foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

Tuesday, March 9, 2010

JEMPUTAN TAKLIMAT KEDUA MAPIM..

IKRAR: (Ikatan Kebajikan Rakyat). Badan bebas dan non partisan. Fokus kepada nasib dan kebajikan rakyat.

MAPIM (MAJLIS PERUNDINGAN PERTUBUHAN-PERTUBUHAN ISLAM MALAYSIA)
Sekretariat MAPIM, Alamat: 24-3-2, Tingkat 3, Jln 4/50, Diamond Square Off Jln. Gombak, 53000, KL.
hp/sms: 0194747141 / 0123333825
blog:e-relawanmuslim.blogspot.com.
www.e-s2u.com



Kepada Yang berbahagia,

Yang Dipertua/ Presiden/Pengerusi
Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia

9 hb Mac 2010

Per; Taklimat
“Life Line for GAZA end the Siege” atau "Talian Hayat Untuk GAZA" .

Merujuk perkara di atas, saya bagi pihak MAPIM ingin menjemput tuan/sdr/sdri/datuk/tan sri untuk hadir ke majlis taklimat tersebut seperti di bawah:

Tarikh: 14hb Mac 2010

Jam: 10 pg - 12 tghri.

Tempat: Sekretariat MAPIM, Alamat: 24-3-2, Tingkat 3, Jln 4/50, Diamond Square Off Jln. Gombak, 53000, KL.

Agenda: Ta'ruf ringkas dengan semua NGO atau wakil NGO yang hadir.
Struktur sekretariat dan pembahagian tugas.
Review status projek dan fokus projek.
Menyediakan kenyataan media hasil dari pertemuan ini.
(Serahkan kenyataan media kepada wakil media yang hadir).

Kami amat berharap agar pihak tuan dapat memaklumkan nama dan bilangan yang dapat hadir ke majlis ini selewat-lewatnya pada 13 hb Mac (petang Sabtu) ke pihak kami.

Pertimbangan dan tindakan dari pihak tuan kami dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Yang berkhidmat,

Hj. Azmi Abd Hamid
Setiausaha Agung MAPIM

sk:

Ust. Zulkifly Ibrahim
Pengerusi MAPIM

TEMBELANG ZULKIFLI NORDIN MULA PECAH...

IKRAR: (Ikatan Kebajikan Rakyat). Badan bebas dan non partisan. Fokus kepada nasib dan kebajikan rakyat.

9 mac

Beberapa kali saya cuba menulis soal siapa Zul terpaksa dihentikan kerana ada perasaan bercampur. Kesian dengan keluarganya dan meluat dengan sikapnya sejak tahun 1998. Saya bukan anti Zul tapi ramai di kalangan reformis di Kg Baru khasnya yang selalu bermesyuarat di pejabat peguam Yusuf Abd Rahman merasa kurang selesa setiap kali dia muncul tiba-tiba. Modalnya ialah salam dari DSAI...salam tu bagus..tapi benar tidaknya tak tahulah..tapi kami meraguinya sejak dari masa itu...

Tapi setelah Zulkifli Sulong ungkapkan di Harakah daily maka itulah Zul...
Zul Nordin yang saya kenal| Print | E-mail
Zulkifli Sulong


Saya mula mengenali Zulkifli Nordin sejak isu Aishah Bukhari, gadis Melayu dari Johor yang keluar Islam dan menyertai Kristian kerana mengikut kekasihnya. Ketika itu Zulkifli Nordin adalah Setiausaha Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Kerana kedudukannya di situ, Masjid Jamek menjadi pusat kegiatan menangani isu murtad itu. Sejak itulah, saya mula kagum dengan keberanian Zul.

Namun, hari demi hari, sebagai wartawan keyakinan dan kekaguman saya kepada beliau mula terhakis. Ia bermula sejak dia mengendalikan isu Aishah Bukhari lagi. Kenyataan, bahasa yang digunakan, fakta yang diberikan sangat hebat. Namun, di dalam hati kecil saya mula tertanya-tanya...betulkah segala kenyataan ini.

Yang paling ketara, kenapa beliau begitu berani membuat kenyataan yang bersifat hasutan tetapi beliau tidak pernah dilaporkan dipanggil atau disiasat oleh polis. Padahal apa yang beliau nyatakan dalam ucapan dan kenyataannya amat sensitif kepada hubungan kaum di negara ini ketika itu.

Sebagai wartawan yang sudah acap kali disiasat polis kerana laporan hasutan dan fitnah, saya rasa faham benar apakah dia hasutan dan fitnah ini.

