foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

Monday, December 8, 2008

IEDUL ADHA DAN TANAH RUNTUH...

HR9808@IKRAR - adalah wadah bebas bukan partisan yang memfokus kepada kebajikan rakyat.Singkatan;
IKRAR (Ikatan Kebajikan Rakyat)

7/8/9 DIS

Setelah mendengar berita tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, terbayang suasana damai tenang dan pohon merimbun di kawasan tersebut. Tapi kali ini kedamaian membawa berita seram kepada siapa sahaja terutama kepada keluarga mangsa yang kehilangan harta benda dan nyawa dari bencana ini. Ketika berada di BM, Balik Pulau Penang dan Taiping sambil menemui teman lama topik yang terus dibicarakan ialah bagaimana dahsyatnya bencana alam itu. Tapi jika diulang-ulang beritanya sahaja rasanya sudah terlambat untuk merubah kerana kejadian sudah meragut beberapa nyawa. Biasanya ketika inilah saling menunjuk jari siapa yangsalah dan siapa yang patut dipersalahkan. Ianya tidak akan ada kesudahan bahkan semakin membingungkan terutama rakyat kecil yang menjadi mangsa.

Bagi saya ada beberapa hal yang patut diambil kira oleh semua:

1.Bencana alam pasti bermula dari tangan manusia. Tangan siapa? Ya..mahu terima atau tidak ialah kerajaan Negeri sebelum ini yang telah meluluskan projek mewah yang gila kepada para pemaju yang gila tamak untung. Memang gila dan pasti semua orang yang waras akan mengatakan gila. Tanah yang curam dan bergambut bagaimana boleh didirikan bangunan? Tapi semua jadi boleh kerana fulus..ada fulus semua mulus..ada fulus semua lulus..ada fulus rakyat boleh mampus..Kerajaan BN-UMNO yang pekak dan buta dengan kebajikan rakyat tak peduli ini semua asal mereka sudah kaut untung..Inilah kezaliman dan inilah kebodohan.

2. Rakyat berhak mendesak kerajaan dan pemaju sebelum ini untuk bertanggungjawab. Jika tidak mahu dan degil bawa mereka semua ke pengadilan rakyat. Ke mahkamah biasa banyak macainya dan nasib rakyat takkan diambilkira. Jadi rakyat berhak bersuara dengan lantang dan tegas. Jangan biarkan lagi nasib rakyat dibuat ujicoba oleh para konglomerat dan pemerintah korup. Mereka wajib diajar untuk menghormati dan menghargai nyawa manusia.!!

3. Mangsa yang masih berada dalam bahaya jangan dibiarkan bersendirian sekalipun banyak skuad, NGO dan badan-badan kecemasan bersama mereka kerana bukan mudah mereka dapat menerima malapetaka ini. Masalah mereka adalah masalah semua dan inilah waktu kita semua memperlihatkan kesedaran betapa persaudaraan dapat mencairkan pengenalan bangsa dan agama. Syabas kepada semua yang bersama para mangsa dan anda semua adalah wira kami semua. Semoga Allah menerima amal kalian..!!

Mangsa ditemui masih pegang telefon
Dec 6, 08 4:26pm

Tiga daripada mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dikenali sebagai Shaiful Khas Shahrudin, 20, seorang doktor haiwan, S Yogeswari, 40 dan seorang Ng Yee Peng, 30.

Shahrudin AdnanMayat korban keempat ditemui pasukan penyelamat lewat petang tadi.

Bapa Shaiful, Datuk Shahrudin Adnan, 63, (foto) berkata masa kejadian pukul 3 lebih itu, beliau terdengar anaknya memekik dan berkata rumah mereka bergegar dan bergerak.

"Ketika gelongsoran pertama saya masih terdengar suaranya, sehinggalah gelongsoran yang ketiga," katanya, lapor Bernama.

Shahrudin berkata, anak bongsunya dari dua orang adik-beradik itu, Shaiful Khas Shahrudin, 20, dipercayai tertimbus selepas runtuhan ketiga di banglo dua tingkat mereka.

"Saya menggunakan telefon bimbit untuk mengesan anak saya yang tertimbus. Shaiful kemudiannya ditemui dengan tangannya yang sejuk dan masih memegang telefon bimbit, dan dia disahkan telah meninggal dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, hari ini.
bukit titiwangsa hospital
Shaiful Khas adalah antara tiga orang yang dilaporkan terkorban setakat 10.30 pagi tadi dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama pada jam 4 pagi tadi.

