IKRAR (Ikatan Kebajikan Rakyat)
28 - 29 may
Kami berangkat ke Johor dari KL jam 6 petang dan tiba di Muar jam 9 malam. Sempat berbincang sepanjang perjalanan berkaitan IKRAR, perjuangan, politik, bisnes dll. Minum teh tarik di tepi sungai Muar mengingatkan kembali semasa berada di Ternate tahun 2000. Angin sepoi-sepoi bahasa memang tidak dapat dilupakan dan sambil merenung di seberang sungai Muar sebuah masjid baru iaitu Masjid Sultan Ismail. Selepas jam 11 kami berangkat ke Felda Bkt. Serampang dan tiba jam 12.30. Setelah bercerita dan minum bersama Ibu Cikgu Mad, Ibu Mariah yang berumur 72 tahun. Dia masih sehat dan segar dengan bicara loghat jawanya. Setelah bangun pagi dan makan makan roti canai kami meneruskan perjalanan ke Sri Gading dan Parit Raja. Bertemu dengan Hisham. Abg Bakri, Abg Hj. Zainal dll yang berminat untuk membuka cabang IKRAR. Hampir 30 minit saya menjelaskan tentang halatuju IKRAR dan dialog kami dijamu teh tarik di kedai Baharudin tak jauh dari tempat pertemuan. Walaupun singkat tapi terasa ada hal penting yang bersemi di sini. Semoga ada hasil dari pertemuan tadi sehingga ada manfaat untuk semua. Kami terus ke Pontian dan berehat sebentar di Pekan Nenas sambil makan tengahari pada jam 5 petang. Setelah makan terlihat surat khabar Utusan Malaysia...berita Ezam dan teman-teman duduk bersebelahan Pak Lah...sempat baca sebentar dan teruskan lagi perjalanan ke Pasir Gudang. Berhenti solat maghrib di rumah Syafiq teman Hashim dalam 30 minit kami terus ke Psir Gudang bertemu Abg Mazlan..
Tak sempat nak komen panjang tentang Ezam ..tapi cukuplah dipaparkan dulu beritanya dari Utusan dan media lain....sebagai ingatan dan sejarah....
Ezam masuk UMNO tanpa syarat
KUALA LUMPUR 28 Mei - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor ke dalam UMNO adalah tanpa syarat dan tidak akan diberikan layanan istimewa.
Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO berkata, Mohamad Ezam kembali ke parti itu kerana mahu membantu perjuangan UMNO.
"Kemasukan Ezam tak ada syarat apa-apa. Tak ada keistimewaan apa-apa. Dia pun tak minta jawatan apa-apa. Dia hanya mahu berkhidmat dan berjuang dalam parti," katanya.
Pada sidang akhbar bagi mengumumkan kemasukan semula Mohamad Ezam ke dalam UMNO di pejabatnya di bangunan Parlimen, hari ini.
Menjawab soalan mengenai langkah Ezam itu memberi satu semangat baru kepada UMNO, beliau berkata, kemasukan seseorang dalam UMNO tentulah membantu kepada kekuatan parti.
"Kalau tidak, buat apa nak masuk UMNO. Tentulah ada niat untuk berjuang sama-sama dalam UMNO. UMNO adalah parti politik bukan sebuah syarikat. Kalau syarikat, nak (cari) untung," katanya.
Ditanya sama ada sumbangan daripada Ezam mungkin berbeza berbanding jika anggota biasa menyertai UMNO kerana sebelum ini beliau memegang jawatan kanan dalam PKR, Perdana Menteri berkata: "Oh begitu ke? Kita tengoklah nanti apa akan berlaku."
Mengenai imej Ezam yang kuat dibayangi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdullah berkata, Ezam ikhlas dan kemasukannya boleh memberi ruang kepada orang lain menyokong UMNO.
Katanya, semasa di luar UMNO, tentulah Ezam menjadi kritikal dengan apa yang berlaku dan kini beliau sudah bertukar fikiran.
