foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

Tuesday, March 10, 2009

8 MAC 2008 WAJAR DIINGATI DAN DIPERKASAKAN

HR9808@IKRAR - adalah wadah bebas bukan partisan yang memfokus kepada kebajikan rakyat.
Singkatan;IKRAR (Ikatan Kebajikan Rakyat)

10 MAC
Walaupun ianya telah berlalu setahun, tetapi 8 Mac 2008 bagi semua pejuang dan rakyat yang inginkan perubahan di bumi Malaysia adalah tarikh keramat. Tarikh yang hampir merubuhkan sebuah kota pertahanan penguasa yang zalim sejak 50 tahun lalu dan menggantikannya dengan sebuah kerajaan rakyat yang berkebajikan. INilah uniknya tarikh 8 Mac dan inilah tarikh yang sewajarnya menjadi ikon penting buat anak cucu kita di masa akan datang sehingga ruhnya dihidupkan menjadi realiti. Jika ditinjau dari beberapa insiden selepas 8 Mac lalu dan beberapa pencapaian kelas A di beberapa negeri di bawah PR, tidak mustahil harapan Malaysia Baru seperti yang selalu didengungkan oleh DSAI akan menjadi realiti insyaallah pada PU13..Rakyat makin yakin kepada PR apatah lagi setelah insiden di Perak. Tahniah kepada semua pimpinan PR dan seluruh rakyat yang membantu bagi menjayakan agenda rakyat ini,,!!

Mengingati keputusan rakyat setahun lalu - Pidato Anwar

Harakahdaily Tue Mar 10, 09 11:24:30 am MYT
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Hrkh) - 8 Mac lalu, adalah genap setahun kejayaan Pakatan Rakyat membela rakyat hasil keputusan rakyat yang memberi kepercayaan penuh kepada PAS, KeADILan dan DAP pada pilhan raya umum 8 Mac 2008.
Berikut adalah tranksrip penuh Penasihat KeADILan dan Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim memperingati keputusan rakyat setahun lalu:

Alhamdullillah, dan kita bersama hari ini mengingati keputusan rakyat yang dibuat setahun yang lalu.
Pada 8 Mac 2008, rakyat ternyata lebih bijak dari peramal, dukun dan pawang politik. Segala tukang tenung politik ini meramalkan Barisan Nasional akan menang besar dan pencabar mereka akan kecundang. Dan sebahagian besar tukang ramal ini, ada yang duduk di menara gading, ada yang menelek dari bangunan media, diupah oleh pemerintah untuk meramalkan kemenangan besar.
Jentera dan dana yang digunakan oleh Barisan Nasional menggerunkan. Parti-parti Pakatan Rakyat, KeADILan, DAP dan PAS terpaksa berentap dengan segala kekurangan dana, jentera dan tekanan. Kita dihujani dengan pelbagai fitnah dan sekatan. Namun dengan segala keterbatasan tersebut rakyat telah menyebelahi kita, dan membuka lembaran baru dalam politik Malaysia.
Maka sempena setahun peristiwa tersebut marilah kita ulangi ucapan penghargaan setingginya kepada rakyat Malaysia:
Terima Kasih Rakyat Malaysia; Xie xie ma lai xi ya ren min Malaysia; Makkal ellarukkum romba nandri; Terima kase? mangoh ngau rakyat Malaysia.
Prestasi Pakatan Rakyat
Dalam Pemasyhuran Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman (1957) menyebutkan bahawa Malaysia, ketika itu Persekutuan Tanah Melayu, akan menjadi sebuah negara demokrasi mengikut cara parlimen.
Parlimen adalah berdaulat dan tempat suara rakyat bergema. Parlimen adalah institusi untuk menjaya dan melaksanakan prinsip ketuanan rakyat. Kita mahu parlimen benar-benar menyuarakan hasrat rakyat, membahaskan kepentingan rakyat.
Pada 13 Oktober 2008, ketika membahaskan Belanjawan Negara yang dibentang oleh Perdana Menteri yang ketika itu Menteri Kewangan, kami telah menolak belanjawan tersebut kerana tidak mengambil kira iklim ekonomi dunia yang meleset parah berikutan kemelut ekonomi Amerika Syarikat.
Kita meminta kerajaan mengambil pendekatan baru yang lebih drastik untuk mengelakkan ekonomi Malaysia dari merudum. Tetapi menteri kewangan dahulu dan menteri kewangan sekarang terus menafikan malah sering mengulangi bahawa asas ekonomi Malaysia kukuh. Hanya dua minggu yang lalu Menteri Kewangan bagaikan terpinga-pinga mengatakan tiada siapa yang menjangkakan ekonomi Malaysia akan menghadapi kegawatan seteruk sekarang. Pakej rangsangan awal lesap menjadi debu melainkan syarikat dan kontraktor terpilih. Pakej ransangan kedua masih kecil dan tidak berupaya memulih keyakinan. Izinkan saya menukilkan bait pantun ini:

