KUALA LUMPUR, 12 Feb (Hrkh) - Sebanyak 97 peratus rakyat Perak mahukan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan iaitu sebagai cara terbaik mengatasi kemelut politik di negeri itu serta memberi peluang mereka 'meraikan' demokrasi. Demikian hasil kajian yang dilakukan oleh Penganalis Politik dan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah terhadap penduduk di negeri itu yang bermula di Pasir Salak sehingga ke Kuala Gula. Abu Hassan menjelaskan, peratusan tersebut yang menunjukkan desakan rakyat Perak yang merupakan natijah gerakan massa rakyat yang merasa tertekan, penghidupan terganggu serta seluruh sistem ekonomi, politik dan sosial yang sudah punah. "Bagi mereka, rakyat harus bangkit semula memperbetulkan keadaan bagi memberi peluang kepada rakyat memilih tokoh-tokoh politik yang mereka inginkan. Rakyat mengatakan bagi peluang kepada kedua-dua pihak. Jika rakyat memilih salah satu pihak, maka pihak itulah pilihan rakyat Perak. Kata mereka, sebagaimana sebuah acara kematian, begitulah acara demokrasi. "Dun Perak sekarang ini dianggap sebagai telah 'mati'. Kedua-dua pihak mempunyai ruang dan juga tanggungjawab untuk mempertahankan apa keadaan sekalipun. Sebagaimana dilihat pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang yang akan diadakan, maka sekaligus SPR menggunakan ruang pilihan raya ini untuk mengadakan pilihan raya di seluruh negeri Perak dengan andaian kedudukan Dewan Undangan Negeri adalah tidak sah,"katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily baru-baru ini. Sementara itu beliau berkeyakinan kehadiran media baru yang dikenali sebagai 'kewartawanan sukarelawan' akan terus menjadi medium yang paling berpengaruh dan paling berpengaruh sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dun Selambau. Jelasnya media tradisi seperti akhbar merupakan media yang sangat berpihak yang mana hanya bersifat satu sisi dan satu arah. "Internet adalah media yang tidak berpihak berbanding akhbar. Jika Harakah ia akan melihat daripada sisi PAS, jika Suara KeADILan daripada sisi KeADILan, Utusan Malaysia dan Berita Harian akan melihat daripada sisi Barisan Nasional. Maka bagi rakyat tidak ada medium lain yang mempunyai pelbagai sisi dan tidak berpihak ialah media baru iaitu internet. " Blog merupakan kewartawanan individu di mana mereka meluah perasaan individu sebagai ahli masyarakat bukan seperti sebuah akhbar yang mempunyai ramai pengarang. Jika ada 5,000 blog rakyat di Perak, mereka dapat membaca 5,000 blog daripada sisi orang Perak. Ini berbeza dengan media sekular yang satu arah," tegasnya. Sehubungan itu beliau tidak meragui bahawa media baru ini akan menguasai aliran informasi sehingga ke skala 86 peratus yang akan menguasai dan membentuk pilihan raya di kedua-dua Dun dan Parlimen itu. - azm/mks. _ Pemansuhan kedudukan Nizar diragui kesahihannya - Pensyarah UKM Intan Abdullah Thu | Feb 12, 09 | 9:14:04 am MYT | KUALA LUMPUR, 12 Feb (Hrkh) - Seorang pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhamad Nadzri Mohamed Noor mempersoalkan tindakan pemansuhan kedudukan Dato' Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak tanpa melalui proses perundangan, yakni tanpa membuat persidangan Dun bagi membawa usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar atau tanpa diputuskan mahkamah diragui tahap kesahihannya. "Selain itu, sebelum pelantikan Dato' Dr Zamry, Nizar pernah memohon pembubaran Dun kepada Sultan Perak. Meskipun baginda mempunyai kuasa budi bicara, namun kuasa beliau sebagai Sultan juga adalah kuasa rasmi dan simbolik yakni beliau bertindak atas nasihat Menteri Besar," katanya lagi. Oleh itu, di sini timbul satu isu kesamaran kuasa yang perlu diperjelaskan oleh pihak mahkamah, kata beliau kepada Harakahdaily. Selain itu, ditanya mengenai keabsahan pelantikan Menteri Besar Perak yang