Shahrudin berkata beliau bersama isteri dan seorang anak saudara mereka berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui bumbung.

"Penghuni di apartmen hadapan rumah kami menghubungi polis dan bomba. Bila bomba sampai baru saya dapat mengesan anak saya melalui deringan telefon bimbit yang dipegangnya ketika itu," katanya.

Beliau berkata malam tadi, anaknya memberitahu dia mahu tidur di tingkat bawah sementara beliau sendiri bersama isterinya serta anak saudara mereka itu tidur di tingkat atas.

Beliau berkata kejadian mungkin berpunca daripada projek perumahan yang terbengkalai di atas bukit sejak 10 tahun lepas.

landslide bukit antarabangsa 10"Ada enam unit rumah di atas, mungkin disebabkan tidak dapat menahan unit rumah tersebut, menyebabkan runtuhan tanah berlaku," katanya yang menginap di situ sejak 13 tahun lepas.

Katanya sebelum ini berlaku gegaran kecil pada bukit itu tetapi disangka berlaku kejadian lebih buruk seperti hari ini.

Jenazah Shaiful Khas dituntut oleh keluarganya kira-kira jam 4 petang ini untuk dikebumikan di tanah perkuburan Masjid
Al-Ridzuan, Hulu Kelang selepas Asar.

Cuba selamat anak

Yogeswari, 40, pula turut maut semasa cuba menyelamatkan anaknya Thidesh, 10, dalam suasana gelap di rumah mereka akibat terputus bekalan elektrik.

Bagaimanapun suami mangsa, yang hanya dikenali sebagai Thanarajah, 40, berjaya menyelamatkan anaknya itu tetapi gagal menyelamatkan Yogeswari.

bukit titiwangsa jenazahThanarajah, seorang jurutera berkata dalam keadaan panik itu, beliau turut sempat menyelamatkan dua lagi anaknya, Avinesh, 11, dan Priyanka, 3.

"Saya masuk semula ke dalam rumah untuk selamatkan anak saya yang berusia 10 tahun (Thidesh), dan bila saya masuk kali ketiga untuk menyelamatkan isteri saya, saya terperangkap di dalam rumah," katanya kepada pemberita dalam keadaan sedih di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kesemua anaknya cuma cedera ringan dan kini dirawat di HKL, katanya.

Thanarajah berkata ketika kejadian, rumahnya yang agak hampir dengan kaki bukit bergegar sebelum lantai rumah mereka mengelongsor.

"Waktu itu saya tengah tidur, kemudian terdengar bunyi dentuman kuat berhampiran bukit. Saya selamatkan anak-anak, namun ketika saya hendak menyelamatkan isteri saya, saya terperangkap di dalam rumah dan kemudian diselamatkan oleh bomba," katanya yang cedera di tangan.

Mayat mendiang Yogeswari, dituntut keluarganya pada jam 3.30 petang ini untuk dibawa ke rumah adik uaminya di Kelab Ukay.

Menurut keluarganya yang tidak mahu dinamakan, mayat mendiang akan dibakar esok di Pusat Pembakaran Mayat Cheras.

MayatYee Peng, yang baru melahirkan anak dua bulan lalu, dituntut oleh keluarganya untuk dibakar pada hari Isnin ini.


3,000 penduduk kosongkan rumah

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Kira-kira 3,000 penduduk beberapa kawasan perumahan yang berisiko tanah runtuh sekitar Bukit Antarabangsa dekat sini sudah mengosongkan kediaman masing-masing.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, segelintir mereka yang sebelum itu enggan berpindah juga telah berbuat demikian.

“Kalau semalam ada yang enggan berganjak walaupun diarah berpindah, mereka akhirnya akur dan mengikut penduduk lain berpindah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Khalid memberitahu, walaupun kediaman dikosongkan, masih ada pergerakan keluar masuk penduduk dalam kumpulan kecil untuk mengambil barangan penting masing-masing.

Katanya, anggota polis akan mengiringi pemilik rumah yang ingin mengambil barangan dari rumah mereka.

“Polis mengiringi penduduk kerana ingin memastikan keselamatan mereka. Kita perlu tahu siapa dan ke mana mereka pergi,” ujarnya.

Semalam, kira-kira 3,000 penduduk kawasan perumahan berhampiran tempat kejadian diarahkan berpindah apabila kajian Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) mendapati boleh berlaku runtuhan susulan.