Pergi ke Riau mencari arang,
Pulang membawa bunga angsana;
Negeri kini dirundung malang,
Khazanah hilang entah ke mana.

Insya-Allah, ahli-ahli parlimen kita akan menggegarkan Parlimen untuk memastikan persoalan rakyat didengar dan diselesaikan. Kita telah berulang kali menyebutkan mutu pendidikan kita yang merosot, kos kesihatan yang meningkat, harga barang yang melambung tinggi dan pengurusan negara yang tidak bersepadu dan pentadbiran yang kucar kacir.
Pencapaian Negeri-Negeri Pakatan Rakyat
Lebih satu dekad telah berlalu sejak meletusnya gerakan Reformasi, satu gerakan yang berlandaskan keinganan yang disebut dalam al-Qur?an melalui doa Nabi Syuaib - wa ma uridu illa islah mastat?tum - Dan tidak aku inginkan melainkan adalah melakukan islah- pembaharuan, reformasi - dengan segala daya upayaku.
Islah berasal dari kata salaah seperti yang dihuraikan oleh ahli bahasa, pembuat kamus, Ibnu Manzur, sebagai lawan kepada fasad, kebejatan. Maka gelombang kebangkitan rakyat sejak 10 tahun yang lalu adalah untuk melawan kefasadan, melawan kebejatan pemerintah, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Mahkamah dan institusi kehakiman dibentuk agar berlakunya tata hukum dan keteraturan yang adil dalam negara. Tetapi rakyat menyaksikan bagaimana mahkamah dinodai untuk mencapai nafsu dan cita-cita kotor penguasa. Maka rakyat bangun menuntut mahkamah dan sistem kehakiman dibersihkan dari noda kuasa pemerintah.
Sehingga hari ini rakyat terus memperjuangankan cita-cita ini. Peguam-peguam kita terus berhujah di mahkamah, mengemukakan hujah undang-undang dan budibicara agar mahkamah berdiri di atas prinsip hukum dan keadilan. Rakyat telah menyaksikan beberapa hakim yang berani, rakyat juga menyaksikan jumhur hakim yang tunduk kepada tekanan mereka penguasa. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebaik dilancar menjadi momokan lembu dicucuk hidung dan Suruhanjaya Kehakiman yidak diyakini kewibawaannya.
Suara rakyat yang sudah sekian lama dibungkam dan ditindas, meronta dan menjerit. Mereka turun ke jalan raya dengan aman, yakin bahawa suara rakyat suara keramat. Mereka menuntut hak mereka yang dikurnia Maha Pencipta serta yang termaktub di dalam Perlembagaan.
Sebelum ini kita berjuang, menggarap kefahaman akan apa sebenarnya erti perubahan itu, akan makna reformasi itu. Kita menentang rasuah dan ketidakadilan. Kita menuntut agar kehakiman bebas, kita mahu pendidikan serta kebudayaan dimartabatkan. Kita mahu pengurusan ekonomi yang cekap, tadbir urus yang beramanah dan berwibawa. Kita impikan sebuah negara yang makmur untuk semua.

