foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

Sunday, July 20, 2008

MUZAKARAH PAS DAN UMNO...GIMIK POLITIK DESPERADO PIMPINAN UMNO??

HR9808@IKRAR - adalah wadah bebas bukan partisan yang memfokus kepada kebajikan rakyat.Singkatan;
IKRAR (Ikatan Kebajikan Rakyat)

21 JUN.

Berita utama tv3 diulang beberapa kali tentang muzakarah...sepertinya ia amat penting demi agama, bangsa dan negara. Apakah penyokong PR dan rakyat biasa dapat memahami semua ini? Yang jelas penyokong PR menolak apa juga nama dan bentuk kerjasama dengan UMNO kerana sudah terbukti dalam sejarah UMNO adalah parti yang diisi dengan konsep perjuangan perkauman , opotunis dan sangat pragmatis. Mereka boleh menyamar dalam mencapai tujuan untuk terus kekal dalam pemerintahan di Malaysia. Bukan buruk sangka tapi ianya adalah rialiti...Soal strategi PAS itu adalah hak PAS dan masa depan PAS di Malaysia. Jangan sampai tersalah langkah kerana kegagalan penyatuan PR hari ini membawa kesengsaraan sehingga berpuluh tahun akan datang. Kami yakin semua pihak dari PR akan terus komit dengan agenda yang telah disepakati bersama. Dengarkan dan bertindaklah untuk memenuhi harapan rakyat terutama dari 5 negeri yang telah PR urus sekarang. Di luar 5 negeri, masih ramai lagi rakyat yang sudah bersiap sedia untuk melakukan hal yang sama. Kepada seluruh pemimpin PR kami berpesan...ANDA ADALAH HARAPAN UMMAT DAN DI TANGAN ANDA ADA SEGALANYA!!!

RENUNGAN DARI BEBERAPA KENYATAAN PIMPINAN PAS...

PAS mengakui bertemu Perdana Menteri
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Sun | Jul 20, 08 | 11:57:32 pm MYT

PAS tidak menafikan bahawa memang telah ada pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan YAB Perdana Menterti yang juga selaku Presiden Umno, bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu.

Perjumpaan pertama dengan YAB Perdana Menteri berlaku sejurus selepas PRU ke 12 yang lalu yang melibatkan Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Nasharudin Mat Isa; Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustapha Ali dan ahli parlimen Shah Alam,YB Hj Abd Khalid Samad.

Pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS.

Berikutan itu Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam.

Sehubungan dengan ketetapan itu pertemuan telah diadakan lagi di bangunan Parlimen yang melibatkan Timbalan Presiden PAS dan YAB Perdana Menteri, yang telah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulamak.

PAS bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu di Malaysia. - mr/mks.

20 Julai 2008,
Presiden,
Parti Islam Se Malaysia (PAS).
_


Kenyataan PM bertujuan pecahbelahkan
Abdul Aziz Mustafa
Sun | Jul 20, 08 | 8:58:52 pm MYT

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Hrkh) - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai perundingan dengan PAS bertujuan menabur benih perpecahan di dalam PAS yang mungkin mara mengambil alih tempat Umno pada masa depan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa.

Membidas kenyataan Perdana Menteri dalam sebuah akhbar harian hari ini, Exco kerajaan negeri Kelantan itu mengulangi penegasan bahawa PAS tidak mampu berpecah semata-mata untuk memenuhi impian Perdana Menteri mendapatkan 'keldai' korban yang boleh ditunggang, walaupun sementara.

Perdana Menteri hari ini menyatakan bahawa beliau telahpun tiga kali bertemu pemimpin PAS yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

"Pengumuman sebelah pihak oleh Abdullah tentunya ada motif tersirat. Jujurkah Abdullah bila beliau umumkan pemimpin 'decision-makers' PAS telah tiga kali menemui beliau?

"Atau beliau sedang memainkan PAS dengan satu strategi politik dengan umpan yang enak? Sekurang-kurang, dalam keadaan terlalu terdesak, beliau boleh mencapai matlamat politik jangka pendek," katanya.

