HR9808@IKRAR - adalah wadah bebas bukan partisan yang memfokus kepada kebajikan rakyat.Singkatan;
IKRAR (Ikatan Kebajikan Rakyat)
6/7 JUN
Sejak malam 6 Jun sudah ada yang datang dari seluruh negara dengan satu desakan TURUNKAN HARGA minyak!!. Sekeliling stadium penuh dengan peniaga seperti pasar malam yang menjual bermacam jenis minuman, makanan dan beberapa produk merchandise PR. Sungguh menarik lagi kerana 80% adalah anak muda yang masih bertenaga dan sudah punya pendirian politik bagi masa depan Malaysia. Inilah yang menarik dan inilah petanda jelas bahawa rakyat perlukan perubahan yang menyeluruh sehingga harga minyak benar-benar dapat diturunkan.
Di sinilah juga teman-teman lama sejak 1998 dapat bertemu sekali lagi sambil mengenang sejarah silam yang memberi kepuasan tersendiri kerana jika tidak ada gerakan reformasi pada tahun 1998 maka sudah tentu kemenangan 8 mac 2008 tidak terjadi. Perjuangan apa pun perlukan waktu dan proses tertentu sehingga ianya menjadi sebuah bentuk. Soal sempurna atau tidak tidak penting kerana ianya masih perlukan sedikit waktu bagi proses penyempurnaannya. Inilah taklif atau tanggungjawab yang wajib dipikul oleh semua pejuang sehingga HARAPAN BARU menjadi kenyataan di Malaysia. Semoga ianya tidak dilengahkan lagi kerana sememangnya musuh rakyat BN-UMNO akan menggunakan serba macam cara untuk menyekat ianya menjadi kenyataan. Beruntunglah mereka yang menjadi pejuang yang konsisten sehingga wujudnya MALAYSIA BARU dan segala kebaikan darinya adalah saham besar yang tidak ternilai buat dunia dan akhirat kita...Ayuh sdr kita teruskan kerana garis penamat sudah hampir tiba....!!! Haruman dari Putrajaya makin kuat terasa...
Meneliti dari beberapa ucapan pemimpin PR jelas sekali bahawa BN memang sudah tidak relevan lagi di persada negara dan rakyat juga nampaknya sudah siap untuk menerima kedatangan kerajaan baru dari PR...
DSAI juga mengambil moment ini untuk menjawab tuduhan terhadap beliau...
"Bersumpah...saya akan lakukan" - Anwar
Harakahdaily Mon Jul 07, 08 7:10:58 am MYT
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Hrkh) - "Jika mahu saya bersumpah dengan nama Allah, insya-Allah saya akan lakukan,"demikian kata Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan oleh Malaysiakini sewaktu berceramah di hadapan lebih 30,000 orang di Stadium MPPJ, Kelana Jaya malam tadi. -->
Menurutnya, beliau sanggup bersumpah dan dibicarakan di mahkamah syariah terhadap tuduhan liwat terhadapnya, dengan syarat ia mengikut undang-undang syariah sepenuhnya.
"Saya mencabar mereka memberikan bukti-bukti sebelum menuduh dan mengaitkan saya.
"Saya sedia menerima apa sahaja hukuman jika dibuat mengikut undang-undang yang adil.
"Saya akan tunduk jika mereka boleh memberikan bukti tuduhan terhadap saya.
"Jika mahu saya bersumpah dengan nama Allah, insya-Allah saya akan lakukan," tegasnya diikuti tepukan gemuruh para hadirin.
Malaysia mesti diselamatkan
Ucapan beliau malam tadi merupakan acara kemuncak perhimpunan rakyat membantah kenaikan harga minyak semalam.
Menurut Anwar lagi, pada 1998, katanya, beliau dituduh dengan kes yang hampir sama.
"Saya telah bertanya kepada ulama-ulama, mereka melarang saya bersumpah.
"Tetapi saya tetap bersumpah, namun saya dipukul dan dipenjarakan.
