foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

Tuesday, August 4, 2009

H1N1 MENYAMBUT KEDATANGAN 1 MALAYSIA..??

HR9808@IKRAR - adalah wadah bebas bukan partisan yang memfokus kepada kebajikan rakyat.
Singkatan;IKRAR (Ikatan Kebajikan Rakyat)

"REFORMIS BUKAN HANYA GELARAN ATAU PEJUANG YANG BERJUANG KERANA MENGHARAPKANNYA!"

5 OGOS

Beberapa bulan yang lalu saya ada memberi komen soal lambatnya pihak Malaysia bertindak terhadap H1N1. Lambat kerana saya membuat perbandingan antara Malaysia dan Indonesia yang kebetulan masa itu saya ke Indonesia di airport alat canggih telah siap mendeteksi. Kemudian sebulan selepas itu saya balik ke Malaysia di airport masih belum ada lagi apa-apa alat. Setelah terlepas satu pesawat Airasia dari luar yang disyaki ada pembawa virus H1N1 tidak dapat ditemukan. Akibatnya pada hari ini 9 orang sudah mati. Mari kita lihat apa sebenarnya yang menyebabkan kita terlambat?. Sekadar bincang:

1. Publisiti 1 Malaysia lebih difokus dari yang lain sehingga media UMNO BN tidak memberi ruang kepada yang lain. Mereka asyik seperti orang mabuk yang hanya tahu macamana nak selamatkan karier politik mereka ke depan melalui publisiti 1 Malaysia. INilah satu-satu bahtera yang tinggal untuk selamatkan mereka. Tapi Allah Maha Tahu dan Maha Kaya. Dengan virus H1N1 ini sahaja 1 Malaysia akan hancur dan tenggelam kebumi.

2. Pemimpin UMNO-BN terlalu yakin kononnya Malaysia akan selamat dari serangan H1N1 dan buat sambil lewa sahaja amaran dari pihak WHO. Beberapa kali Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah memberi kenyataan supaya jangan panik selamat. Sekarang masih nak tunjuk gigi lagi ke? Maaf kamu semua patut rasa malu dan dengan segera letakkan jawatan!!!

3. Virus bahaya ini juga adalah salah satu amaran dan ingatan dari Allah kepada manusia sejagat. Jangan takbur dengan teknologi dan ubatan yang ada kerana semuanya akan lewat jika Allah berkehendak begitu. Tolong ingatlah terutama para ulama!! INgatkanlah para pemerintah yang masih degil yang tidak mahu tunduk dengan kebenaran Islam.!!! Jauhkanlah diri kita semua dari kezaliman kerana doa dari mereka yang dizalimi amat mustajab. Berapa ramai yang ditahan ISA yang merana hidup peribadi dan keluarga mereka semata-mata kerana pemimpin UMNO sekarang dan dahulu candukan kuasa. Masa untuk merubah ISA dan apa juga yang haram masih ada maka segeralah!!! Begitu juga amalan rasuah yang menjadi hidangan harian para koruptor yang memerintah negeri ini sehingga soal kebajikan rakyat dan nyawa rakyat diabaikan.

4. Saya sempat bertanya kepada staf di salah sebuah poliklinik di Ipoh, sejak seminggu ini pesakit datang begitu ramai sehingga mencecah sehingga 3,ooo orang. INi sejarah kelam di negara kita. Saya dapat saksikan dari anak kecil sehingga orang tua batuk-batuk, selsema dan demam memenuhi ruang poliklinik tersebut. Saya tidak dapat bayangkan jika virus ini terus melangkaui kemampuan manusia untuk mengawalnya? Apakah tindakan segera hanya akan diambil oleh para Menteri kita setelah ada di antara mereka mati atau kaum keluarganya mati akibat H1N1? Semua akan terjawab jika sudah tiba masanya.



Tolong segera berbuat sesuatu atau kita akan terus saksikan kematian setiap hari akibat H1N1...!!!!

PAS desak adakan sidang tergempar bincang wabak selesema babi
Mohd Nor Yahya
Mon | Aug 03, 09 | 7:28:29 pm MYT

TUMPAT, 3 Ogos (Hrkh) - Mengambil kira jumlah korban akibat virus selesema babi atau influenza A (H1N1) meningkat kepada tujuh orang hari ini, kerajaan didesak memanggil persidangan tergempar Dewan Rakyat.