berada dalam kemelut, beliau berpendapat terdapat beberapa persoalan berbangkit yang berkaitan dengan masalah perundangan. "Persoalan lain, adakah peralihan sokongan atau keluar parti dua Adun KeADILan kepada BN adalah sah? "Ini berikutan telah ada peraturan di dalam KeADILan yakni jika terdapat ahli meletakkan jawatan atau keluar parti semasa menjadi ahli badan perundangan, individu itu mestilah meletakkan jawatan perundangan tersebut. Namun, adakah peraturan ini (secara lisan atau tidak) terpakai dan boleh dikuatkuasakan?" tegasnya. "Selepas segala kesamar-samaran status perundangan dan kuasa yang dibangkitkan, adakah perlantikan Dr Zambry dari BN sebagai Menteri Besar Perak oleh Sultannya adalah sah? "Selagi isu-isu atau persoalan undang-undang ini yang tidak diselesaikan oleh pihak yang berwajib, khasnya mahkamah, legitimasi kerajaan baru boleh dipertikaikan dari pelbagai sudut (khasnya dari sudut undang-undang dan struktur politik)," ujar Nazri lagi. Ini kerana katanya, keadaan tersebut boleh menyebabkan ketidakstabilan politik di Perak menjadi bertambah serius. Katanya lagi, meskipun BN kini tidak lagi hegemonik, tetapi ianya dilihat masih dominan dan berkuasa. "Dengan kekuasaan ini, jika dilakukan secara strategik dan bijaksana, BN mampu mengukuh kembali kedudukan, melambat-lambatkan perubahan atau menghapuskan penentangan walaupun keadaan-keadaan ini tidaklah eksklusif. Namun jika tersilap langkah, strategi yang dilakukan boleh memakan diri," katanya. Hal ini tambah beliau, bergantung kepada kematangan politik masyarakat Malaysia akhir-akhir ini. Justeru ujarnya, apa yang ditetapkan melalui institusi negara, tidak semestinya menghasilkan kepatuhan atau kepercayaan masyarakatnya. "Tetapi dalam masa terdekat ia mungkin boleh menafikan realiti sebenar yakni dengan menolak gelombang perubahan, namun pada masa 'near future' ia mungkin melakarkan impak yang sebaliknya," ujarnya lagi. Oleh yang demikian Nazri mengharapkan tindakan lompat parti di kalangan ahli politik tidak menjadi budaya pemimpin Malaysia kerana ia akan menggugat kestabilan politik negara dan menafikan hasrat serta mandat pengundi yang telah diberikan semasa pilihan raya. "Biarlah proses yang paling demokratik yakni pilihan raya, yang menentukan siapa yang berhak untuk menduduki jawatan dalam pemerintahan. Ataupun jika timbul pertikaian diselesaikan dalam mahkamah yang bebas," katanya.- tmj/mks. _ Kerajaan BN Perak haram, segala dasar baru boleh dicabar - Husam Salmah Mat Husain Wed | Feb 11, 09 | 7:05:46 pm MYT | KOTA BHARU, 11 Feb (Hrkh) - Kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak tetap haram walau pun telah mempunyai enam anggota Exco baru, kata Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa. Katanya, apabila kerajaan yang memerintah sebuah negeri itu haram maka akan timbul pebagai masalah khususnya dari aspek pembayaran gaji, perbelanjaan dan dasar-dasar lain. "Orang ramai yang tidak berpuas hati boleh mencabar di mahkamah. Pelantikan sebagai Menteri Besar atau anggota Exconya masih lagi tidak sah kerana Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin belum lagi melepaskan jawatannya. "Lagi pun masih belum ada undi tidak percaya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri. Dalam kes ini, Tengku Razaleigh Hamzah juga mempertikaikan pelantikan Menteri Besar baru di Perak," katanya selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini. Sedangkan kata beliau semua orang tahu Ku Li juga pernah terlibat menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan pada tahun 1978. "Pada masa itu dibawa usul undi tidak percaya, di mana Speaker Dun telah mengizinkannya dan akhirnya kerajaan PAS Kelantan tumbang," ujarnya. Kata beliau Menteri Besar Perak tidak melepas jawatannya dan bagaimana Menteri Besar baru pula