Ini kerana beberapa kediaman di Kondominium Impian Selatan dikesan mengalami keretakan yang bukan sahaja tidak selamat diduduki tetapi boleh runtuh pada bila-bila masa.

Antara kawasan berisiko yang dikenal pasti ialah Kondominium Impian Selatan di Jalan Bukit Mewah 1 serta penduduk di Jalan Bukit Jaya 6A di Taman Bukit Jaya, Jalan Wangsa 9 dan 11 di Taman Wangsa Ukay.

Bukit Antarabangsa: Operasi masih diteruskan
Mohd Khalil Abdullah Foto Wan Zahari Wan Salleh
Tue Dec 09, 08 9:42:18 am MYT

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Hrkh) - Ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha, aktiviti di kawasan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa masih kelihatan berjalan dengan rancak.

Operasi mencari dan menyelamat yang disambung semula dari pukul 9.30 malam semalam masih berlarutan sehingga kini walaupun hujan turun sepanjang hari, dengan tumpuan diberikan kepada usaha mengesan seorang mangsa warga Sri Lanka yang dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan banglo yang tertimbus dalam kejadian itu.

"Bilangan anggota pasukan operasi tidak kurang dan masih kekal walaupun hari ini hari raya," kata Ketua Polis Selangor Dato' Khalid Abu Bakar ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut laporan agensi berita, kira-kira 500 anggota pasukan keselamatan dari pasukan polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada di kawasan kejadian bagi membantu usaha-usaha mencari, menyelamat serta membersihkan runtuhan.

ImageNamun sehingga kini usaha mencari warga Sri Lanka itu masih belum membuahkan sebarang hasil, dan bilangan yang maut dalam tragedi itu masih kekal empat orang setakat ini.

"Kami masih belum jumpa apa-apa dari alat pengesan yang digunakan tetapi pasukan penyelamat akan terus mencari," kata Khalid.

Mereka yang terkorban dalam insiden tanah runtuh yang menimbuskan 14 banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama awal Sabtu lepas ialah Dr Yogeswari, 40, akauntan Eng Yee Peng, 30, Shaiful Khas Dato' Shahrudin, 20 dan warga Indonesia Surinah, 30an.

Sementara itu dalam usaha memindahkan penduduk di kawasan perumahan berhampiran dengan kawasan tanah runtuh, satu lagi laluan denai baru mula dibuka mulai 7.30 malam semalam.

Khalid berkata laluan sejauh 250 meter itu boleh dilalui kenderaan penduduk untuk berpindah dari kawasan kediaman terbabit, seperti Kyoto Garden, dan ia akan dibuka 24 jam.

Kejadian tanah runtuh itu mengakibatkan laluan utama ke beberapa kawasan perumahan di kawasan Bukit Antarabangsa terputus dan beribu-ribu penduduk terperangkap.

Tenaga Nasional Bhd pula berjaya memulihkan bekalan elektrik kepada kira-kira 1,500 rumah yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh itu, petang semalam.

Antara kawasan yang sudah menerima kembali bekalan elektrik itu ialah Taman Puncak Bukit Utama, Taman Bukit Jaya, Kondo Casa Desol, Jalan Bukit Utama, Southern Heights, Kyoto Garden, Kyoto Garden club, Taman Bukit Utama dan kondominium Oakleaf.

Walaupun berdepan dengan bencana serta keadaan cuaca hujan, penduduk Islam di sekitar tempat kejadian beramai-ramai menunaikan solat sunat Aidiladha di surau Addinniah yang terletak 500 meter dari tempat kejadian itu, sementara mereka yang terperangkap menunaikannya di Masjid Al-Hidayah. - mks._

Penduduk sambut Aidiladha secara ala kadar

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Penduduk yang tinggal di sekitar kawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa menyambut Hari Raya Aidiladha secara ala kadar tanpa kemeriahan sebagaimana lazimnya pada tahun-tahun sebelum ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di sini hari ini mendapati, rata-rata mereka yang ditemui melahirkan rasa sayu dan hampa kerana tidak dapat menyambut hari raya dalam suasana selesa berikutan bencana yang menimpa.

Seorang suri rumah, Azura Zakaria, 39, berkata, meskipun dia dan keluarganya menyambut raya di rumah ibunya di Cheras Jaya, namun hatinya tidak tenang apabila sering memikirkan keadaan rumah yang terpaksa ditinggalkan sejak hari pertama kejadian berlaku.