Persidangan khas itu dianggap penting bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran lebih jelas mengenai penularan wabak tersebut.

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar berkata, anggota parlimen Pakatan Rakyat memandang serius penularan wabak tersebut dengan begitu cepat sehingga mengakibatkan tujuh menjadi mangsa sehingga hari ini.

"Melihat kepada situasi itu kami berpendapat adalah perlu diadakan persidangan tergempar Dewan Rakyat bagi membincangkan langkah lebih kontrit untuk menangani penularan H1N1 yang begitu membimbangkan sekarang.

"Pada persidangan itu kerajaan perlu membentang kertas putih untuk diketengahkan apa yang telah dilakukan kerajaan dan cadangan baru menangani wabak tersebut," katanya pada persidangan media di sini petang ini.

Sebelum itu beliau menghadiri program pemimpin bersama rakyat peringkat Dun Pengkalan Kubur di Kampung Geting, dekat sini.

Hadir sama seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan anggota parlimen Tumpat, Dato' Kamaruddin Jaffar.

Hari ini seorang ibu yang baru bersalin dua minggu di Sarawak menjadi korban ketujuh akibat influenza A (H1N1).

Mangsa terbaru itu berusia 23 tahun meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Miri jam 4 pagi tadi. Beliau didapati mengidap pneumonia yang teruk.

Mahfuz yang juga anggota parlimen Pokok Sena berkata, melalui pembentangan kertas putih anggota-anggota parlimen dapat membincangkan sama ada perlu atau tidak kerajaan mengisytiharkan darurat ekoran penularan wabak H1N1.

Sementara itu dalam perkembangan lain katanya, himpunan membantah ISA Sabtu lalu mencapai kejayaan apabila puluhan ribu rakyat hadir sehingga menimbulkan suasana panik di kalangan pemimpin Barisan Nasional. - mj _

Empat langkah tambahan bendung penularan H1N1

PUTRAJAYA 4 Ogos – Kerajaan hari ini memutuskan empat langkah tambahan menangani wabak selesema babi atau influeza A (H1N1) yang sehingga kini telah mengorbankan sembilan nyawa.

Langkah-langkah tersebut adalah:

*Meningkatkan simpanan stok antivirus dari 10 kepada 20 peratus melibatkan kos sebanyak RM20 juta.

*Memberi rawatan antivirus serta merta kepada enam kategori pesakit yang berisiko dan mempunyai simptom selesema babi.

Enam kategori pesakit itu adalah:

*Wanita mengandung

*Obesiti

*Penghidap asma

*Pesakit paru-paru kronik

*Pesakit diabetes

*Pesakit yang mempunyai

imuniti rendah

*Melaksanakan saringan suhu badan ke atas semua pelajar sebelum kelas bermula. Semua guru kelas akan dibekalkan dengan alat penyukat suhu. Pelajar yang didapati kurang sihat akan diasing dan dinasihat berehat di rumah serta mematuhi nasihat kesihatan.

lMenambah jumlah katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital-hospital terbabit sekiranya tidak mencukupi.

Langkah tambahan itu diputuskan Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik A (HINI) yang bermesyuarat di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua pesakit yang berisiko dan mempunyai simptom HINI tidak perlu menjalani ujian pengesahan.

Katanya, rawatan antivirus akan diberi untuk kes-kes yang dikesan dalam tempoh 48 jam selepas menunjukkan tanda dijangkiti H1N1.

Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat berikutan jumlah kehadiran orang ramai yang mahu menjalani pemeriksaan H1N1 di hospital agak ramai.

“Semua kes yang mempunyai simptom jangkitan influenza dan mempunyai faktor risiko akan diberi rawatan antivirus serta-merta tanpa perlu membuat ujian pengesahan H1N1,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini, hari ini.

Muhyiddin memberitahu, sebanyak 14 kes baru H1N1 melibatkan jangkitan tempatan dan warga Malaysia dilaporkan hari ini di mana 13 daripadanya merupakan kejadian daripada tiga kluster baru serta satu kes terpencil.