dilantik. "Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai perlembagaan dan undang-undang, bukan seperti Somalia," katanya. Beliau juga tidak menolak krisis di Perak akan terus berpanjangan kerana kerajaan baru di tidak sah dari segi perlembagaan. Beliau juga berkata, kerajaan Kelantan tetap akan mengadakan rundingan dan pertemuan dengan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak di bawah Nizar memandangkan beliau merupakan menteri besar yang sah. "Sekarang terpulang kepada Umno untuk mengesahkan jawatan tersebut, namun bagi kita kerajaan Barisan Nasional yang baru ditubuh di Perak adalah haram," ujarnya. Sementara itu dalam perkembangan lain Husam berkata, PAS akan mencalon pemimpin yang berpotensi untuk menang dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang tidak lama lagi, bagi mempertahankan kerusi tersebut. Beliau berkata, Dewan Harian PAS Pusat yang akan bermesyuarat malam ini di Kuala Lumpur dijangka memutus perkara tersebut. "Nama calon hanya diumumkan pada saat-saat akhir, itu sebagai satu strategi. Tindakan tersebut tidak sama dengan tempat lain," katanya. - mj _ Bertarung cara 'anak jantan',Pemuda Umno dicabar Mohd Sabri Said Wed | Feb 11, 09 | 7:08:33 pm MYT | PULAU PINANG, 11 Feb (Hrkh) - Pemuda Umno dicabar bertarung di gelanggang sebagai 'anak jantan' bukan berselindung di belakang Sultan dalam isu membabitkan kemelut di Perak sekarang ini kata, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusuf Rawa. Beliau ketika berceramah di Dataran PAS Teluk Kumbar semalam menegaskan, isu yang berlaku di Perak bukan berpunca daripada Kerajaan Pakatan Rakyat atau Menteri Besar, Dato' Seri Nizar Jamaludin yang enggan berundur daripada jawatan yang disandangnya kini sebaliknya dari tangan hitam kepimpinan Umno sendiri. "Umno tak payah buat demontrasi kerana apa yang mereka buat memakan diri sendiri. Kita kenal muka siapa yang buat demontrasi. Mereka juga adalah perampas hak orang melayu di Pulau Pinang serta kroni yang megenepikan kontraktor yang berkebolehan, " tegasnya dengan laungan 'Kerajaan haram Perak' oleh ribuan hadirin. Semasa isu ke mana nasib bahasa Melayu, pengguna bahasa Inggeris dalam pelajaran Sains dan Matematik dan sebagainya ke mana suara pemuda Umno melainkan memberikan sokongan penuh terhadap idea yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sekarang ini idea tersebut bukan sahaja ditentang hebat oleh banyak kumpulan malahan telah wujud demontrasi untuk mengatakan bantahan terhadap idea kononnya boleh meningkatkan keupayaan anak melayu khususnya bila pelajaran itu diubah dalam bahasa Inggeris. "Natijahnya kini semua boleh lihat apa yang berlaku bilamana pelajaran itu tidak boleh dibanggakan sebaliknya Kementerian Pelajaran terpaksa menurunkan graf terhadap pelajaran berkenaan semata-mata untuk menunjukan kejayaan yang diharapkan, " terang beliau yang juga Timbalan Pesuruhajaya PAS Negeri Pulau Pinang. Umno sebenarnya sedar diri sendiri kerana sanggup mengadai perjuangan yang dibawa oleh kumpulan veteran parti itu yang kini sudah menyebelahi Pakatan Rakyat dari segi perundangan dan perlembagaan Negeri Perak. Berdemontrasi ala Umno itu jelas memburukkan keadaan lagi apabila terus memberi kepercayaan kepada kerajaan yang dianggap haram kerana tidak mengikut lunas-lunas perundangan sebenar dengan memberi hak kepada rakyat untuk memilih sendiri siapakah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang boleh memainkan peranan membantu rakyat atau mempunyai kometmen yang tinggi terhadap parti yang diwakilinya. Turut berceramah sama dalam program anjuran PAS Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama PAS Balik Pulau itu ialah Ahli Parlimen Kuala Trengganu, Haji Wahid Endut. - mks. _ HR9808: Karpal tahu apa yang dia lakukan dan yakin dengan apa yang dia tahu. Sultan ke mana? Jangan menyotok di belakang Najib...!!