"Mengapa kes ini dibangkitkan sekarang? Kerana kita maju ke depan. Kamu main drama 'Sivaji The Boss', kita main drama 'Sivaji The Boss'.
"Malaysia mesti diselamatkan, Malaysia mesti diselamatkan, Malaysia mesti diselamatkan," ulang Anwar sambil disambut temukan gemuruh dan laungan reformasi.
Pada 28 Jun lalu, pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mendakwa mantan timbalan perdana menteri itu meliwatnya di Kondominium Desa Damansara, beberapa kali sekitar bulan Jun lalu.
Sebelum ini, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan supaya isu liwat yang mengaibkan itu diselesaikan secara mubahalah atau "sumpah" sekiranya ia tidak dapat diselesaikan secara perundangan dunia.
Manakala, Pergerakan Pemuda Umno Terengganu meminta mufti Perlis itu tampil sebagai orang tengah bagi membawa mereka yang terbabit dalam mubahalah dengan alasan Dr Mohd Asri tidak dipengaruhi mana-mana badan politik.
Dan semalam, Dr Mohd Asri mencadangkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi orang tengah yang akan membawa Anwar dan Saiful untuk "mubahalah" atau 'bersumpah' sebagai jalan penyelesaian isu liwat yang kini menjadi tumpuan nasional.
Saya akan bongkar habis-habisan
Dalam ceramahnya juga, Anwar mendakwa beliau tidak mahu isu tuduhan liwat ini menjadi isu peribadi beliau.
"Tetapi (ia) diulang dengan jahat dan (dengan) fitnah yang kejam. Kita tidak terima ini.
"Saya akan bongkar habis-habisan. Siasatan polis tidak seteruk tahun 1998-1999 tetapi akan beri kerjasama penuh untuk siasatan," kata Anwar lagi.
Anwar berkata, jika beliau dipukul, ditangkap dan dipenjarakan lagi, ia tidak akan menyelesaikan masalah.
Beliau bertanya selama enam tahun beliau di dalam penjara, adakah politik baik, rasuah turun dan harga minyak turun?
Anwar menambah, politik sudah tidak terkawal dan kerajaan Pakatan Rakyat mahu memulihkan keyakinan pelabur.
Mengenai dakwaan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hamid Albar bahawa beliau memberi maklumat kepada Amerika Syarikat, Anwar berkata:
"Kalau ada bukti saya telefon dan surat yang saya hantar kepada Amerika Syarikat, saya boleh diambil tindakan.
"Jika tidak saya akan saman kamu," katanya disambut tepukan gemuruh pada hadirin.
Anwar juga berkata, beliau sedia berdebat dengan Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek pada 15 Julai ini berhubung isu kenaikan harga minyak.
Bagaimanapun, katanya, lebih baik debat itu dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak. - mks._
Majlis bersurai sekitar jam 11.00 malam...Tahniah kepada pihak penganjurPROTES, Squad AMK, AMAL dan Srikandi dan seluruh yang menjayakannya. Walaupun ada sedikit kekecohan tapi ianya dapat segera diselesaikan dengan baik...Dari apa yang terjadi..pihak penganjur harus menerima hakikat betapa pentingnya BERHATI-HATI dalam semua hal untuk di masa akan datang. Tak perlu salahkan sesiapa tapi semua yang terlibat wajib menerima tanggungjawab ini. Sebagai seorang muslim..BERTAUBATLAH!!!! ALLAH maha pengampun dan Alak (penyanyi kumpulan Carburetor) mungkin terbawa dengan kemarahan dalam emosi PROTES tersebut. Sdr. Hishamuddin juga telah mengakui kesilapan beliau jadi kepada para pejuang maafkanlah mereka!! Memaafkan lebih baik dari berdendam...!!! Namun pejuang berhak tegas menyatakan penderian atas kejadian tersebut. Pihak yang bertanggungjawab harus akur dengan pendirian tersebut. Debgarkanlah pandangan dari sdr-sdr pejuang seluruh Malaysia.