Katanya, jumlah terkumpul kes H1N1 di negara ini adalah sebanyak 1,460 kes terdiri daripada 574 kes import dan 886 jangkitan tempatan dengan angka kematian masih lapan orang.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,410 pesakit telah sembuh. Hanya 27 orang sedang menerima rawatan antivirus di hospital dengan 10 pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 23 pesakit lain menerima rawatan antivirus di rumah.

“Daripada 10 kes di ICU, tiga orang mempunyai faktor risiko iaitu obesiti (1), wanita lepas bersalin (1) dan imuniti rendah (2),” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri menambah, berdasarkan situasi global, sehingga hari ini sebanyak 189,155 kes dengan 1,319 kematian dilaporkan membabitkan 168 negara dengan Pakistan melaporkan kes pertama.

Jelas beliau, statistik tersebut meningkat sebanyak 3,301 kes dengan 12 kematian berbanding hari sebelumnya.

Rawatan H1N1 ditemui di AS

WASHINGTON 4 Ogos - Pegawai-pegawai kesihatan berkata mereka telah menemui beberapa kes yang mampu mengekang selesema babi menggunakan ubat Tamiflu di sepanjang sempadan Amerika Syarikat (US) dengan Mexico.

"Kami mengesan penolakan selesema babi daripada pesakit yang menggunakan Tamiflu di sempadan, kami telah meneliti beberapa kes di El Paso dan berdekatan McAllen, Texas,'' kata Maria Teresa Cerqueira, Ketua Pertubuhan Kesihatan Pan-American di La Jolla, California.

Beberapa kes H1N1 yang alah kepada ubat anti-virus itu juga telah ditemui di Kanada, Denmark, Hong Kong dan Jepun.

Semalam, pakar-pakar telah berkumpul di La Jolla bagi membincangkan mengenai tindak balas wabak tersebut termasuk memberi amaran berhubung masalah yang mungkin timbul akibat penggunaan anti virus yang berlebihan seperti Tamiflu.

"Di AS, Tamiflu dijual dengan preskripsi tetapi di Mexico dan Kanada ia dijual secara terbuka dan diambil walaupun bersin pada awalnya, kemudian apabila ia benar-benar diperlukan ia tidak lagi berkesan," jelas Cerqueira.

Kes-kes berkaitan penggunaan Tamiflu telah dilaporkan di saat India dan Afrika Selatan mengumumkan kes pertama berkaitan H1N1 yang mula timbul di Mexico pada April lalu, selain telah menular ke seluruh dunia dengan status pandemik.

Dengan jumlah penduduk yang paling tinggi dijangkiti HIV/AIDS dengan hampir 19 peratus daripada 49 juta orang penduduk, Afrika Selatan dianggap paling berisiko kerana mereka yang kekurangan imuniti lebih mudah dijangkiti penyakit itu.

Beban kes selesema babi di Afrika Selatan telah bertambah empat kali ganda sejak kes pertama dilaporkan di negara itu pada 14 Jun lalu.

Malah, kerajaannya berkata, stok Tamiflu hanya akan digunakan di saat darurat tetapi sekolah-sekolah di sana juga mungkin akan ditutup satu demi satu.

Di India, pihak berkuasa menyatakan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di bandar raya barat Pune merupakan korban pertama di negara terbabit akibat virus.

Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Keluarga berkata, remaja itu dikatakan berasa kurang sihat sejak 21 Julai selain mengadu sakit kerongkong, hidung berhingus dan sakit kepala namun beliau kembali bersekolah keesokan harinya selepas mendapati simptom-simptom itu beransur pulih. - AFP

H1N1, bala dan keengkaran orang agama tegur kemungkaran - Tok Guru
Wan Nordin dan Salmah Mat Hussin
Wed | Aug 05, 09 | 7:35:09 pm MYT

KOTA BHARU, 5 Ogos (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengkiaskan, virus H1N1 yang semakin serius melanda negara hari ini adalah satu bala atas kemungkaran yang berlaku.

Bala ini katanya akan datang tidak mengira samada di kawasan itu ada golongan agama atau sebaliknya, semuanya akan ditimpa.