Polis ambil keterangan Karpal
| KARPAL Singh di luar Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN / ZULAZHAR SHEBLEE |
KUALA LUMPUR 11 Feb. – Pengerusi DAP, Karpal Singh yang bertegas untuk menyaman Sultan Perak hari ini dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL). Karpal hadir memberi keterangan bersama anaknya, Gobind Singh Deo selama kira-kira tiga jam bermula pukul 5.10 petang. Keterangan itu dibuat di hadapan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aziz Zakaria di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah. Semasa ditemui pemberita, Karpal berkata, beliau memberi keterangan berhubung laporan-laporan polis yang dibuat oleh orang ramai berikutan tindakannya akan menyaman Sultan Azlan Shah. Katanya, apa yang berlaku boleh dielak daripada menjadi lebih buruk jika Sultan Perak tampil dan membuat kenyataan terbuka mengapa baginda tidak boleh disaman. “Apa yang keluar sebelum ini telah disalah ertikan, saya tidak boleh dipenjara malah ia bukan hasutan dan Sultan Perak pun mengetahui apa yang saya lakukan adalah betul,” jelasnya. Karpal berkata, Sultan Azlan Shah seharusnya bertindak cepat dan tidak membiarkan perkara itu (laporan polis) menjadi begitu banyak dan mendapat perhatian umum. “Sultan Perak perlu bersikap adil dan harus tampil secara terbuka untuk menjelaskan perkara ini,” katanya. HR9808: Komentar dari sdr Hanipa patut dirujuk oleh semua terutama pemimpin UMNO dan kuncu-kuncunya..!! Tahniah..fakta yang jelas lagi bersuluh bagaikan cerahnya pantai Pangkor di bulan penuh..
Mohamed Hanipa Maidin Thu | Feb 12, 09 | 4:16:38 pm MYT | Kini, hampir setiap hari kita mendengar media massa yang dikongkong oleh Umno menuduh Dato' Seri Nizar Jamaluddin sebagai penderhaka. Laporan polis juga telah dilaporkan dibuat ke atas Nizar. Inilah politik kotor yang dimainkan oleh 'parti kotor' seperti Umno. Baik dulu, kini dan selamanya Umno sering terjebak dalam politik kotor. Politik orang yang tidak bertamadun dan parti yang tidak bermaruah. Umno penderhaka agung Jika Umno tidak diserang penyakit 'amnesia' (penyakit mudah lupa) sudah tentu parti tersebut patutnya merasa malu untuk bermain isu derhaka ini. Kerana apa? Kerana jika satu jari Umno menuduh Nizar sebagai penderhaka, maka empat jari Umno yang lain sebenarnya sedang menuding kepada Umno sendiri sebagai "penderhaka par excellence" (penderhaka agung). Bagaimanakah pemimpin Umno seperti Muhammad Taib boleh dengan tidak malu tumpang sekaki menuduh Nizar sebagai penderhaka sedangkan semua orang tahu beliau adalah "kepala penderhaka" apabila dengan tanpa segan silu sanggup melarikan anak Raja. Siapakah yang tergila-gila sanggup berarak untuk membawa Tengku Ibrahim dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu bagi menggantikan Sultan Kelantan? Siapa lagi kalau bukan penderhaka Umno. Mungkin parti itu menganggap mengganti sultan semudah menukar pengerusi JKKK. Siapakah yang telah mewujudkan krisis Perlembagaan pada tahun 1983 kalau bukan Umno. Kerakusan Umno mempertahankan kuasa telah mendorong Umno mencadangkan satu pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi meminda peruntukkan yang berkaitan dengan kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja serta kuasa Yang DiPertuan Agung untuk mengisytiharkan darurat. krisis perlembagaan 1983 Pindaan yang dkemukakan pada pertengahan tahun 1983 diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara tetapi Yang di-Pertuan Agong enggan menandatangani rang undang-undang Perlembagaan (Pindaan 1983) tersebut setelah baginda berbincang dengan raja-raja yang lain. Pindaan Perlembagaan 1983 tersebut bukan sahaja