Pemuda PAS Pahang kesal aksi 'tunjuk punggung' sempena protes
Basiron Abdul Wahab Mon Jul 07, 08 3:58:56 pm MYT
KUANTAN, 7 Julai (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pahang melahirkan rasa kesal yang amat sangat terhadap Jawatankuasa Protes kerana 'aksi tunjuk punggung' semasa Himpunan Memprotes Kenaikan Harga Minyak semalam. -->
Ketuanya, Ustaz Suhaimi Md Saad berkata, aksi memualkan itu membelakangi akhlak Isam dan budaya himpunan yang sepatutnya membawa suara rakyat dan keluhan rakyat telah menjadi himpunan ala 'fun fair'.
Dalam kenyataanya Suhaimi berkata, kehadiran ahli Pemuda PAS beramai-ramai ke perhimpunan itu adalah untuk ditipu oleh penganjur Protes dan kesengsaraan rakyat akibat kenaikan harga minyak dan barangan telah dipermainkan.
Sehubungan itu Pemuda PAS Pahang mendesak Jawatankuasa Protes meletakkan jawatan dan bertanggung jawab di atas aksi 'tunjuk punggung' di Pentas Kelana Jaya.
Berikut adalah kenyataan penuh Dewan Pemuda PAS Pahang.
Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang (DPPNP) melahirkan rasa kesal atas insiden yang berlaku semasa penganjuran Himpunan Rakyat PROTES kali ini. Apa yang kita bimbangi berlaku dalam himpuan PROTES menjadi kenyataan. Memualkan dan menjelekkan apabila acara pentas membelakangkan akhlak Islam dan budaya luhur masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Himpunan yang sepatutnya membawa suara rakyat dan keluhan rakyat menjadi himpunan ?ala Fun Fair?.
DPPNP telah dimaklumkan hasil perbincangan dengan Dewan Pemuda PAS Pusat dengan jawatankuasa PROTES yang bersetuju untuk menggugurkan semua aktiviti nyanyian yang melibatkan band dan kumpulan-kumpulan tertentu sebagaimana yang tertera di poster sebelum ini. Tetapi malangnya Pemuda PAS turun beramai ramai hanya untuk ditipu oleh jawatankuasa PROTES.
Nama besar seperti PROTES tidak seharusnya menyajikan acara pentas sebegitu. Seharusnya kita belajar dari Kejayaan Himpuan BERSIH. Walaupun tekanan yang begitu hebat namun ia gagal mengekang kebangkitan rakyat menuntut demokrasi.
Semua rakyat terkesan dengan kenaikan harga minyak. Seharusnya himpunan ini lebih berjaya dan bermakna daripada Himpunan BERSIH.
Kami hadir kerana mahu membantah kenaikan harga minyak dan mahu mendesak agar kerajaan UMNO dan BN memahami derita rakyat lalu menurunkan harga minyak. Kami bukan datang untuk berhibur.
Suka diingatkan DPPNP bukan anti hiburan. Himpunan semurni ini bertujuan untuk membawa keluhan rakyat tidak sepatutnya bercampur aduk dengan hiburan ala barat.
Walaupun kami dimaklumkan liriknya mengutuk kedajalan Umno/BN, seperti lagu Hantu Raya di Putrajaya tetapi tak ada perkataan yang boleh difahami disebabkan muzik yang bingit dan menenggelamkan suara penyanyi. Dengan aksi londeh seluar dan tunjuk punggung menjadikan aksi itu lebih sesuai digelar ?Hantu Raya di Pentas Kelana Jaya?.
Jawatankuasa PROTES seolah-oleh memperbodohkan peserta perhimpunan yang datang dari seluruh negara. Kesengsaraan rakyat jelas dipermainkan.
PROTES sampai turun bertukar kepada PROTES sampai nampak punggung!. Ahli jawatankuasa PROTES yang bertangung jawab membawa budaya buruk ini seharusnya disingkirkan daripada jawatankuasa Himpunan Rakyat pada masa akan datang.