"Mungkin kerana dia insaf serta sudah berada di kedua-dua belah pihak, mungkin UMNO adalah lebih baik untuk menjadi landasan perjuangannya.
"Patut kena tanya dia (perkara ini). Keistimewaannya ialah dia sudah berada di parti lain di bawah kepimpinan lain dan dia berasakan UMNO lebih baik. Itu yang istimewanya," kata Abdullah.
Katanya, Pergerakan Pemuda UMNO tidak dibawa berbincang dalam hal ini tetapi pergerakan itu serta pemimpin-pemimpin parti lain tidak ada bantahan.
Beliau turut menjelaskan, soal Ezam boleh bertanding untuk jawatan pada perhimpunan agung parti Disember ini perlu dirujuk kepada perlembagaan parti.
Ditanya sama ada UMNO sedia menerima anggota lain PKR yang mahu mengikut langkah Ezam, beliau berkata, perkara itu akan diteliti dan bergantung kepada individu terbabit.
Apa kata Hishamuddin pula...
Hishammuddin jumpa Ezam
Oleh S. ANAND KUMAR
KUALA LUMPUR 28 Mei - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Mohamad Ezam Mohd. Noor yang kembali ke pangkuan UMNO hari ini.
Menurutnya, pertemuan itu bagi membincangkan manfaat kemasukan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, keikhlasan dan peranannya dalam parti.
"Itu perkara pokok dalam kita nak tentukan sumbangan seseorang kepada kita. Saya terfikir juga bagaimana dia tergerak hati untuk bersama-sama dengan kita," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemasukan semua Mohamad Ezam ke dalam UMNO yang telah menyerahkan borang keahlian kepada presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.
Menurut Hishammuddin, tarikh dan tempat pertemuan belum ditetapkan tetapi beliau tidak mahu pertemuan itu dibelenggu dengan pertemuan Mohamad Ezam dengan Perdana Menteri hari ini.
"Biarlah kami berjumpa dalam keadaan tenang dan stabil," kata Hishammuddin.
Ditanya mengenai penerimaan ahli pergerakan itu, Hishammuddin berkata, ia bergantung kepada cara dan pendekatan Mohamad Ezam sendiri.
"Saya percaya itu tradisi dan amalan kita. Ia banyak bergantung kepada cara Mohamad Ezam bawa diri dan pendekatannya kepada ahli-ahli kita.
"Inilah kekuatan UMNO. Tiada individu yang lebih penting, tetapi parti. Itu asas-asas perjuangan yang tidak berubah," katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, kemasukan Mohamad Ezam ke dalam UMNO akan memperkuatkan lagi parti itu terutama di kawasan Selangor.
Tambahnya, beliau percaya Mohamad Ezam sedar bahawa hanya UMNO sahaja yang boleh memperjuangkan kepentingan nasib orang-orang Melayu di negara ini.
Menurut Muhammad, beliau secara peribadi mengalu-alukan kemasukan bekas orang 'kuat' Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Dalam pada itu, Pemuda UMNO Perak hari ini menyifatkan kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd. Noor menyertai semula UMNO membuktikan parti itu sentiasa relevan dengan perjuangan membela nasib orang Melayu di negara ini.
Ketuanya, Zainol Fadzi Paharudin berkata, ini menunjukkan UMNO adalah sebuah parti yang sentiasa memaafkan dan mengutamakan perjuangan bangsa, agama dan negara.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir pula berkata, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohamad Ezam Mohd. Noor kemungkinan mempunyai agenda tersendiri apabila kembali menyertai UMNO.
Tambahnya, beliau sehingga kini masih samar-samar mengenai tindakan itu kerana Ezam seperti diketahui mempunyai 'sejarah tersendiri' sewaktu berada dalam UMNO mahupun di luar parti.
''Saya risau apakah kemasukan Ezam menjadi satu petanda awal bahawa bekas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kembali menyertai UMNO," katanya.
Apakata...PKR..
Tindakan Ezam tidak beri kesan kepada PKR
KUALA LUMPUR 28 Mei - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, tindakan Mohamad Ezam Mohd. Noor menyertai UMNO tidak akan memberi sebarang kesan terhadap parti pembangkang itu.