Presiden Umno itu, kata Husam, cuba menggambarkan gambaran positif terhadap dakwaan pertemuannya itu dengan menggunakan istilah -decision-makers' - 'pembuat keputusan', walaupun dia tahu mana-mana pertubuhan, apatah lagi parti Islam seperti PAS, tidak dimiliki oleh mana-mana pemimpin, sebesar mana pun pemimpin itu.

"PAS sebagai jamaah Islam dikendalikan dengan kaedah dan etika harakah Islamiyyah yang tertentu, termasuk musyawarah," tegas beliau.

Selain memecahbelahkan PAS, Husam menjangka, antara matlamat politik jangka pendek yang hendak dicapai Perdana Menteri dengan pengumumannya itu ialah mengukuhkan kedudukannya di dalam Umno di tengah pergolakan dalaman yang tidak menentu, menghilangkan keyakinan dalam Pakatan Rakyat dan menghalang Agenda Post Pilhanraya 2008 dan menjarakkan semula PAS dari sokongan masyarakat bukan Melayu, mungkin 40 tahun kebelakang semula.

"Mungkin Abdullah mendapat inspirasi umpan 'Negara Islam' yang dilemparkan oleh Dr. Mahathir selepas melihat kemaraan pembangkang dalam pilihanraya 1999 dan umpan itu menjadi sehingga pembangkang undur semula dalam pilihanraya 2004," katanya.

Husam menegaskan bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS sudah tentu tidak akan mengkesampingkan perpaduan ummat Islam dan tidak pula menjadikan perpaduan nasional agenda kedua selepas perpaduan Islam.

Perpaduan Islam, tegas beliau, dicapai dalam konteks perpaduan nasional yang semestinya diasaskan bukan di atas asas kaum semata-mata seperti dilakukan oleh Umno selama ini, tetapi di atas asas yang lebih kukuh seperti tiada diskriminasi kaum, tiada diskriminasi berdasarkan fahaman politik dan keadilan untuk semua.

"Perpaduan versi Umno sudah lusuh. Umno sesama Umno pun tidak dapat disatukan. Apatah lagi formula itu hendak digunakan bagi ummat Islam dan nasional," tegas beliau.

Sambil menyifatkan Perdana Menteri sudah pun mencapai maksud yang diharapkan pada darjah yang tertentu yang belum parah, Husam mengingatkan tugas utama pemimpin PAS pada waktu ini ialah memastikan parti tidak berpecah, bahkan kekal bersatu.

"PASlah satu-satunya parti yang paling stabil, kukuh dan mantap buat masa ini. Jika jangkitan kuman Umno meresap dan memecahkan PAS, perkongsian kuasa dengan Umno hanyalah ulangan percantuman sementara era Barisan Nasional dulu yang berakhir PAS ditolak ke tepi selepas Umno mencapai kekuatan mereka semula," kata beliau.

PAS juga, katanya, hendaklah memastikan kepercayaan dan harapan masyarakat bukan Islam terhadap PAS tidak dikhianati.

"Islam menekankan kepada kesetian terhadap janji," tegas beliau.

Jika PAS mempunyai pandangan dan agenda yang berguna untuk kepentingan negara, agenda ini boleh dimaklumkan kepada rakyat secara terbuka dan tuntutan boleh dibuat untuk Umno menerima atau melaksanakannya, tanpa terikat dengan satu perkongsian kuasa yang akan meletakkan PAS selama-lamanya pemain kedua yang bertugas menyelamatkan Umno dengan faham sekularnya yang merosakkan itu, katanya.

"Berulang kali PAS memainkan peranan yang sama," katanya lagi.

Tetapi itu tidak penting bagi Perdana Menteri, kata Husam, kerana dalam ketidaktentuan sebelum Disember ini, beliau memerlukan segala dahan yang ada untuk berpaut.

Pada waktu kepercayaan kepada kepimpinannya berada pada titik yang paling rendah, keupayaan pengurusan ekonomi yang hampir sifar, hala tuju negara yang amat kabur, keyakinan terhadap kemampuan membawa keharmonian pelbagai kaum yang amat rendah, kehilangan keyakinan terhadap institusi utama seperti kehakiman, polis dan jabatan Peguam Negara, Husam menyifatkan Perdana Menteri memang memerlukan PAS.