mewujudkan krisis perlembagaan tetapi buat kali pertamanya selepas Merdeka raja-raja dan pemimpin kerajaan yang dikuasai oleh Umno mengadakan rapat umum untuk menghentam raja-raja. Rapat umum yang dianjurkan oleh Umno telah meletakkan kedudukan raja dipandang hina masyarakat awam. Tidak cukup menghina raja-raja pada tahun 1983, Umno sekali lagi dengan rakus bertembung dengan raja-raja pada tahun 1990. Pertembungan tersebut berlaku selepas Umno kalah teruk di Kelantan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1990. Mana-mana orang yang tidak buta sejarah seperti pemimpin Umno tentu tidak dapat melupakan bagaimana Perhimpunan Agung Umno pada tahun 1991 menyaksikan kritikan-kritikan yang pedas, tajam, kurang ajar dan tidak beradab terhadap raja-raja Melayu. Pihak istana Kelantan dibidas dengan terbuka dan dituduh bertanggungjawab terhadap kekalahan calon-calon BN di tangan calon-calon Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Bukan sahaja Sultan Kelantan dibidas dengan tajam dan pedas, raja-raja lain turut menjadi bahan kritikan dengan pelbagai tuduhan seperti menyalahgunakan kedudukan untuk mendapat kelebihan dan peluang perniagaan, mencampuri hal ehwal pentadbiran dan sebagainya (lihat Far Eastern Economic Review 28/11/1991 m.s. 13). Semasa krisis itu juga, media-media massa tajaan Umno membangkitkan kembali krisis beberapa orang Sultan dan Menteri Besar Umno seperti yang berlaku di Perak pada tahun 1997; (Tan Sri Ghazali Jawi enggan meletak jawatan apabila diperintah oleh Sultan Perak mendorong baginda enggan bercukur jambang sehingga Menteri Besar tersebut meletakkan jawatan); dan di Pahang pada tahun 1979 (membabitkan Datuk Rahim Abu Bakar). juara menderhaka Kalau tidak cukup bukti-bukti di atas yang secara jelas menunjukkan Umno sebagai juara menderhaka kepada raja, saya ingin membawa para pembaca pula kepada pindaan Perlembagaan tahun 1993. Pindaan Perlembagaan tahun 1993 melibatkan isu cubaan Umno untuk menghapuskan imuniti raja-raja. Keputusan Majlis Raja-Raja yang meminta masa untuk mengkaji cadangan pindaan tersebut tidak disenangi oleh Umno. Apa yang berlaku selepas itu seperti mana yang diketahui umum; media-media massa yang dikawal oleh Umno menyiarkan kenyataan tidak bersopan dan beradab beberapa orang Menteri yang mendedahkan apa yang didakwa sebagai salah laku raja-raja dan anggota kerabat Diraja tertentu. mengaibkan raja-raja Sekali lagi Umno mengulangi taktik mengaibkan raja-raja seperti mana yang dilakukan semasa krisis Perlembagaan tahun 1983. Bersandarkan bukti-bukti di atas, kini sipenderhaka Umno yang sama tanpa segan silu menuduh Nizar pula sebagai penderhaka. Ya, memang benar Nizar mengakui telah "menyembah sembah derhaka" semasa beliau diminta oleh Yang Mulia Tuanku Sultan untuk mengundur diri daripada jawatan Menteri Besar Perak. Apabila seseorang tidak bersetuju dengan titah sultan menjadi adat dan bahasa istana seseorang akan menyatakan "hamba memohon untuk menyembah sembah derhaka". "Sembah derhaka" bermaksud tidak bersetuju dalam bahasa rakyat. Di dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Menteri-Menteri Besar saya difahamkan dipanggil "hamba tua" . Ini bahasa istana dan nak buat macam mana? jahil bahasa istana Malangnya Umno yang jahil dengan bahasa istana menganggap Nizar sebagai derhaka apabila memohon "menyembah sembah derhaka� . Naif dan ceteknya pemikiran Umno. Nizar memohon menyembah derhaka kepada Yang Mulia Tuanku Sultan kerana beliau berpandangan Sultan tidak mempunyai kuasa memecatnya. Ini kerana berdasarkan Perkara 16(7) Perlembagaan Negeri Perak, secara jelas memperuntukkan bahawa tidak sepertimana ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri yang memegang jawatan dengan kerelaan sultan (at his pleasure) yang membolehkan para exco boleh dilantik dan dipecat oleh Sultan pada bila-bila masa, jawatan Menteri Besar adalah berbeza dengan jawatan exco. Dengan lain perkataan jawatan Menteri Besar tidak dipegang di atas keredaan sultan. Menteri Besar seperti Nizar hanya boleh diminta untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar sekiranya beliau telah tidak lagi mendapat kepercayaan (ceases command of confidence) kebanyakan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Perak seperti mana yang diperuntukkan di dalam Perkara 16(6) Perlembagaan Negeri Perak. Persoalannya bagaimanakah kaedah untuk menentukan seseorang Menteri Besar itu telah tidak lagi mendapat kepercayaan kebanyakan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri menurut perpektif undang-undang? Apa yang berlaku pada kes Nizar ini samalah seperti yang berlaku kepada Ketua Menteri Sarawak pada tahun 1966. Di dalam kes Stephen Kalong Ningkan lwn Tun Abang Haji Openg & Tawi Sli (1966) 2 MLJ 187, Mahkamah Tinggi Borneo telah memutuskan bahawa di bawah Perlembagaan Negeri Sarawak (sama seperti Perlembagaan Negeri Perak) "lack of confidence may be demonstrated only by a vote in the Council Negeri" (kehilangan kepercayaan hanya boleh ditunjukkan melalui undi tidak percaya di dalam sidang Majlis Negeri (sama seperti Dewan Undangan Negeri)). undi tidak percaya Oleh itu Nizar mempunyai sebab yang kukuh untuk enggan meletakkan jawatan. Di dalam kes di Perak kekuatan BN dan Pakatan Rakyat sama iaitu masing-masing 28 kerusi. Ketiga-tiga bekas Adun Pakatan Rakyat hanya menjadi Adun Bebas dan bukannya Adun BN. Maka isu sama ada ketiga-tiga Adun berkenaan dikatakan menyokong BN mestilah dibuktikan melalui undi tidak percaya di dalam sidang Dun. Terdapat keraguan sepertimana yang diakui oleh SPR sama ada ketiga-tiga Adun ini masih boleh dianggap sebagai Adun kerana terdapat bukti yang kukuh mereka telah meletakkan jawatan sebagai Adun seperti mana surat mereka yang telah ditandatangani dan dialamatkan kepada Tuan Speaker. Berdasarkan Perkara 35 Perlembagaan Negeri Perak, surat perletakan jawatan ketiga-tiga Adun tersebut adalah sah. Hatta jika terdapat keraguan sekalipun sama ada ketiga-tiga Adun tersebut masih boleh dikira Adun atau tidak, badan yang boleh menentukan kelayakan ketiga-tiga Adun tersebut hanyalah Dun Perak seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perkara 33(1) Perlembagaan Negeri Perak yang secara jelas menyatakan: "Jikalau berbangkit sebarang masalah adakah seseorang ahli Dun itu telah kehilangan syarat menjadi ahli, maka keputusan dewan itu hendaklah diambil dan hendaklah muktamad". Dun tentukan status Adun Jelas Dun Negeri Perak dan bukannya SPR yang berhak menentukan sama ada ketiga-tiga Adun tersebut masih layak sebagai Adun atau tidak dan keputusan Dun tersebut adalah muktamad. Apa yang malang tatkala Y.M. Sultan melantik Menteri Besar yang baru, Dun Perak masih belum lagi memutuskan tentang status kelayakan ketiga-tiga Adun tersebut. Dalam keadaan tersebut terdapat keraguan yang munasabah sama ada Nizar telah dikatakan hilang keyakinan majoriti ahli-ahli Dun Perak. Atas dasar itulah Nizar mempunyai asas yang kukuh di sisi undang-undang untuk memohon kepada Tuanku Y.M. Sultan untuk "memohon menyembah sembah derhaka" untuk enggan meletakkan jawatan sebagai MB Perak. Malangnya "sembah derhaka" tersebut difahami oleh sipenderhaka Umno sebagai derhaka. _ | |
|
|
|
No comments:
Post a Comment
silakan komen dan beri pandangan anda untuk kebaikan semua!!