berpuluh-puluh ribu, namun yang terlibat dalamnya tidak melebihi seratus orang. Bahkan tidak melebihi tiga puluh orang” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/264, Lebanon: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Sebelum pertempuran antara dua sahabah; ‘Ali dengan Mu’awiyah tercetus, banyak pihak berusaha agar peperangan Siffin itu tidak terjadi. Antara yang berusaha mendamaikan kedua belah pihak ialah dua orang tokoh sahabah yang mashyur Abu Umamah al-Bahili dan Abu Darda’ yang datang menemui Mu`awiyah dan berkata: “Wahai Mu`awiyah! Apakah alasanmu memerangi `Ali? Demi Allah! Sesungguhnya dia lebih dahulu menganut Islam daripadamu dan ayahmu. Dia lebih dekat hubungannya dengan Rasulullah dan lebih berhak daripadamu dalam urusan pemerintahan”.

Jawab Mu`awiyah: “Aku memeranginya kerana darah `Uthman dan sesungguhnya `Ali telah melindungi pembunuhnya. Kamu berdua pergi kepadanya dan beritahu dia, laksanakan hukuman bunuh balas terhadap pembunuh `Uthman nescaya akulah orang Syam yang pertama berbai`ah (janji taat) dengannya”.

Maka Abu Umamah dan Abu Darda’ pun pergi menemui `Ali, dan menyatakan kepadanya seperti yang diminta oleh Mu`awiyah. Saiyyidina `Ali pun menunjukkan kepada mereka sejumlah tentera yang ramai yang menyebut: “Kami adalah pembunuh `Uthman, sesiapa yang mahu, sila serang kami”. Akhirnya Abu Umamah dan Abu Darda’ pun pulang dan mengambil keputusan untuk tidak melibatkan diri di dalam peperangan.(Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/270).

Begitu juga Abu Muslim al-Khaulani dan mereka yang bersama dengannya, pernah datang menemui Mu`awiyah dan bertanya: “Engkau memerangi `Ali, apakah engkau ini setaraf dengannya?”.

Jawab Mu`awiyah: “Demi Allah, aku benar-benar tahu bahawa dia lebih baik dan afdal serta lebih berhak di dalam pemerintahan daripadaku. Namun kamu semua tahu bahawa `Uthman dibunuh secara zalim dan aku adalah sepupunya. Aku menuntut darah `Uthman. Beritahu `Ali, serahkan pembunuh `Uthman kepadaku nescaya aku menyerahkan urusan ini kepadanya.” (Ibid 8/132).

Maka atas kekaburan itu, kebanyakan sahabah dan tabi’in mengambil pendirian tidak mahu menyertai peperangan tersebut.

Jikalau peperangan yang dikepalai oleh tokoh-tokoh sahabah seperti ‘Ali bin Abi Talib sepupu Nabi s.a.w juga khalifah yang sah, ‘Aisyah isteri Nabi s.a.w sendiri, Mu’awiyah sahabah Nabi s.a.w, majoriti para sahabah enggan menyertainya disebabkan kekeliruan yang berlaku. Padahal tokoh-tokoh itu adalah insan-insan soleh yang dijamin syurga oleh baginda Nabi s.a.w.

Apakah kita di zaman ini ingin menyertai pertembungan sesama muslim dalam isu-isu yang kabur dan dikepalai pula oleh peribadi-peribadi yang tidak pasti? Fitnah oh fitnah. Ya Allah, kami pasrah kepadaMu dalam fitnah yang mengelirukan ini.