Perjuangan kita berpaksikan ketuanan rakyat.
Makanya pakatan yang kita cetuskan bersama selepas Pilihanraya Umum 12 (PRU) itu dinamakan Pakatan Rakyat. Kita kini mempunyai kesempatan untuk mengotakan apa yang sering dilaungkan. Kita sekarang wajib untuk menunjukkan wibawa kita kepada rakyat yang sama berkorban bukan sedikit meletakkan harapan kepada kita. Inilah waktunya untuk kita menunjukkan apa yang sebenarnya menjadi pemisah di antara kita Pakatan Rakyat dengan mereka - Barisan Nasional.
Di negeri-negeri PR kita telah membawa Agenda Ekonomi Malaysia. Tahniah kepada rakan-rakan Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri yang berikhtiar meredakan beban hidup rakyat dalam masa singkat. Iltizam kita untuk melaksana tata urus yang baik adalah paksi sistem pentadbiran.
Umpamanya kontrak diluluskan dengan lebih cekap dan telus. Tender adalah terbuka, cara memberi kontrak dalam gelap dan tempat ahli politik mengaut rasuah dari wang rakyat, sebagaimana yang dilakukan oleh pemerintahan BN, harus berlalu. Kita tidak berkompromi sama sekali dengan rasuah, kita bersyukur lantaran langkah awalan tersebut, kita telah menjimatkan ratusan juta wang rakyat serta dapat mengagihkan Kita peluang yang lebih kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana terutamanya kepada Bumiputera.
Kelantan dibawah Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Kerajaan Negeri Kedah dibawah pimpinan Dato? Seri Ustaz Azizan telah meningkatkan keupayaan menjimat belanja mengurus dan mengagihkan dana kepada rakyat.
Kelantan umpamanya adalah negeri yang mempunyai kadar rasuah dan kadar jenayah paling rendah. Malah dengan hasil mahsul negeri yang relatifnya kecil mereka mampu menjana program kebajikan rakyat yang boleh diteladani.
Di Pulau Pinang pelaburan meningkat dua kali ganda dalam setahun, di Perak meningkat kepada RM 3.4 bilion. Pelaburan di Selangor mencacat tertinggi dalam sembilan tahun, sebanyak RM 11.87 bilion dan telah mencipta 30 ribu pekerjaan baru untuk rakyat Malaysia.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim turut memberi tumpuan kepada program perumahan untuk rakyat terbanyak, memperbaiki sistem pengangkutan awam dan menangani kesesakan jalan yang semakin rumit.
Pentadbiran beliau telah menyediakan bekalan sumber, Zon Hijau untuk menjadikan bandar-bandar di Selangor lebih selesa didiami, dan mengikuti langkan Kelantan dalam melancarkan, untuk pertama kalinya skim takaful/insran untuk warga tua, di mana RM 40 juta diperuntukan bagi kemudahan kesihatan untuk seramai 365,000 warga tua.
Di Pulau Pinang, pelaburan asing dalam tahun 2008 berjumlah RM 10.2 bilion, peningkatan 117% dari pemerintahan BN sebelumnya. Ini merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan memandangkan kemelesetan ekonomi telah melanda seluruh dunia sejak tahun lepas lagi.
Kepimpinan Ketua Menteri YAB Lim Guan Eng dalam memandu ekonomi Pulau Pinang adalah mengikut landasan Ketelusan, Pertanggungjawaban dan Kewibawaan. Nilai-nilai ini telah membolehkan kerajaan negeri melatih dan memberi pekerjaan kepada ribuan rakyat. Menyedari langkah-langkah yang diambil mengambil masa untuk meningkatkan pendapatan kepimpinan Pakatan Pulau Pinang telah memberikan geran air berjumlah RM 17 juta kepada 170,000 rumah untuk mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah di saat-saat getir ini.
Selangor dan Perak telah mengurangkan beban rakyat dizaman kemelesetan ini dengan memberikan air percuma kepada rumah-rumah termiskin. Kerajaan Perak telah memberikan geran tanah kepada keluarga-keluarga yang layak secara adil termasuk untuk Orang Asli, Melayu dan Cina.
Kita percaya bahawa sumbangan terpenting yang boleh kita lakukan adalah untuk pendidikan anak-anak. Kita mahukan generasi akan datang bersaing di dalam ekonomi serantau dan dunia. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat khususnya Selangor dan Kedah memberikan tumpuan dalam bidang pendidikan; memberikan prasarana untuk sekolah semua kumpulan etnik. Di Perak umpamanya 1000 hektar tanah diberikan untuk sekolah agama rakyat dan sekolah jenis kebangsaan Cina.