Menurut Wan Azizah, ini kerana Mohamad Ezam yang juga merupakan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan telah keluar parti itu tahun lalu.
Tambahnya, keputusan beliau (Mohamad Ezam) untuk menyertai UMNO merupakan pilihannya sendiri.
"Itu pilihan dia untuk masuk UMNO tetapi kemasukan dia ke UMNO tidak akan beri sebarang kesan kepada PKR," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Wan Azizah berkata demikian ketika ditanya mengenai penyertaan bekas Ketua Angkatan Muda PKR itu ke dalam UMNO hari ini.
Mohamad Ezam hari ini telah menyerahkan borang keahlian untuk kembali ke dalam UMNO Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
KOMENTAR dari Harakah...
Ezam ibarat ayam jantan yang gah berkokok tetapi ekornya dipenuhi najis
Mohd Rashidi Hassan Thu May 29, 08 4:33:19 pm MYT
Ada banyak rumours diperkatakan apabila Ezam Mohamed Nor menyerahkan borang keahlian Umno seumur hidup kepada Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen semalam. -->-->
Ezam mengatakan beliau berhasrat masuk Umno bukan kerana mengkagumi personaliti Abdullah, sebaliknya perubahan dasar yang dijalankan khususnya dalam persoalan Badan Pencegah Rasuah dan isu kehakiman, begitu menarik minatnya.
Hakikatnya pada beliau perubahan dasar yang dibuat oleh Abdullah, Kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi Umno begitu mendorong pendiriannya untuk berubah.
BN dan Umno sudah berubah? Benarkah begitu? Apakah pendirian yang diambil Ezam sekarang ini, sinomin dengan perjuangan beliau selama ini?
Ezam sejak dua tahun lepas adalah orang yang tidak berparti. Kisah Ezam keluar KeADILan bukan lagi menjadi isu. Dua tahun lalu beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Angkatan Muda atas alasan hendak menumpukan kepada Gerak.
Namun, ada yang mengatakan beliau bergaduh dengan Naib Presiden KeADILan, Mohamed Azmi Ali, ada juga yang mendakwa Ezam bergaduh dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Ketika Anwar dipecat pada tahun 1998, Ezam adalah Setiausaha Politiknya, manakala Azmin sebagai Setiausaha Sulit.
Kedua-dua anak muda ini merupakan antara tonggak utama dan orang kepercayaan Anwar untuk menggerakkan gerakan reformasi semasa Anwar merengkok dalam tahanan.
Dalam parti politik, pemimpin memang ada banyak perbezaan pendapat. Soal pergaduhan dan bagaimana bentuk pendekatan masing-masing tidak perlu dihuraikan di sini.
Kunjungan Ezam ke Harakah
Kira-kira tiga minggu sebelum Parlimen dibubarkan Februari lepas, Ezam Mohd Noor berkunjung ke pejabat Harakah, menemui Ketua Pengarang Kumpulan, Ahmad Lutfi Othman.
Jika tidak silap, hari itu hari Ahad. Hari cuti. Banyak pejabat ditutup, begitu juga dengan Harakah. Hanya dua tiga orang sahaja yang bekerja.
Kami mencadangkan perjumpaan dibuat pada hari lain, namun beliau tetap mahu berjumpa katanya, atas urusan yang amat penting.
Saya dimaklumkan oleh Ketua Pemberita, Wan Nordin Wan Yaacob tentang kehadiran Ezam bertemu dengan Lutfi, tetapi tidak dapat turut serta kerana ada tugasan di Alor Setar.
Butiran mengenai pertemuan tersebut dimaklumkan oleh Lutfi dalam mesyuarat Jabatan Pengarang selepas itu.
Dalam pertemuan tersebut saya dimaklumkan Ezam begitu beriya-iya meminta dibekalkan bahan-bahan untuk membantunya berkempen membantu pembangkang, khususnya PAS dalam Pilihan Raya Umum ke 12.