"Jawatan kerajaan yang mungkin ditawarkan oleh Abdullah kepada PAS tentulah bukan segala-galanya," tegas beliau. _


Mursyidul Am tidak mahu sejarah hitam berulang kembali
Salmah Mat Husain
Mon | Jul 21, 08 | 7:19:24 pm MYT

KOTA BHARU, 21 Julai (Hrkh) - PAS dibimbangi akan menjadi seperti kera sumbang, manakala di kiri kanan pula kena marah sekiranya meneruskan muzakarah dengan pemimpin Umno.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, apabila berlaku muzakarah penyokong kita marah kepada PAS dan orang Pakatan Rakyat juga curiga.

Oleh itu bagi mengelakkan kekecewaan penyokong, muzakarah antara PAS dan Umno dianggap tidak perlu bagi mengelak berulang sejarah hitam yang pernah berlaku sebelum ini.

"PAS akan lebih berhati-hati agar tidak terkena perangkap Umno kali kedua. Itu bukan cara parti yang memperjuangkan Islam berpolitik di mana cara berkenaan tidak ubah seperti menolong pihak lawan dan bukannya untuk menjaga kestabilan parti.

"Itu perangkap namanya,"katanya pada persidangan media di Kota Darulnaim petang ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mendedahkan muzakarah bersama PAS sudah tiga kali diadakan bagi membincangkan beberapa isu berkaitan agama dan orang Melayu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebelum ini menegaskan muzakarah yang dicadangkan perlu bersyarat di mana Umno perlu meminta maaf secara terbuka kepada PAS terhadap banyak kesalahan yang dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, PAS tidak akan menerima nasib buruk diperangkap Umno kali kedua, cukup hanya sekali.

"Umno sekarang sudah lemas dan dia nak minta tolong PAS, sedangkan PAS sendiri bekerja keras untuk melemaskan Umno, tetapi apabila Umno lemas sekarang kita nak angkat dia balik, itu bukan kerja kita.

"Biar lemaslah dia, dah 50 tahun kita lawan Umno, bila dia lemas kita lanyak dia...sepatutnya begitu," ujarnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan meminta anggota parti menyoal diri masing-masing sama ada mereka ingin menjaga parti atau Islam.

Katanya, sekiranya hanya untuk menjaga parti, ia bukan hala tuju perjuangan parti yang sebenarnya.

"Kita nak jaga Islam, jaga Umno apa yang akan kita dapat. Umno ni sebenarnya parti yang melonggarkan iman, orang Melayu selama ini longgar kerana Umno.

"Tetapi kalau PAS nak jaga Islam, bukan caranya untuk PAS bekerjasama dengan Umno, sebab parti itu parti sekular yang hanya memperjuangkan dasar untuk dunia semata-mata,"ujarnya.

Katanya, soal bangkit dari kubur dan akhirat tidak pernah menjadi hala tuju dan perbincangan di kalangan pemimpin Umno.

Ditanya isu muzakarah sengaja diperbesarkan media, beliau berkata, ia sudah menjadi agenda media untuk melariskan jualan.

"Itu kerja orang surat khabar, dia akan berbuat sesuatu untuk melariskan akhbar masing-masing, itu jelas.

"Jadi untuk melebarkan perjuangan PAS hanya melalui ceramah dan internet. Apa yang menjadi isu di media sekarang kerana mereka mempunyai agenda sendiri, sebab semua suratkhabar harian proUmno belaka," ujarnya.

Beliau juga turut menafikan wujud perbezaan pendapat antara beliau dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam isu muzakarah.

Katanya, kewujudan berbezaan pandangan tidak bererti parti itu mengalami masalah kepemimpinan.

"Sehingga hari ini ia tidak menjadi masalah, sebab kita hidup tidak boleh senyap, banyak mana yang kita nak luah, kita luahkan, kemudian kita dengar balik.