Makna Ketuanan Rakyat
Tidak sesiapa yang harus menyangkal asas pembentukan negara persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Namun setelah lima dekad Merdeka, terdapat hujahan dangkal dengan meniupkan slogan ketuanan kaum. Justeru itu kita wajar memberikan nafas baru kepada semangat Perlembagaan yang melakarkan dengan cermat kuasa rakyat.
Ketuanan rakyat yang kita maksudkan adalah demokrasi yang matang di bawah naungan raja beperlembagaan. Demokrasi yang matang adalah demokrasi dimana rakyatnya perkasa, jiwanya merdeka, akalnya pintar, tindakannya dipandu oleh prinsip moral dan idealisme. Demokrasi inilah yang kita perjuangkan. Pohon demokrasi ini akan kita suburkan dengan pembinaan institusi-institusi masyarakat madani, media yang bebas serta bertanggjung jawab dan perlaksanaan undang-udang dengan seadilnya.
Rakyat yang merdeka jiwanya, tinggi akal budinya sentiasa mahukan keadilan untuk semua. Orang Melayu, Cina, India, Iban, orang Ulu mahu mahu membina Malaysia yang boleh mereka banggakan.
Tidak ada rakyat Malaysia yang sebegitu rendah akal budinya yang mahukan keluhuran perlembagaan dinodai dan kedaulatan undang-undang dicabul oleh gerombolan perasuah dan perompak harta rakyat.
Justeru itu kita mahukan demokrasi yang matang dan manakala terdapat kebuntuan dan krisis berlarutan seperti yang berlaku di Perak, kewajarannya ialah untuk kembali kepada rakyat.

Persaudaraan Seluruh Manusia
Ketuanan rakyat ini tidak berkaitan tentang kekuasaan semata-mata. Dalam konteks Malaysia, ketuanan rakyat perlu tegak di atas prinsip persaudaraan sesama manusia, tanpa mengira warna kulit, keturunan, agama dan kepercayaan. Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat kaya dengan kebudayaan disebabkan punya sebuah masyarakat berbilang kaum.
Mereka yang tidak mengenali sejarah akan terperangkap di dalam seribu perbezaan sedangkan Al-Quran al Karim menganjurkan konsep li ta'arafu; agar kamu saling kenal mengenal. Manakala bagi yang yakin dengan jatidiri mereka akan berusaha mengenali yang lain dan meraikan persamaan.
Kung Fu Tze di dalam Lun Yu Buku ke 4 Bab Yuen Yuen ada menukilkan "si hai zhi nie jie xiong di yang membawa maksud empat lautan terbentang luas, semua manusia bersaudara.
Kita seharusnya menginsafi bagaimana sewaktu pemerintahan Kerajaan Ming, wujudnya penulis yang berupaya menulis serta memberi komentar mengenai agama Islam sehandal ulama muktabar dari Tanah Arab. Sekitar tahun 1642, Wang Daiyu [yang digelar Pemuka Agama Islam (Zhenhui Laoren) ketika itu] menulis Zhengjiao Zhenquan [Anotasi Asli Ajaran Murni (ortodoks)] hasil dari perbincangan dengan pemuka-pemuka ajaran Konfucius, Tao dan Buddhisme.
Karya perbandingan agama ini kemudiannya berulang kali diterbitkan semula sehinggalah yang terakhir pada tahun 1987 (teks otoritatif).
Khalifah Ali Abi Talib apabila ditanya tentang apakah jenis persaudaraan antara orang Islam dengan bukan Islam. Beliau jawab .Akhukum fil Insaniah? - mereka, yang bukan Islam, adalah saudara kamu dalam kemanusiaan. Ianya jelas menggambarkan prinsip persaudaraan ini.
Ungkapan Khalifah Ali ini adalah senada dan seirama dengan peribahasa Tamil: Ontre Kulam Oruvane Thevan (Satu Jiwa Kerana Kemanusiaan).
Patriotisme Sejati
Fahaman ketuanan satu kaum yang disebarkan oleh Umno sungguh tidak berasas. Mereka dengan sengaja memesongkan maksud sebenar falsafah negara kebangsaan itu demi kepentingan segelintir yang memerintah.
Tatkala gagah, pimpinan mereka banyak bergelut merebut kekayaan tetapi sebaiknya tergugat kekuasaan mereka beralih mengemis dukungan dengan laungan ketuanan Melayu. Walhasil penegasan kita mirip falsafah negara kebangsaan yang diungkap oleh almarhum Dr Burhanuddin al Helmy dalam karyanya yang berjudul Falsafah Kebangsaan Melayu (1954):
Kita hendak mendirikan negara kebangsaan Melayu di atas dasar kebangsaan, menurut keadilan dan kemanusiaan yang luas dan sama berhak dan adil, bukan sekali-kali kebangsaan yang sempit, jauh sejauh-jauhnya dari berbau perkauman dan perasaan kolot dan kuno.
Demikianlah nada pejuang bangsa tulen, berbeda dengan nasionalis baru yang melalak isu bangsa secara sempit di samping mempertahankan kezaliman dan mengaut keuntungan. Mana mungkin memperjuangkan kemurnian agama dengan menzalimi yang lain. Kini tibalah masanya kita merebut kembali erti perjuangan kemerdekaan; perjuangan yang bertunjangkan Ketuanan Rakyat.