Bahan utama yang diminta beliau ialah mengenai laporan Badan Pencegah Rasuah dan sebarang dokumen mengenai penyelewengan yang membabitkan Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Seri Mohd Khir Toyo.
Bahan-bahan tersebut sememangnya ada pada Lutfi, kerana sebelum ini beliau begitu giat mendedahkan apa yang disifatkan penyelewengan, salah laku dan rasuah yang membabitkan seorang bertaraf MB.
Pada saya, apa yang diminta Ezam barangkali ada relevannya dengan peranan beliau sebagai Pengerusi Gerak, yang digiat memperjuangan budaya bersih rasuah dalam negara.
Namun, sampai kesudah Lutfi enggan menyerahkan dokumen tersebut, setelah didesak beberapa kali oleh Ezam.
Saya bertanya kepada Lutfi, mengapa tidak diberikan sahaja dokumen itu kepada Ezam, barangkali boleh membantu kempen PAS di Selangor.
Namun Lutfi enggan memberikan, katanya, dia berasa hairan mengapa Ezam tiba-tiba meminta dokumen mengenai Khir dan merasakan ada sesuatu yang pelik berlaku.
Benarkah Ezam dibeli?
Sewaktu saya berbual-bual dengan rakan-rakan KeADILan di pejabat Anwar di seksyen 16 Petaling Jaya beberapa hari sebelum PRU, saya ada memaklumkan kepada mereka bahawa bekas sahabat baik mereka ada mengunjungi Harakah.
"Ah! Engkau pedulikan sahaja dia tu, dia dah kena beli dengan Khairy (Khairy Jamaluddin)," dakwa seorang bekas Setiausaha Anwar.
Belum pun saya bertanya lebih lanjut beliau mendakwa, "Kami dapat maklumat dari budak-budak Gerak, RM1 juta dah masuk dalam akaun dari Norza, budak Khairy."
Saya faham mereka mendakwa seolah-olahnya Ezam sudah memperolehi sesuatu dari Khairy, melalui Dato' Norza Zakaria, Ahli Majlis Tetinggi Umno, yang dikaitkan sebagai kroni rapat menantu PM itu.
Persoalan mengapa Ezam meminta dokumen mengenai Khir Toyo terjawab. Khairy dikatakan tidak menyukai bekas MB Selangor itu dan berusaha untuk menjatuhkannya dengan menggunakan Ezam.
Oleh kerana itu pada saya, kebimbangan Lutfi di atas gaya body language Ezam dalam pertemuan mereka barangkali juga ada asasnya.
Di kalangan KeADILan diberitahu, Ezam ada membuat beberapa kali pertemuan dengan Khairy, sebelum ini.
Kes tentang apa yang didakwa membabitkan 'perundingan' Ezam dengan pemimpin-pemimpin Umno bukannya baru.
Beberapa tahun lepas, didedahkan kes yang sama timbul sewaktu 'perundingan' diadakan dengan Dato' Seri Abdul Aziz Shamsuddin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Kalangan yang masuk Umno ketika itu, membabitkan bekas Naib Ketua Pemudanya, Zahid Mat Arif dan bekas tahanan ISA, Lokman Nor Adam yang didakwa memperolehi sejumlah wang atau 'ghanimah politik' di atas penggadaian prinsip perjuangan mereka.
Zahid dan Lokman beserta beberapa yang lain, ditempelak hebat kerana meninggalkan perjuangan untuk memasuki Umno.
Ketika Lokman ditempelak, untuk menjawab segala tohmahan, Lokman mengatakan bukan inisiatif beliau pada asalnya pertemuan yang diadakan di sebuah hotel di Subang dibuat.
Katanya, beliau ada bukti dan gambar ada pimpinan tertinggi KeADILan yang mengetuai delegasi perundingan untuk memasuki Umno, ketika itu.
Ada yang mengatakan dakwaan mereka ada kaitannya dengan Ezam.