DPPNP mengutuk acara hiburan ala barat dan aksi-aksi pentas terlampau yang berlaku dalam Himpunan PROTES dan seharusnya ia menjadi pengajaran kepada semua.
Sekian
SUHAIMI BIN MD SAAD
Pemangku KetuaDewan Pemuda PAS Negeri Pahang_
KOMENTAR MEMBIUNA ....
"Ini bukan Protes tapi Karnival Turun Minyak"
Izwan Abdul Halim Mon Jul 07, 08 2:28:29 pm MYT
KOTA SARANG SEMUT, 7 Julai (Hrkh) - Pemuda PAS Kedah melahirkan rasa kesal dengan pengendalian Himpunan Protes Sejuta Rakyat yang diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) di Kelana Jaya semalam. -->
Bagi pemuda Kedah, himpunan semalam tidak mencapai tujuan asal gerakan Protes yang telah digerakkan sejak tahun lalu.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah (DPPNK), Ustaz Musoddak Ahmad di Kompleks PAS Kedah sebentar tadi.
Menurutnya, ramai kontingen pemuda dari kawasan-kawasan yang hadir ke himpunan berkenaan turut 'memprotes' pengendalian himpunan itu semalam.
"Pemuda-pemuda dari (Kawasan) Kuala Kedah, Pendang, Sik, Merbok, Padang Serai, Sungai Petani, Langkawi dan lain-lainnya pergi untuk menyatakan protes tetapi pulang awal kerana 'memprotes' cara himpunan itu.
"November lalu himpunan Bersih telah memasuki 'gear empat' suara rakyat dan sepatutnya gelombang itu menjadikan Protes memasuki 'gear lima' tetapi semalam himpunan jadi 'gear satu'," ujarnya kecewa.
Menurutnya, rakyat sudah ada keberanian untuk turun ke jalan dan tidak bimbang kepada risiko berhadapan 'water-cannon' dan semburan kimia.
Oleh itu, menurut beliau, mengadakan himpunan di stadium seolah-olah berundur semula ke belakang.
"Bila buat himpunan macam ini, protes yang dinyatakan tidak tampak kepada umum apatah lagi pihak yang diprotes juga tidak akan rasa apa-apa," tambahnya lagi.
Beliau turut menyatakan kekesalannya kerana wujud konsert pada himpunan berkenaan.
"Rata-rata pemuda Kedah pulang setelah konsert diadakan, mereka menggelar himpunan itu bukan 'protes' tetapi 'karnival turun minyak'.
"Pemuda Kedah datang bukan untuk berhibur, mereka datang atas nama perjuangan. Jadi sebarang sekatan yang mungkin berlaku mereka sanggup hadapi," jelasnya yang turut memaklumkan DPPNK akan menghantar nota bantahan kepada jawatankuasa penganjur himpunan itu. - mks. _
Petugas PKR dituduh ganggu jurugambar
Jul 8, 08 4:22pm
Angkatan muda PKR didakwa mengasari dan menghalang tugas jurugambar dalam beberapa liputan, termasuk di perhimpunan membantah harga minyak kelmarin. Angkatan muda, yang bertugas bagi pihak penganjur Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes), didakwa menghalang petugas media yang cuba merakam insiden kekecohan sewaktu persembahan kumpulan Carburetor Dung.
Malah, petugas angkatan muda sendiri didakwa turut terlibat memburukkan lagi keadaan di atas pentas, termasuk memukul penyanyi kumpulan muzi indie itu, Alak (foto).Aduan tentang gangguan sayap pemuda PKR ini telah disampaikan oleh Persatuan Wartawan Foto Cina Malaysia (MCPA) kepada parti tersebut, penganjurnya dan beberapa pemimpin.Malaysiakini juga menghantar surat bantahan berhubung isu yang sama dengan menamakan wartawan-wartawan beberapa media lain seperti Reuters, TVPas, The Star, Suara Keadilan dan Channel News Asia yang turut mengalami gangguan petugas parti pembangkang tersebut.