Perjuangan Bahasa Melayu
Ambil sahaja persoalan bahasa Melayu. Suatu ketika dahulu pelajar-pelajar sekolah menyanyikan lagu .Bahasa Jiwa Bangsa. Perjuangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kemudiannya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bukan sahaja perjuangan orang Melayu, tetapi satu perjuangan kebangsaan, perjuangan membentuk rupa bangsa Malaysia yang bersatu padu. Tetapi semalam mereka yang memperjuangan Bahasa Melayu ditembak dengan gas pemedih mata kerana mempertahankan Bahasa Melayu dan hak bahasa ibunda.
Negara sekarang berhadapan dengan cabaran yang sugguh getir. Kita insaf dengan keadaan ekonomi yang menguncup dan kesan buruknya buat rakyat khususnya kalangan miskin. Pendekatan lama yang menangguk atau menggeruk di atas keperitan hidup rakyat miskin harus berubah. Pemerintah tidak wajar sekadar membantu meredakan sedikit beban rakyat tetapi tidak melepaskan mereka dari putaran ganas kemiskinan; supaya mereka mampu berdikari.
Cara yang diamalkan selama ini dengan memberikan bantuan kecil untuk mengekalkan kebergantungan dependency syndrome untuk tujuan politik murahan perlu ditamatkan. Pendekatan harus berubah kepada pinjaman kecil atau kredit mikro umpamanya buat masyarakat Melayu, bumiputera dan rakyat miskin lainnya. Kita perlu melakukan anjakan dalam dasar pembangunan desa dan pendekatan baru dalam menangani kemiskinan bandar.
Dasar membela rakyat termiskin dan terpinggir (affirmative action) bukanlah untuk menjadikan mereka khadam terhormat tetapi harus menjurus ke arah membebaskan mereka dari kebergantungan. Maka sungguh mengelirukan manakala kita diminta bersyukur dengan limpahan projek kecil tetapi dipadam kenyataan bahawa kos sara hidup dan jumlah pengangguran dijangka mencecah 400 ribu orang. Pertumbuhan ekonomi tidak terkesan di akhir tahun 2008. Ekspot januari 2009 mencatat kejatuhan paling teruk sepanjang 28 tahun (menguncup 32% berbanding tahun sebelumnya).
Kita kini harus menangani krisis ekonomi yang paling dahsyat dalam sejarah bangsa kita. Tetapi kita juga berdepan dengan rasuah, krisis undang-undang dan masalah hubungan kaum yang meruncing.
Segala krisis ini hanya boleh diselesaikan melalui agenda ekonomi yang mampu menggembeling seluruh kekuatan rakyat. Menangani kemelut ekonomi yang kian parah menuntut anjakan dari dasar lmbap yang tidak diyakini pelabur dan rakyat. Segala ransangan dana tidak akan berbekas tanpa perubahan sistem percukaian, perundangan dan pengagihan adil.
Justeru itu harus waspada dengan percubaan penguasa dengan menggunakan muslihat baru, memohon diredakan penggeseran politik dengan menumpukan kepada isu kegawatan ekonomi walhasil isu ekonomi tidak mungkin terlepas dari isu perencanaan ekonomi, ketelusan dan pertanggungjawaban.
Ini diperkukuhkan dengan perbicaraan yang dikaitkan dengan peralihan pimpinan negara. Peralihan malah tambah mencemaskan kerana terperangkap dengan dasar usang yang mencengkam kebebasan dan urusan ekonomi yang menjurus kepada rasuah dan penyelewengan.
Perhatikan saja hubungkait permasalahan ekonomi dengan pengurusan negara. Beban rakyat bertambah akibat kebocoran atau ketirisan - kos air, letrik dan tol meningkat. Ini juga berpunca akibat kecurangan dan perjanjian memihak kepada pemodal dan membebankan rakyat samada konsesi tol lebuhraya atau janakuasa bebas (IPP).
Kita semua pengembara menempuh jalan yang sama, dan berusaha memastikan Perubahan terlaksana. Sejarah menjadi saksi betapa ianya jalan berliku; penuh dengan segala macam cabaran dan tantangan. Kita mungkin diserang dari segala arah, wakil kita mungkin sahaja diculik, namun kita perlu mara dengan yakin.
Seandainya kita istiqamah dengan garis besar haluan perjuangan kita akan melaksanakan perubahan sedaya upaya, insya-Allah - azm _