‘‘Sambutan ala kadar sahaja, tiada yang istimewa, cuma ibu saya ada membuat hidangan rendang dan nasi beriani sempena hari raya.

‘‘Cuma saya terkilan kerana tidak dapat berhari raya di rumah yang telah kami duduki hampir empat tahun di kondominium berdekatan lokasi kejadian sebab khuatir kejadian itu akan merebak ke kondominium kami,” katanya.

Kelmarin, polis mengarahkan penduduk lima kawasan kediaman di sekitar lokasi tragedi tanah runtuh yang meragut empat nyawa di Taman Bukit Mewah supaya mengosongkan kediaman mereka serta merta kerana dikhuatiri kawasan sekitar tanah runtuh itu berbahaya.

Arahan yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Tempat Kejadian Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu membabitkan seluruh Taman Bukit Mewah seperti Kondominium Impian Selatan, rumah berkembar di Jalan 6 A, Taman Bukit Jaya serta rumah teres dua tingkat di Jalan 9 dan Jalan 11 Taman Wangsa Ukay.

Bagi seorang ahli perniagaan, Nor Akma Mohd. Desa, 46, pula berkata, kejadian dahsyat yang menimpa keluarga serta jiran-jirannya yang lain telah menyebabkan seluruh kehidupan beliau dan 10 ahli keluarganya yang mendiami rumah mewah di kawasan tersebut berubah dalam masa sekelip mata.

‘‘Kami kini menumpang di rumah arwah ibu mertua saya di Kampung Pandan, namun tahun ini, kami menyambut hari raya dalam keadaan berduka.

‘‘Hati siapa yang tidak sayu, hendak pakai baju raya jauh sama sekali, baju yang dipakai pun hasil sumbangan ihsan orang ramai dan paling sedih, saya hendak menunaikan solat sunat hari raya pun tiada telekung, namun kami reda, mungkin ada hikmah di sebaliknya,” katanya

Sementara itu, seorang Jurutera, Ahmad Zulhilmi Hashim, 37, berkata, sungguhpun Hari Raya Aidiladha lazimnya disambut secara sederhana berbanding Aidilfitri, tetapi beliau dan isteri berasa hampa kerana tidak dapat mengadakan jamuan makan di rumahnya selepas terpaksa akur dengan arahan perpindahan oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, sebulan sebelum kejadian, isterinya telah merancang untuk memasak hidangan istimewa rendang dan nasi tomato sempena menyambut hari raya untuk dijamu kepada rakan-rakan dan kenalan yang dijemput.

Bagaimanapun, menurutnya, semua perancangan itu terpaksa dilupakan memandangkan keadaan tidak mengizinkan keluarganya untuk tinggal di banglo yang telah diduduki selama enam tahun buat sementara waktu sehinggalah keadaan disahkan sepenuhnya selamat.

Dalam pada itu, Rosli Abdul Hamid, 39, pula memberitahu, beliau dan abangnya yang tinggal di kondominium berdekatan sempat berhari raya di kampung mereka di Negeri Sembilan sebelum kembali semula ke rumah di Bukit Antarabangsa untuk mengambil barang-barang penting sebelum berpindah sementara waktu di rumah rakan mereka.

Katanya, dia bernasib baik kerana rumah yang diduduki tidak terjejas akibat kejadian, tetapi tetap melahirkan kebimbangan jika perkara yang sama merebak ke kawasan sekitar yang lain.

Kerajaan Selangor anjur forum terbuka untuk penduduk Bukit Antarabangsa
Muhammad Arif Ismail Thu Dec 11, 08 11:43:26 am MYT
SHAH ALAM, 11 Dis (Hrkh) - Kerajaan Negeri Selangor telah memutuskan untuk mengadakan satu forum terbuka bagi penduduk Bukit Antarabangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh awal pagi Sabtu lalu.

