Singkatan;IKRAR (Ikatan Kebajikan Rakyat)
"REFORMIS BUKAN HANYA GELARAN ATAU PEJUANG YANG BERJUANG KERANA MENGHARAPKANNYA!"
7 Ogos
Persoalan besar dalam benak saya ketika mendengar, membaca dan menghayati wasiat di bawah ialah apakah ianya realiti? Mohon maaf jika saya yang mungkin tersalah faham atau terkeluar jauh maksud sebenar semasa wasiat ini dibuat. Mari kita renungkan bersama:
1. Bagi saya wasiat dari seseorang ada kalanya diikuti dan banyak juga yang ditinggalkan begitu sahaja. Ditinggalkan kerana proses pemahaman atas perkara dasar tidak diambilkira dan mungkin juga dianggap tidak terlalu penting untuk diingatkan. Biasanya wasiat akan dirujuk setelah berlakunya perbalahan sesama sendiri terutama dalam menentukan hak siapa dan pembahagiannya. Biasanya inilah yang berlaku kepada surat wasiat yang ditinggalkan oleh orang tua kita sejak zaman berzaman. Bezanya wasiat raja Melayu ialah dari segi mesej moralnya kepada generasi Melayu sekarang dan akan datang.
2. Masalah yang paling dasar dari wasiat ini ialah adanya kelalaian dari pihak tertentu dari segi memegang amanah wasiat ini. Siapa yang mahu dipertanggungjawabkan? Raja sendiri, pemimpin Melayu yang memerintah atau rakyat biasa? Saya bingung untuk mencari titik temunya kerana sudah semraut (celaru) macam segumpal benang. Ditarik kesini tersangkut di sana. Inilah realiti yang berlaku. Akhirnya semua pihak saling menyalahkan dan menunjuk telunjuk ke depan. Tanah lombong bijih timah, tanah bukit ditarah sampai gondol, balak ditebang hingga hilang hijaunya, parit, sungai dan laut jadi saluran hampas kilang, bisnes export import diali baba tanpa rasa malu. dan apa lagi? Ya yang tinggal hanyalah sisa-sisanya untuk rakyat kecil yang dinamakan bangsa Malaysia. Semua bangsa dan kaum merempat dibumi Malaysia ini.
3. Pemimpin Melayu (UMNO) dan raja Melayu sekarang asyik menuding jari ke pihak rakyat kecil yang sudah muak dan bosan dengan sikap pemerintah yang tidak perihatin kepada nasib rakyat selama ini. Bagi rakyat, ucapan manis dari pemimpin hanya mainan di bibir dan mata serta telinga ditutup rapat dari mendengar rintihan rakyat. Retorika berapi sudah tidak mampu membakar jiwa rakyat untuk bangun bersama golongan ini kerana hati rakyat sudah cukup kecewa sepanjang lebih 50 tahun ini. Tempuh 50 tahun bukan satu tempuh yang pendek dan sudah pasti untuk merawatnya perlu kepada proses pembuktian real. Tidak cukup lagi slogan dan pujuk rayu biasa apatah lagi jika dikejar dengan gas pemedih mata!!
4. Jadikanlah wasiat di bawah sebagai tanda aras kepada komitmen khasnya kepada Institusi Diraja Melayu dan pemimpin Melayu UMNO. Mohon ampunlah kepada Allah jika wasiat ini hanya sekadar hiasan di kertas semata-mata dan sekadar menjadi rujukan untuk diperdagangkan. Rakyat yang baik bukan Melayu sahaja dan rakyat yang jahat bukan semuanya bukan Melayu. Berilah hak kepada semua seadil-adilnya sehingga tidak berebut sampai tercabut nyawa!! Hentikanlah tuduhan membabi buta kepada rakyat yang tidak berkuasa dan merampas kuasa dari tangan-tangan mereka. Jutaan tangan-tangan kecil yang berdoa kerana dizalimi boleh meruntuhkan segala takhta yang ada dan masanya akan tiba. Firaun yang gagah perkasa juga akhirnya tenggelam ke bumi dan yang tinggal hanyalah batu bata, supaya umat manusia dapat mengambil iktibar darinya. Pasti Firaun juga punya wasiat dan akhirnya wasiat hilang entah kemana?
7 wasiat raja Melayu
KUALA LUMPUR 6 Ogos - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.
Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:
- Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
- Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
- Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
- Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.
- Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
- Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
- Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).
No comments:
Post a Comment
silakan komen dan beri pandangan anda untuk kebaikan semua!!