"Sekarang masing-masing sudah meluahkan pandangan, jadi terpulang kepada penyokong untuk membuat penilaian,"ujarnya.

Beliau juga berkata, biar pun sudah ada pertemuan pemimpin PAS dengan Presiden Umno, ia tidak bererti sudah ada persefahaman antara kedua-dua parti tersebut.

Ditanya adakah beliau kecewa dengan tindakan pemimpin PAS mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi parti Umno beliau berkata, tidak juga.

"Benda atas dunia ni begitulah, masalah perkara biasa berlaku seperti dalam rumah tangga antara suami isteri, kesilapan dilakukan suami adakalanya tidak disedari.

"Saya setuju benar biar Umno jadi pembangkang bukan sahaja di Kelantan, tetapi di seluruh negara termasuk di peringkat pusat,"ujarnya.

Beliau juga meminta ahli parti dan penyokong Pakatan Rakyat bertenang dalam menghadapi situasi sekarang serta tidak mudah termakan taktik yang dimainkan musuh.

Mursyidul Am juga berharap perwakilan membahaskan isu tersebut di Muktamar PAS di Ipoh Ogos depan. - mj/mks. _


SEJAUH MANA KPN DAN PN TIDAK TERLIBAT DALAM KES TERBARU DSAI??

HR9808@IKRAR - adalah wadah bebas bukan partisan yang memfokus kepada kebajikan rakyat.Singkatan;
IKRAR (Ikatan Kebajikan Rakyat)

21 JUN
Membaca kenyataan media Pak Lah, bgaikan mendengar berita dari syurga sama seperti ketika Mahathir membuat kenyataan media 10 tahun lalu...Anwar selamat..dan bermacam cerita suci..sekarang Hamid juga sama rentaknya...

Hairan dan begitu mudah mereka membuat kenyataan. Apakah mudah isteri, anak-anak, keluarga, pimpinan parti, penyokong dan rakyat jelata mahu menerima berita ini?? Sukar dan amat sukar kerana luka lama berdarah kembali..kenangan pahit 10 tahun lalu berulang lagi dan kali ini lebih menyakitkan. Inilah asam garam perjuangan dan pasti ianya amat memberi kesan mendalam kepada semua. Kali ini kita tidak boleh diperbodohkan lagi dan kita wajib menentang perkara ini dengan apa cara sekalipun selagi ianya berlandaskan undang-undang.

Bila melihat wajah Musa dan Gani Patail...terasa tekak loya..mereka bukan sahaja telah menggadaikan prinsip, amanah rakyat dan negara. bahkan mereka sebenarnya adalah pengkhianat dan musuh kepada nilai-nilai kemanusiaan. Mereka sujud kepada arahan Mahathir demi wang dan kuasa amatlah memalukan dan sayang sekali Pak Lah masih terus menerima mereka.. Inilah fassaad dan dari sinilah kemungkaran lain berlaku. Apakah mereka kebal dari undang-undang dan hukum? Sudah pasti ya selagi BN- UMNO berkuasa...

PM dinasihat jangan campur tangan urusan polis
Anis Nazri
Sun | Jul 20, 08 | 3:14:06 pm MYT

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dinasihatkan agar tidak campur tangan dalam urusan penyiasatan polis kerana ia boleh menyebabkan timbulnya banyak kerenah birokrasi.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, campur tangan Abdullah dalam urusan siasatan membabitkan penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, itu juga boleh menjadi gelak ketawa rakyat.

"Kenapa Abdullah perlu campur tangan? Beliau tidak sepatutnya campur tangan, yang kemudiannya akan mengakibatkan semakin banyak karenah birokrasi yang timbul dalam siasatan tersebut," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdullah yang menyatakan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak akan terlibat dalam siasatan kes liwat Dato' Seri Anwar Ibrahim, semalam.

"Apakah ada jaminan bahawa Musa dan Gani tidak akan terlibat atau campur tangan dalam siasatan tersebut, sedangkan itu sememangnya sudah tugas mereka? Tolonglah, jangan campur tangan dalam hal ini. Jangan biarkan kenyataan ini jadi bahan ketawa rakyat," kata beliau lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pemuda PAS sudah selangkah lebih kehadapan berbanding Pemangku Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkenaan penubuhan badan bebas bagi kes Anwar.