Cabaran setahun kemenangan kuasa rakyat
Mohd Rashidi Hassan rashidi@harakah.net.my Mon Mar 09, 09 2:40:03 pm MYT

8 MAC 2009. Genap setahun kuasa rakyat menghapuskan hegemoni Barisan Nasional. Keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 itu amat mengejutkan.

BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen. Hilang kuasa di enam negeri, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Trend rakyat menunjukkan bahawa rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum di negara, sudah menerima gabungan pembangkang daripada PAS, KeADILan dan DAP, walaupun terdiri daripada latar belakang dan ideologi yang berbeza.
Sekaligus rakyat memberikan harapan besar kepada pemimpin ketiga-tiga parti untuk membentuk suatu front yang dinamakan Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat adalah platform yang amat unik. Ia mengandungi gabungan anggota-anggota dari parti-parti politik yang tidak sehaluan ideologi pada asalnya.
Orang-orang Cina dan India sudah menerima PAS. Tiada lagi tuduhan pelampau agama, tiada lagi 'ketakutan' kepada watak dan ciri-ciri kepimpinan Islam yang cuba dilabel buruk BN sekian lama.
Pemerintahan empat penggal Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan sepenggal Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Terengganu, sudah menjadi asas yang kuat.
Orang-orang Melayu juga sudah semakin menerima DAP. Dasar, kemesraan dan keterbukaan pemerintahan Lim Guan Eng di Pulau Pinang, menunjukkan DAP lebih baik daripada Gerakan.
Pilihan raya umum 8 Mac menunjukkan rakyat sudah menolak politik perkauman yang sempit dan menolak parti perasuah dengan pelbagai gejala politik wang merosakkan masa depan rakyat dan negara.
Rakyat sudah keluar daripada kepompong eksplotasi agama, kaum, puak dan suku yang digunakan BN sebagai senjata untuk berkuasa sekian lama.
Strategi mengapi-apikan sentimen kaum dan memanaskan iklim politik dengan konflik agama sudah tidak laku lagi.
Rakyat mahukan sebuah gabungan parti politik yang boleh dipercayai untuk menyatupadukan rakyat dari pelbagai agama dan bangsa, menjamin keadilan politik dan sosial.
Justeru Pakatan Rakyat dibentuk. Dengan suatu tujuan dan matlamat, iaitu mengembalikan kuasa rakyat, memperjuangkan keadilan dan demokrasi tulen yang memberikan layanan yang saksama kepada semua rakyat dalam negara.
Keadilan, ketelusan dan keterbukaan pemerintahan Pakatan Rakyat dapat dirasai rakyat. Rakyat dari kalangan berbilang kaum, sudah dapat memahami perbezaan jurang yang amat besar hasil pemerintahan setahun Pakatan Rakyat, berbanding 50 tahun BN.
Gabungan Pakatan Rakyat, yang ditunjangi kebanyakannya anak-anak muda dari kalangan pelbagai kaum dan agama, merupakan ancaman yang paling besar buat BN.
Selepas kemenangan besar pembangkang dalam pilihan raya 8 Mac, tembelang BN mulai terbongkar satu persatu.
Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa berundur daripada kerajaan dan parti.
Umno sebagai parti teras yang menunjangi BN dilihat semakin lesu, tidak bermaya, berpecah dengan pelbagai penyakit yang amat kronik.