"Forum ini akan diadakan pada awal bulan Januari atau selepas 17 Januari ini," kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, semalam.
"Forum ini akan melibatkan penduduk di kawasan perumahan, para profesional dalam pembinaan dan pembangunan cerun bukit, NGO dan badan kerajaan yang terlibat.
"Antara perkara yang akan dibincangkan ialah bagaimana cara untuk mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh.
"Oleh itu, mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini telah menjemput seorang jurutera profesional untuk memberi khidmat nasihat dalam pengurusan dan pembangunan cerun bukit," kata Abdul Khalid.
Dalam pada itu, beliau juga ditanya adakah kerajaan negeri sekarang tidak boleh membatalkan sebarang projek cerun yang telah dibuat oleh kerajaan terdahulu.
"Kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan projek pembangunan di cerun-cerun bukit, cuma kerajaan negeri hanya mampu untuk memantau dengan teliti sesuatu projek pembangunan di cerun supaya tidak timbul sebarang masalah" jawab beliau. _


Muslimat PAS santuni mangsa tanah runtuh
Anis Nazri Thu Dec 11, 08 7:39:35 am MYT
BUKIT ANTARABANGSA, 11 Dis (Hrkh) - Dalam usaha membantu mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh, khususnya mereka yang terperangkap, Muslimat PAS Pusat turut serta menyantuni dan menunjukkan sikap prihatin mereka.

Ketua Penerangan Muslimat PAS, Athirah Aiman serta beberapa serikandi muda turun ke lokasi kejadian, turut serta bersama AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali, menunjukkan rasa prihatin mereka terhadap penduduk yang terperangkap.
Menurut Athirah,terdapat beberapa bantuan yang disalurkan pihak mereka, khususnya kepada penduduk yang terperangkap di Kondo Atheneum.
"Kami membantu urusan kelancaran lalu lintas, menyelaraskan bantuan makanan dan minuman daripada Ahli Parlimen Ampang,kemudiannya diagihkan kepada penghuni yang masih terperangkap," kata beliau yang jelas bersimpati kepada mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh tersebut.
Selain itu, kata Athirah pihak muslimat turut membantu mengangkut para penduduk dan barangan mereka menggunakan kenderaan shuttle MP Ampang dan Titiwangsa.
Menyedari suasana muram yang dihadapi para mangsa, Athirah berkata pihaknya turut menawarkan segala bantuan dan khidmat yang diperlukan, termasuklah proses melegakan emosi para penduduk secara 'direct counseling' kepada penduduk yang lalu lalang untuk mengambil barangan mereka.
Kata Athirah, kejadian ini turut memberi kesan yang besar kepadanya hingga menyebabkan beliau tidak dapat memejamkan mata setelah meninjau sendiri keadaan di tempat kejadian, semalam.
"Perasaan melihat warga sendiri menghadapi bencana tidak sama dengan melihat warga lain yang menghadapi masalah. Saya pernah terlibat dalam kerja-kerja di luar negara, namun perasaan tersebut tidak sama," luah beliau.
Justeru, kata beliau pihaknya akan sentiasa bersiap sedia membantu mana-mana pihak yang memerlukan pertolongan, khususnya membabitkan penduduk Bukit Antarabangsa ini._


Pembangkang kecewa isu tanah runtuh dibahas terlalu singkat
Nyza Ayob Thu Dec 11, 08 2:21:40 pm MYT
KUALA LUMPUR, 11 Dis (Hrkh) - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Seri Ong Ka Chuan tidak menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen dalam perbahasan usul berkaitan tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa, di Dewan Rakyat semalam.