Jika ini benar, soal Ezam hendak masuk Umno, bukannya perkara baru. Maka Ezam tidak boleh mengelak untuk dikaitkan dengan persepsi bahawa, perundingan beliau masuk Umno barangkali membabitkan soal jawatan dan 'peruntukan'.
Soal banyak mana, apa yang diperolehi oleh Ezam dan rakan-rakan rapatnya, yang mendorong mereka memasuki Umno, tidak dapat dipastikan.
Apa yang Ezam mampu lakukan dalam Umno?
Sebelum ini, khususnya sewaktu Ezam 'bercerai' dengan KeADILan, beliau begitu rapat dengan pemimpin-pemimpin PAS, antaranya Dato' Husam Musa, Mohamad Sabu, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.
Ezam juga sering berjumpa dengan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ada banyak janji 'tidak akan masuk Umno' yang sering Ezam ulang-ulangkan di hadapan pemimpin PAS.
Ada banyak "Sumpah Keramat" Ezam dalam ceramah-ceramahnya yang menempelak, mengecam bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Badawi, Najib dan banyak lagi yang masih ada dalam rekod berbentuk kaset dan VCD.
Semua rekod-rekod ini menjadi bukti bahawa Ezam sebenarnya sudah menggadaikan prinsip perjuangan yang beliau sendiri bersumpah acapkali.
Tanpa disedarinya sumpah-sumpah ini semua sedang memakan diri Ezam. Hanya masa dan waktu sahaja akan menentukan. Wallahu a'lam.
Apa pun yang berlaku, sama ada ungkapan Ezam berbentuk janji, sumpah dan sebagainya, hakikat yang dibuktikan sekarang di hati Ezam hanya ada Umno, bukan PAS, jauh sekali KeADILan.
Ezam barangkali berfikir, laluannya memasuki Umno, menerusi Khairy terus kepada Abdullah boleh menjadi suatu advantage baginya.
Semuanya belum tentu! Orang-orang Umno sedang mencongak, ada tiga kemungkinan yang boleh berlaku dengan kemasukan Ezam ke dalam parti yang hampir karam itu.
Pertama, seperti kata Dato' Seri Najib Tun Razak, 'Ezam ada banyak maklumat'. Mungkin maklumat-maklumat ini boleh digunakan untuk membelasah Anwar dan menghalang pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat.
Kemungkinan kedua; Tidak boleh dinafikan wujud persepsi bahawa Ezam masih agen Anwar Ibrahim. Dalam keadaan sekarang, ada kalangan ahli Umno yang bimbang, Ezam boleh digunakan Anwar untuk menambahkan kerosakan dalam Umno.
Kemungkinan ketiga; Tiada apa-apa pun perubahan yang boleh berlaku kepada Umno! Sewaktu berbondong-bondong ahli Umno diketuai bekas Presidennya, Dr Mahathir keluar Umno kerana kegagalan Abdullah Badawi, Ezam pula hendak masuk Umno atas alasan Abdullah sudah mengubah Umno dan kerajaan.
Apa yang Abdullah ubahkan pun tidak diketahui. Malah Abdullah, BN dan Umno ditolak rakyat dalam PRU Mac lepas kerana dasar-dasar yang lapuk yang tidak boleh diterima.
Malahan sebahagian besar orang-orang Umno berpendapat, parti itu hanya akan berubah hanya apabila Abdullah Badawi meletakkan jawatan.
Umno ibarat Titanic dan tongkang pecah yang sedang menanti untuk karam. Mudah-mudahan 'niat' baik Ezam dan suku sakatnya menyertai kapal, boleh menampung kerosakannya untuk terus berlayar.
Barangkali Umno/BN boleh terus berlayar, tetapi bukan sebagai kerajaan, tetapi sebagai pembangkang.
Ikutlah, mungkin juga nasib Ezam untuk terus menjadi pembangkang.
Cuma, pesanan bekas rakan-rakan seperjuangan kepada anda, jangan jadi seperti "Ayam jantan yang gah berkokok berderau-derau, tetapi ekornya bergelumang dengan najis."
Apa pun, well...good luck saudara Ezam!