Menurut Salahuddin, Pemuda PAS sudah terlebih dahulu menghantar memorandum ke Istana Negara, minggu lepas bagi mendesak agar satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi membantu siasatan kes ini, selain memastikan ia (siasatan) dapat dijalankan dengan lebih telus dan terbuka.

Dalam pada itu, beliau mendesak supaya Musa dan Gani disiasat segera berhubung laporan polis yang dibuat Anwar, yang mendakwa kedua-dua (Musa dan Gani) terlibat dalam pemalsuan bukti dalam kes mantan Timbalan Perdana Menteri itu pada 1998-1999.

"Sekiranya Anwar boleh disiasat apabila bekas pembantunya membuat laporan polis, mengapa (siasatan) tidak dilakukan terhadap Gani dan Musa, yang juga ada laporan polis terhadap mereka? Kita harap, pihak polis jangan bersikap 'double standard' dalam hal ini," tegas beliau.

Malah, beliau turut mengingatkan kerajaan dan pihak polis agar tidak melakukan sebarang 'pendakwaan terpilih' dalam sesuatu laporan polis yang dibuat melibatkan tokoh-tokoh negara. - mns_

Kita ingin melihat KPN dan PN diheret ke mahkamah dan tidak ada siapa yang melindungi mereka kerana tuduhan terhadap mereka mempunyai bukti kukuh..jika tidak maka hancurlah institusi kehakiman dan polis...Inilah hasil produk BN yang memerintah Malaysia

selama 50 tahun..Rakyat terbiar dan kroni dijaga rapi...


Kes Anwar: Abdullah akui wujud konspirasi Gani dan Musa?
M Khaleel Kas
Mon | Jul 21, 08 | 7:07:30 am MYT

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Hrkh) - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Peguam Negara,Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara,Tan Sri Musa Hassan tidak akan terlibat dalam siasatan berhubung tuduhan liwat melibatkan Dato' Seri Anwar' membawa pelbagai interpretasi.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin, beliau memandang serius akan kenyataan penafian Abdullah mengenai keterlibatan Peguam Negara dan Ketua Polis Negara di dalam konspirasi ke atas Anwar.

"Kenyataan Abdullah bahawa beliau 'menjamin Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan tidak akan terlibat dalam siasatan berhubung tuduhan liwat melibatkan Dato' Seri Anwar membawa pelbagai interpretasi.

"Ia seolah-olah mengiyakan bahawa sebelum ini berlaku konspirasi melibatkan kedua-dua individu pada tahun 1998 yang mengakibatkan Dato' Seri Anwar dizalimi selama 6 tahun merengkok di dalam penjara atas kesalahan yang direka-reka,"dakwanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya lagi, melihat kepada perkembangan tuduhan dangkal salahlaku seks ke atas Anwar bermula 28 Jun lepas, penglibatan Gani dan Musa adalah sesuatu yang sukar disangkal dengan mengambil kira beberapa perkembangan, antaranya cara penahanan 'desperado' pihak polis ke atas Datuk Seri Anwar pada 16 Julai lepas, dan sabitan kes fitnah ke atas Raja Petra Kamaruddin pada 18 Julai berikutan Akuan Bersumpah beliau yang mengaitkan isteri Najib Tun Razak dalam pembunuhan mendiang Altantuya Shariibuu.

"Malah, tindakan polis yang ingin menggunakan perintah mahkamah untuk memaksa Dato' Seri Anwar memberikan sampel DNA juga sangat melucukan, dalam keadaan DNA Dato' Seri Anwar sudah pun wujud dalam Bank DNA hasil daripada siasatan kes 1998.

"Ini memperlihatkan wujud satu keadaan di mana sampel DNA Dato' Seri Anwar akan diseleweng untuk 'melengkapkan' pertuduhan palsu ke atas beliau,"katanya agi.