Pertanyaan yang dikemukakan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (KeADILan-Bandar Tun Razak) dan Azmin Ali (KeADILan-Gombak) sama ada betul atau tidak kerajaan mempunyai peta risiko mengenai tanah, tidak dijawab oleh menteri terbabit.
"Jawab betul atau tidak kerajaan pusat ada peta risiko, jika benar ada, bolehkah ia diterangkan dan diketahui umum," tegas Azmin.
Pertanyaan Azmin itu tidak dijawab oleh Ka Chuan sebaliknya meneruskan penggulungannya dengan menyatakan sebagai langkah untuk mencegah keruntuhan cerun, kerajaan telah menubuhkan Jabatan Kejuruteraan Cerun di Kementerian Kerja Raya pada 2004.
Terdahulu, Azmin bangkit menyatakan ketidak puasan hati dengan jawapan yang diberikan Ka Chuan bahawa tidak terdapat lagi pembangunan di kawasan berhampiran dengan tanah runtuh terbabit.
"Jawapan yang diberikan oleh menteri tidak tepat dengan mengatakan tidak ada lagi pembangunan di kawasan sekitar. Saya tinggal di kawasan berhampiran dan diamanahkan untuk mewakili kawasan tersebut. Sekarang ini ada projek yang rancak dijalankan di kawasan yang betul-betul di tempat permulaan berlaku tanah runtuh.
"Saya tidak pasti Yang Berhormat Menteri pergi melakukan lawatan dan mendapat taklimat daripada siapa. Projek itu masih berjalan dan diluluskan dalam pentadbiran yang lalu. Saya tidak mahu menuding jari, tetapi kenapa tidak ada satu ketegasan dalam memastikan suatu akta atau panduan dipatuhi," tegas Azmin.
Ka Chuan sewaktu menjawab persoalan tersebut menyatakan beliau diberi maklumat oleh pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenai perkara tersebut. Bagaimanapun katanya beliau akan menyerahkan maklumat tersebut kepada Jawatankuasa Kumpulan Tanah Runtuh di Bukit Antarabangsa untuk membuat siasatan lanjut.
Jelasnya lagi, punca kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa akan diketahui dalam masa tiga bulan. Katanya, satu Jawatankuasa Kumpulan Tanah Runtuh di Bukit Antarabangsa terdiri daripada 10 panel termasuk kementeriannya, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Parit dan Saliran, Pusat Remote Sensing Negara, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Metereologi, Institut Kerja Raya Malaysia dan pakar-pakar geologi dari swasta dan universiti telah digerakkan untuk menyiasat punca berlaku tanah runtuh tersebut.
"Kerajaan masih menyiasat punca dan sebab berlakunya kejadian tanah runtuh tersebut. Keutamaan buat masa ini adalah untuk menyelamat nyawa, memindahkan penduduk yang terlibat serta kaji cara untuk menstabil persekitaran tersebut," kata beliau ketika menggulung perbahasan usul tersebut.
Sementara itu, Dr Lo'lo' Mohamad Ghazali (PAS-Titiwangsa) turut membangkitkan apakah hasil kajian di sebalik peristiwa Highlands Tower 15 tahun yang lalu dan manfaat di sebalik hasil kejadian tersebut.
Pertanyaan tersebut juga tidak dijawab oleh Ka Chuan sebaliknya secara sinis menyatakan "dari runtuhan Bukit Antarabangsa hingga ke Highlands Tower..."
Dalam pada itu, Dr Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) dan Dato' Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang turut menyertai perbahasan usul itu, mencadangkan agar kerajaan segera menubuhkan satu jawatankuasa bebas serta memberi pampasan kepada mangsa yang terlibat termasuk penduduk di kawasan berhampiran yang terpaksa berpindah serta mendapatkan penempatan baru.
Sementara itu, beberapa Ahli Parlimen melahirkan tidak puas hati kerana masa yang diperuntukkan untuk perbahasan tersebut terlalu singkat yang hanya memperuntukkan 45 minit bagi perbahasan yang disertai lapan orang Ahli Parlimen dan 15 minit penggulungan menteri.
Sewaktu Ka Chuan membuat ucapan balas kepada usul tersebut, Azmin meminta perbahasan itu dilanjutkan memandangkan ia begitu penting. Namun, permintaan itu ditolak oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Ronald Kiandee.
Mengulas isu berkaitan, Azmin dalam sidang media selepas perbahasan tersebut melahirkan kekecewaan kerana kementerian-kementerian yang terlibat dengan usul berkaitan tragedi tanah runtuh itu tidak diberi peluang secukupnya untuk memperincikan isu berkenaan.
"Saya berpuas hati dalam konteks Tan Sri Speaker yang tegas membenarkan usul ini dibahaskan tetapi mekanisme perbahasan itu perlu diteliti. Semua kementerian yang terlibat tidak diberikan peluang untuk diberikan maklumat terperinci kepada Dewan Rakyat maka kita tidak dapat gambaran jelas apa yang berlaku," katanya.
Jelasnya, banyak isu yang dibangkitkan dalam konteks perbincangan usul tersebut. Beliau berpandangan semua Ahli Parlimen bermuafakat dalam memastikan tragedi seperti itu tidak berulang.
"Kementerian Kerja Raya tidak datang, Kementerian Alam Sekitar tidak diberikan peluang. Jadi akhirnya usul itu yang penting itu tetapi tidak dibahaskan secara terperinci. Ia agak mendukacitakan," katanya.
Usul membincangkan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa telah difailkan oleh Azmin di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) pada pukul 7.32 pagi Isnin lalu.
Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menerima usul tersebut untuk dibahaskan semalam dalam masa sejam bermula pukul 4.30 petang kerana memenuhi memenuhi syarat di bawah Peraturan Mesyuarat tersebut iaitu tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan. - mns_