Sementara itu, angkatan muda menafikan pemuda yang didakwa cuba menumbuk penyanyi kumpulan Carburetor Dung sebagai anggota skuad petugas pergerakan itu."Angkatan Muda menafikan pihak yang memulakan kekecohan itu adalah ahli kita. Arahan kita kepada skuad jelas, pakai baju biru skuad AMK tanpa mengenakan jaket," kata ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin kepada Malaysiakini. "Jadi sesiapa yang memakai jaket, bukanlah anggota skuad AMK." Mengulas tindakan awal beberapa orang yang memulakan kekecohan,
Shamsul berkata: "Kita percaya, (tindakan) ini dilakukan oleh ejen-ejen provokasi dan anasir-anasir luar yang cuma memburukkan nama AMK."Menurutnya lagi, sehari sebelum program, skuad AMK telah diberikan taklimat bagaimana mengawal keadaan dan menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku."Arahan kita jelas, (jika berlaku kekecohan) lepaskan dan kosongkan mereka (yang menjadi sasaran) dari tempat itu."Sebab itu sewaktu Alak diserang, skuad AMK membuat benteng manusia untuk melindunginya daripada dipukul sehingga ada ahli-ahli kita yang luka, koyak seluar dan lebam kena baling dengan topi keledar dan kayu. "Mereka ini bekerja keras mengawal keadaan. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka," tambahnya.Mengulas dakwaan MCPA bahawa kumpulan itu mengasari dan menghalang tugas jurugambar, Shamsul berkata perkara itu terjadi tanpa disengajakan."Dengan keadaan kelam-kabut ketika itu. Macam-macam boleh berlaku. Tidak dinafikan mereka (petugas) sebahagiannya panik. "
Kepada wartawan dan jurugambar yang terlibat saya mohon maaf dan saya percaya perkara ini tidak akan berulang," katanya.
Konsert kecoh: Protes harus disalahkan
Jimadie Shah Othman Jul 8, 08 11:42am
kemaskini 2:52pm
Penganjur perhimpunan membantah kenaikan harga minyak Ahad lalu harus dipersalahkan atas kontroversi kumpulan Carburetor Dung, kata seorang sasterawan veteran."Kalau nak salahkan sesiapa, penganjur yang patut dipersalahkan. Dah tahu kumpulan itu macam itu, kenapa jemput? Lagipun persembahan rock macam ini bukan budaya kita," kata Razali Endun."Lain kali (penganjur) mestilah berhati-hati. (Perhimpunan) ini bukan kelab malam."Beliau juga menambah: "Perbuatan itu kurang ajar, tidak tengok tempat. Aksi itu tidak patut berlaku. Perbuatan itu tidak kena dengan tempatnya dan menjejaskan nama baik penganjur dan PKR. Banyak benda lagi boleh buat."Mengulas cara bantahan penonton yang menggunakan kekerasan, Razali berkata: "Tidak boleh salahkan penonton. Penonton ada macam-macam jenis. Itu aksi dia (Carburetor Dung), itu dia dapat. "Apa yang dia buat, sesiapa pun akan marah. (Penonton) yang suka sedikit, (mereka) yang tidak suka ramai."
Perhimpunan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) di stadium Kelana Jaya kelmarin menyaksikan kekecohan sewaktu penghujung persembahan konsert kumpulan punk tersebut. Penyanyinya Alak mengalami cedera ringan dalam serbuan sekumpulan penyokong pembangkang, sementara botol minuman dan batu bata melayang ke pentas utama. Mereka dilaporkan marah dengan aksi menayangkan punggung ke arah penonton sewaktu penyanyi itu menyampaikan Mari nyanyi menjilat – lagu mengkritik budaya mengampu dan kebergantungan kepada korporat.Difahamkan, isu kontroversi yang mendapat liputan meluas media ini dijangkakan akan dibincangkan dalam mesyuarat Protes hari ini bagi menilai program sehari suntuk yang berjaya menarik 25,000 orang.