Nanti kita bahas di waktu yang sesuai. Esuk AJK IKRAR akan mengadakan meeting di Faezamaju jam 6 petang. Sila info ke seluruh AJK!!!
31 May...Nampaknya Ezam akan berdepan dengan gelombang bahaya baru dalam UMNO...Tak semudah yang dilaporkan oleh sb Khairy dan jelas sekali wujud ahli UMNO yang tidak selesa...
UMNO perlu fikir masak-masak permohonan Ezam - Muhyiddin
MUAR 31 Mei — Pertimbangan untuk menerima permohonan kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Nasional (PKR) Mohamad Ezam Mohd Nor ke dalam Umno perlu diperhalusi dan difikirkan semasak-masaknya oleh kepimpinan parti, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata permohonan Mohamad Ezam dan beberapa bekas anggota PKR yang lain itu juga perlu melalui prosedur biasa parti tanpa sebarang keistimewaan diberikan kepada mereka.
"Proses permohonan perlu melalui prosedur biasa pada mesyuarat Majlis Tertinggi, sebelum itu Jawatankuasa Pengurusan, barulah kita lihat kewajaran untuk terima (permohonan) atau tolak supaya tiada ahli yang kecewa kerana seolah-olah kita (Umno) ketepikan pertimbangan biasa di atas sebab-sebab tertentu.” "Saya tak nampak apa istimewanya kemasukan Ezam. Pada saya kemasukan biasalah. Tetapi dia (Ezam) yang tidak biasa, ada rekod. Kita kena teliti secara halus dan semasak-masaknya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat tahunan Persatuan Pesara Negeri Johor di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian sebagai mengulas permohonan kemasukan Mohamad Ezam dan beberapa pemimpin Pemuda PKR yang lain yang diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.
Menurutnya, beliau mendengar terdapat anggota parti yang berasa tidak senang dan kurang selesa tentang betapa mudahnya Umno menerima kembali Mohamad Ezam, yang juga merupakan bekas setiausaha politik kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tanpa sebarang usaha menyelidik latar belakang beliau.
Katanya, peraturan dan prosedur di dalam perlembagaan Umno perlu dipatuhi sebelum seseorang yang telah keluar daripada Umno dan menentang parti, diterima kembali ke dalam parti.
Prosedur kemasukan ke dalam parti bagi mereka yang telah keluar parti adalah berlainan dengan mereka yang baru mahu memasuki Umno, katanya.
"Ianya berbeza dengan orang baru di kampung-kampung, berbanding dengan orang yang keluar masuk parti dan menentang (Umno). Ada prosedur dan caranya.
Bukan lulus sewenang-wenangnya.
"Ada anggota yang kata mereka kecewa kerana mereka sudah lama berjuang dan tidak pernah sedetik sesaat pun meninggalkan parti, tetapi mereka tidak diberikan layanan sebegitu istimewa, itu yang saya dengar,” kata Muhyiddin.
Katanya untuk memasuki Umno adalah mudah iaitu dengan menghantar borang permohonan keanggotaan kepada ketua cawangan.
"Orang yang sudah keluar dari parti, sepatutnya mereka pergi ke cawangan dan serah (borang permohonan) kepada ketua cawangan,” katanya.
Ditanya dakwaan bahawa Mohamad Ezam merupakan “Trojan Horse” bagi pihak pembangkang, beliau berkata, adalah tidak baik untuk mempunyai perasaan syak wasangka di kalangan sesama Islam tetapi di dalam masa yang sama, Umno juga perlu berhati-hati.
Mengenai kenyataan Mohamad Ezam bahawa beliau ikhlas untuk menyertai semula Umno, Muhyiddin berkata, beliau sememang berharap bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ikhlas di dalam permohonannya itu.
"Saya harap dia ikhlas, tetapi ikhlas mana pun dia ada rekod. Ada prosedur yang perlu dipatuhi supaya kita dapat mengawal keahlian kita di dalam keadaan yang baik,” katanya.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment
silakan komen dan beri pandangan anda untuk kebaikan semua!!