MCA, MIC dan Gerakan sebagai parti utama dalam BN juga semakin berpecah dan mengalami keretakan dalam yang teruk.
Kedudukan BN di mata rakyat kini terumbang ambing. Belum tentu peralihan kuasa yang dibuat Umno akan dapat memulihkan persepsi rakyat.
Pemimpin Umno dan BN menyedari dan merasai fenomena ini. Di mana-mana sahaja mereka pergi, semakin ramai rakyat, secara terbuka menunjukkan penolakan terhadap Umno-BN dan menyokong Pakatan Rakyat.
Tiada strategi lain yang mampu menyelamatkan Umno-BN selain menggunakan media untuk menyerang dan melumpuhkan keutuhan perpaduan kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.
Usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat dibuat secara berterusan. Sebaik sahaja selepas pilihan raya umum, Umno-BN yang tidak dapat menerima hakikat kekalahan di beberapa negeri, berusaha untuk membeli wakil-wakil rakyat PAS, KeADILan dan DAP.
Sebelas bulan pertama semua langkah, usaha dan tekanan yang dilakukan mereka gagal. Mereka hanya berjaya apabila berjaya memerangkap dua Ahli Dewan Undangan Negeri dan Exco dari KeADILan di Perak terbabit dalam kes jenayah dan seorang Adun DAP yang berkepentingan.
Perak berjaya dirampas mereka, kini terheret ke dalam kancah polemik yang amat kritikal. Selangor dan Kedah sedang cuba diganggu. Hanya Kelantan dan Pulau Pinang sahaja nampaknya tidak banyak gangguan.
Percayalah, BN tidak akan terus berhenti setakat itu. Rancangan mereka akan berterusan kerana kewujudan dan kesaksamaan pemerintahan Pakatan Rakyat, memberikan impak buruk kepada negeri yang mereka terajui.
Selepas ini akan lebih banyak lagi dakwaan palsu dan omong-omong kosong terpaksa diciptakan demi memburuk-burukkan parti dan pemimpin Pakatan Rakyat.
Jika mereka tidak mampu 'membunuh' parti-parti gabungan, mereka akan cuba untuk 'membunuh' personaliti (character assassination) tertentu yang ada dalam Pakatan Rakyat.
Cabaran getir menanti pemimpin Pakatan Rakyat. Mereka harus menyedari bahawa tekanan yang akan ditimpakan oleh Perdana Menteri baru selepas Abdullah, barangkali lebih hebat.
Maka pemimpin PAS, KeADILan dan DAP tiada pilihan lain selain berusaha sedaya upaya memperkukuhkan perpaduan dan menunjukkan kemampuan bekerja dengan baik sebagai satu pasukan.
Pakatan Rakyat harus sedar dan berubah! Tidak harus ada lagi pemimpin yang memperjuangkan kepentingan peribadi, satu puak atau satu parti sahaja.
Tidak harus ada lagi pemimpin yang menghentam parti kawan secara terbuka dengan menggunakan media milik BN.
Tiada harus ada pemimpin yang menegakkan ideologi atau agenda peribadi tanpa konsensus rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.
PAS, KeADILan dan DAP juga harus berusaha mengelakkan pertikaman lidah sesama sendiri dan berusaha mengelakkan bibit-bibit perpecahan dalaman Pakatan Rakyat.
Demi merealisasikan impian rakyat, yang rakyat mahu Pakatan Rakyat mengganti BN pada PRU ke 13 kelak, semua pemimpin dan penyokong harus sedia berkorban demi kebaikan bersama._