Shamsul juga berkata bahawa,adalah sesuau yang sangat mengelirukan tatkala Abdullah mengatakan bahawa Gani tidak akan terlibat di dalam konspirasi ini, sedangkan jelas disebut di dalam Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan bahawa Peguam Negara adalah mempunyai kuasa, dan kuasa itu hendaklah dijalankan menurut budi bicaranya, bagi membawa, menjalankan atau memberhentikan apa-apa pembicaraan mengenai sesuatu kesalahan, lain daripada pembicaraan di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah bumiputra atau mahkamah-tentera.

Menurutnya lagi, ini juga dijelaskan di dalam 'Seksyen 376 Kanun Keseksaan Jenayah : The Attorney General shall be the Public Prosecutor and shall have the control and discretion of all criminal prosecutions and proceedings under this Code.'

"AMK mengulangi penegasan di atas prinsip integriti dan akauntabiliti susulan daripada Memorandum yang dihantar kepada Perdana Menteri pada 3 Julai 2008 bahawa Musa Hassan dan Gani Patail mesti digantung tugas sebagai Ketua Polis Negara dan Peguam Negara serta merta sehingga penyiasatan terhadap mereka selesai dilakukan oleh Badan Pencegah Rasuah,"tegasnya. - mks. _

Anwar sambung beri keterangan di pejabat BPR

21/07/2008 11:31am


Penasihat Parti Keadilan Rakyat ( PKR ) Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir kali kedua untuk menyambung memberi keterangannya diIbu Pejabat BPR Putrajaya


PUTRAJAYA 21 Julai – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir di ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di sini pada pukul 9.50 pagi untuk menyambung keterangan mengenai laporan polis ke atas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau tiba dengan diiringi dua peguamnya S. Sivarasa dan Datuk Param Cumaraswamy.

KPN fail saman fitnah terhadap Anwar

21/07/2008 11:57am

KUALA LUMPUR 21 Julai – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memfailkan saman fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung laporan polis yang mendakwa beliau dan peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah mereka keterangan dan menyembunyikan fakta mengenai serangan terhadapnya semasa menjadi tahanan polis pada tahun 1998.

Saman tersebut difailkan melalui firma peguamnya, Kamarul Hisham Kamaruddin di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tiada jumlah ganti rugi dinyatakan dalam writ saman tersebut.

Jawab DSAI....

Saya gembira bertemu Musa di mahkamah' - Anwar

21/07/2008 2:10pm

PUTRAJAYA 21 Julai – Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia berdepan dengan saman fitnah yang difailkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadap beliau berhubung laporan polisnya yang mendakwa Musa dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah mereka keterangan dan menyembunyikan fakta mengenai serangan terhadapnya semasa menjadi tahanan polis pada 1998.

``Saya gembira bertemu beliau (Musa) di mahkamah,'' kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Saman oleh Musa itu difailkan melalui firma peguamnya, Kamarul Hisham Kamaruddin di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Anwar serah 8 dokumen kepada BPR

21/07/2008 2:01pm

PUTRAJAYA 21 Julai – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan lapan dokumen kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini berhubung dakwaannya terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terlibat memalsukan keterangan beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 1998.

``Lapan dokumen telah saya serahkan kepada BPR. Saya juga berpuas hati kerana (pegawai) BPR mencatat semua maklumat dan keterangan yang saya berikan,'' kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Semoga Allah permudahkan semua urusan DSAI sehingga berjaya dan rakyat dapat menerima hakikat betapa zalimnya BN dan konspirator kes ini 10 tahun lalu. Sekarang mereka cuba ulangi lagi dan mereka tersilap langkah sehingga menjerat diri sendiri. Apakah kita lupa tentang betapa doa yang dizalimi (DSAI dan keluarganya) mendapat perkenan serta taufiq dari Allah. Allah juga merancang dan perancangan Allah lebih baik dari perancangan makhluknya. KPN nak saman pula? Anda akan menyusahkan diri anda sendiri..Anak tok guru quran pun tak tahu nak bertaubatke?? Ya Allah ..sombongnya mereka dan zalimnya hambamu ini.!!