Penyair tersohor Pyanhabib juga tidak senang dengan kontroversi itu. Bagaimanapun beliau bersimpati dengan kumpulan tersebut."Perkara ini sepatutnya tidak berlaku. Susah payah Protes, jadi habis begitu sahaja. Tidak pasal-pasal, yang difokuskan sekarang bukan hal minyak naik tetapi hal peserta naik minyak," katanya, yang turut serta membaca puisinya membantah kenaikan harga minyak sebelum kejadian."Kasihan pemuzik, kasihan (golongan) fanatik, kasihan Protes. Lagi, waktu hampir maghrib, tidak elok berlaku begitu (kekecohan)," tambahnya.Menurut Pyanhabib lagi, kontroversi itu berlaku disebabkan "peserta pengacau yang hipokrit"."Mereka (Carburetor Dung) jadi mangsa peserta pengacau yang hipokrit. Peserta (bersikap) hipokrit sebab dua lagu sebelum itu boleh diterima, kenapa lagu ketiga mereka buat kacau? "Mereka harapkan lagu yang baik-baik? Memang pemuzik bawah tanah (underground) baik-baik cuma cara penyampaian mereka telah kaburkan maksud baik (itu). Jika tidak suka cara pemuzik bawah tanah itu, (pergilah) jumpa penganjur persembahan pertama sebelum bontot ditunjukkan, habis cerita," katanya. Peserta yang fanatik ini, tambahnya, datang dari jauh dan bersemangat tetapi tidak bersikap terbuka."Kasihan (juga pada) peserta fanatik, mereka ini rasanya datang dari jauh. Mereka bersemangat, tetapi tidak (berfikiran) terbuka. Bila ternampak 'bontot' mereka hilang fokus. "Tahu tak ada menteri tayang bontot, tepuk bontot atau raba bontot?" kata Pyanhabib yang terkenal dengan sajak-sajak satira politiknya.
Kurator di Yayasan Kesenian Perak (YKP), Nur Hanim Mohamed Khairuddin pula menyifatkan pemuzik indie itu gagal memahami konteks acara itu sehingga tercetus kontroversi."Mereka patut faham konteks. Ia berbeza dengan persembahan di gig. Perhimpunan itu disertai orang daripada pelbagai latar, parti dan agama. "(Kekecohan) ini sebuah konflik budaya. Mungkin juga sebab kumpulan itu punk rock. Pemuzik lain (yang membuat persembahan) tiada masalah."Beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan bantahan kelmarin dan menyifatkannya sebagai "primitif"."Saya tidak setuju dengan bantahan itu kerana tidak memberi peluang anak muda berekspresi. Tetapi dengan cara melempar (objek), itu (tindakan) primitif. Mesti ada yang memulakan. "Mana datang batu bata? Mana ada orang pergi perhimpunan bawa batu bata? Dari mana ia datang? "Lagi pun benda ini boleh berjangkit, ada elemen histeria, melatah. Amuk ini cepat sangat. Ini pengajaran," katanya.Alak semalam percaya kekecohan bermula daripada provokasi tiga orang penonton.
Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) pula berpendapat kontroversi itu sebagai "pengalaman pertama kepada pihak yang prodemokrasi untuk matang"."(Gelagat) Carburator Dung pada hari itu adalah simbol tekanan berpuluh-puluh tahun terhadap generasi muda. "Carburetor Dung adalah produk (politik) autokratik. Tindakannya harus dilihat sebagai period demokrasi pada peringkat awal," kata jurucakapnya Hasmi Hashim."Di mana-mana tempat pun, peralihan (daripada pemerintahan autokrasi kepada demokrasi) akan ada period menuju kematangan demokrasi. "Begitu dengan Faizal Tahir (membuka baju di pentas, Januari lalu) - itu ekspresi menuju demokrasi dan proses pendewasaan menuju demokrasi sebenar. "Kita tidak mahu halang ekspresi - ia akan perlahan-lahan matang. Di Indonesia pada 1998 dan 1999 lagi banyak perkara berlaku. Kita tidak boleh berpatah balik," tambah penulis isu-isu seni ini, yang juga ketua penerangan PKR Johor.Mengulas bantahan itu yang menggunakan kekerasan, Hasmi berkata, khalayak tidak harus dipersalahkan tetapi lebih penting mengawal keselamatan dan meredakan kemarahan semua pihak."Kita tak boleh halang campur tangan khalayak. Yang penting ada pasukan mengawal. AMK (angkatan muda PKR) mengawal dengan baik dan keadaaan terkawal. Itu adalah sentimen dan reaksi orang bawah. "Yang penting adalah proses meredakan kemarahan orang bawah dengan memastikan keselamatan semua pihak terjamin dan memberi peluang pihak yang berkenaan membuat penjelasan. Mengulas tindakan segera penulis kolum terkenal Hishamuddin Rais, yang turut terlibat mengatur segmen muzik dalam perhimpunan Protes itu, memohon maaf kepada khalayak dan mengambil sepenuhnya tanggungjawab, Hasmi berkata:"Saya belum nampak orang sebesar dia tunduk dan memohon maaf."Hasmi mencadangkan kumpulan pemuzik itu "berekspresi dengan lebih bijaksana" untuk persembahan mereka akan datang.
Nik Aziz kecewa perhimpunan ‘seronok-seronok’
KOTA BHARU 8 Julai – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kecewa dengan perjalanan perhimpunan Protes Sejuta Rakyat-Protes Sampai Turun kelmarin yang bertukar menjadi majlis ‘seronok-seronok’.
Menurut Nik Abdul Aziz, beliau tidak terfikir program yang digerakkan oleh pakatan pembangkang bagi membantah kenaikan harga minyak turut diselitkan dengan persembahan muzik liar dan melampau itu.
“Saya kecewa betul, saya tak terfikir benda tu boleh berlaku, macam mana saya pun tak faham,” katanya yang juga Menteri Besar Kelantan kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Sehubungan itu, katanya, beliau bersetuju dengan tindakan ahli Pas termasuk unit amalnya yang dikatakan bertindak keluar dari stadium kerana tidak menyenangi apa yang berlaku.
“Saya memang setuju, buat apa kita turut orang, turun dari rumah kita nak protes, tiba-tiba sampai di sana, orang lain buat cara bukan nak protes, tapi nak seronok-seronok, tak boleh,” katanya.
Pas anggap Protes gagal capai matlamat
SHAH ALAM 8 Julai – Pas Selangor menyifatkan Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat-Protes Sampai Turun di Kelana Jaya, Ahad lalu, sebagai tidak relevan dan gagal mencapai matlamatnya.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali berkata, perhimpunan itu gagal selepas tindakan penganjur mengundang kumpulan muzik underground sehingga mencetuskan insiden aksi penyanyinya melondehkan seluar pada persembahannya.
Katanya, pihak penganjur seharusnya peka dengan budaya serta agama kerana tindakan penyanyi kumpulan Carburetor Dung, Alak jelas bertentangan dengan budaya dan agama yang diamalkan di negara ini.
Menurut beliau, insiden berkenaan juga dilihat tidak menjurus kepada matlamat sebenar perhimpunan itu diadakan bagi membantah kenaikan harga minyak yang dikatakan membebankan rakyat ketika ini.
‘‘Saya tidak nampak apa relevannya pihak penganjur mengundang kumpulan itu mengadakan persembahan sedemikian kerana ia jelas tidak sesuai dengan tujuan sebenar perhimpunan itu. Malah, ia juga dilihat seolah-olah satu pertunjukan hiburan.
‘‘Saya difahamkan juga, ketika perhimpunan itu, kira-kira 700 orang Unit Badan Amal Pas turut menarik diri sebagai urus setia dan saya tak salahkan mereka.
‘‘Tetapi saya fikir, jika itu (persembahan) merupakan tarikan orang ramai hadir ke perhimpunan tersebut, saya anggap ia tidak mencapai sasaran dan tidak berjaya,’’ jelas beliau yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, di sini hari ini