Lebih-lebih lagi apabila ada golongan agama yang 'membisu' yang tidak mahu menegur atau menasihati kemungkaran yang berlaku, ujarnya sinis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini virus H1N1 yang melanda negara yang kini menyebabkan 12 kematian.

Beliau ditemui di pengkalan kapal, Pengkalan Kubor sebaik menyambut ketibaan delegasi MISI ROYALTI 2009 yang membuat pelayaran ke Pelantar Minyak Cakrawala, sempadan Malaysia Thailand 4 hingga 5 Ogos.Misi itu dikepalai Exco Kanan Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa.

Bercakap lanjut mengenai isu H1N1, Tok Guru bagaimanapun berharap semua pihak berdoa kepada yang Pencipta selain berusaha dengan kaedah perubatan.

Beliau turut mahu semua pihak berganding bahu bagi mengatasi kemelut ini, kerajaan pusat, rakyat mahupun kerajaan-kerajaan negeri.

"Kita kena serah kepada Allah, bala ini bila mari(datang) dia jangan kata tak ada kena mengena dengan tuhan, alim ulama sebut ia akan kena termasuk kepada orang baik, kerana apa mungkin kerana dia tidak nasihaa dan tak tazkirah.

"Oleh itu kita kena kerjasama semua sekali, rakyat mahupun kerajaan kena bekerjasama, jika tidak habis kena bala, bumi ini tuhan punya, justeru kita tidak boleh buat pandai-pandai," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan terkini, seorang lagi kanak-kanak, berusia enam tahun, meninggal dunia 2.30 pagi ini di Hospital Batu Pahat akibat wabak selesema babi A (H1N1), menjadikan jumlah seluruhnya 12 orang meninggal dunia di seluruh negara sejak dua minggu lalu.

Dua korban terbaru wabak tersebut yang dilaporkan sebelumnya terjadi di Melaka.

Seorang lelaki 20 tahun dan remaja 12 tahun dari negeri itu - masing-masing menghidap lelah dan kegagalan buah pinggang - menjadi korban terbaru kes selepas kematian kanak-kanak tiga tahun disahkan akibat virus tersebut.

Mangsa kesembilan Iffah Syazwina Samsuddin dilaporkan meninggal dunia pada 4.30 petang semalam di Hospital Melaka.

Korban kelapan membabitkan seorang guru 51 tahun dari Kuala Selangor yang meninggal dunia Ahad lalu. Sekolah tempat guru itu mengajar ditutup pada 27 Julai.

Setakat ini, 1,476 kes selesema A (H1N1) dilaporkan di seluruh negara, termasuk 16 kes terbaru termasuk kematian tersebut.

Korban ketujuh, ibu 24 tahun dari Miri, Sarawak yang baru melahirkan anak sulungnya dua minggu lalu meninggal dunia Ahad lepas. Anaknya bagaimanapun dilaporkan selamat.

Keenam, murid lelaki berusia 11 tahun dari Johor Bahru meninggal akibat komplikasi, 2 Ogos lalu.

Kelima, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Bagan Serai, Perak meninggal dunia Jumaat lalu.

Pada 28 Julai lalu, wanita berusia 20 tahun dari Melaka meninggal dunia akibat pneumonia teruk yang dijangkiti dari persekitaran.

Sehari sebelumnya, seorang lelaki berusia 42 tahun mati akibat wabak itu setelah disahkan menghidap selesema A (H1N1).

Si mati yang mengalami pelbagai komplikasi meninggal akibat pneumonia yang serius dengan kegagalan beberapa organ setelah 10 hari mendapat rawatan.

Korban kedua wabak itu di negara ini, lelaki 46 tahun yang meninggal dunia di hospital swasta di Subang Jaya, 26 Julai.

Lelaki tersebut dilaporkan mati akibat "pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan bersama kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut" selepas tujuh hari di unit rawatan rapi.

Pada 23 Julai lalu, seorang pelajar Indonesia berusia 30 tahun yang menuntut di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur menjadi korban pertama berkaitan wabak selesema A (H1N1)./wann_

No comments:

Post a Comment

silakan komen dan beri pandangan anda untuk kebaikan semua!!