Namun saya sejukkan hati...mungkin dia lebih tahu dan apa yang dinyatakan itu tidak bertentangan dengan undang-undang kerana dia peguam.

Kes Arsenik Anwar

Lepas isu Aishah Bukhari, datang isu Anwar Ibrahim. Zul telah dilantik sebagai salah seorang peguam Anwar. Ekoran itu, keraguan saya terhadap Zul terlerai begitu sahaja. Tentu Anwar dan pasukannya lebih kenal Zul dari saya yang hanya seorang wartawan cabok. Tentu beliau betul. Itulah yang bermain di kepala saya ketika itu.

Namun, hari demi hari kes Anwar berjalan...keraguan terhadap Zul datang kembali. Ceramah yang beliau berikan sangat ramai pendengar dan penontonnya. Namun, kenyataan-kenyataan yang beliau buat dalam ceramahnya mula meragukan saya.

Misalnya, apabila beliau bercakap soal Anwar terkena Arsenik. Saya masih ingat lagi kata-kata Zul dalam ceramahnya. Kalau tidak silap di sekitar Kampung Baru pada tahun 1998.

"Tuan-tuan, semalam saya ke Sungai Buluh bertemu dengan Datuk Seri Anwar. Bagi saya Anwar sah terkena racun Arsenik. Apabila saya pegang kepala Datuk Seri Anwar, penuh tangan saya dengan rambut beliau tuan-tuan. Rambut beliau mula gugur. Saya yakin lepas ini semua rambut Anwar akan gugur...." Begitulah lebih kurang kata-kata Zul Nordin dalam ceramahnya itu.

Pendengar sangat hiba dengan Anwar. Terkena Arsenik.

Namun, sebagai wartawan lain pula yang saya rasa. Betul ke ni...bagaimana dia boleh pegang kepala Anwar?, hati saya terdetik. Lalu sebagai pengarang, saya arahkan wartawan, jangan tulis berita itu. Tidak masuk akal.

Kesangsian kepada Zul semakin bertambah dengan cerita-cerita dari kartunis Zunar yang kebetulan ketika itu sentiasa mendapat surat-surat dari Anwar dari dalam penjara. Ketika itu, Harakah siarkan surat-surat Anwar dari penjara dalam kolum "Warkah Dari Penjara". Ia berupa surat-surat yang ditulis Anwar sendiri di atas pelbagai jenis kertas termasuk di atas kertas tisu dari dalam penjara dan diseludupkan keluar kepada kami di Harakah.

Zunar juga mendapat maklumat yang sama...Zul Nordin 'melampau' atau exegerate dalam ucapan dan tindakannya.

Ekoran itu, kami sepakat, berita berasaskan kenyataan dan tulisan Zul Nordin tidak boleh disiarkan dalam Harakah kerana kebolehpercayaannya amat rendah.

Dengan MB Terengganu

Selepas pilihan raya 1999, PAS telah menang di Terengganu. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah dilantik sebagai Menteri Besar. Pada satu hari, beberapa peguam telah diamanahkan untuk membuat satu perbentangan kepada beliau di pejabatnya dekat Kuala Terengganu. Salah seorang dari mereka adalah Zulkifli Nordin.

Untuk membuat perbentangan itu, mereka telah berbincang sehari suntuk di Kuala Lumpur sebelum membuat perbentangan pada keesokan harinya. Maknanya, kesemua mereka sentiasa bersama untuk membuat persiapan itu. Mereka berlepas ke Kuala Terengganu pada pagi esoknya dan terus ke pejabat MB Terengganu.

Di pejabat MB, apabila bersalam dengan Abdul Hadi, Zul Nordin berkata, "Tuan Guru, Datuk Seri Anwar kirim salam. Semalam saya jumpa beliau," kata Zul Nordin kepada MB Terengganu itu.

Tercengang-cengang semua rakan-rakan peguamnya apabila Zul berkata demikian kepada MB Terengganu itu. Bila pula 'mamat' ni jumpa Anwar. Semalam sehari suntuk mereka bersama.


Berpaling arah

Bilakah Zulkifli Nordin mula berpaling arah. Dalam hal ini saya bersetuju degan rakan penulis saya Mohd Sayuti Omar. Menurut Sayuti, Zul Nordin mula meninggalkan PKR sejak tahun 2009 lagi apabila Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzil menarik balik petition pilihan rayanya terhadap Zul.

Ketika itu, Zul telah dipetition kerana gagal membuat laporan kewangan perbelanjaan beliau dalam pilihan raya umum 2004. Ia menjadi syarat wajib bagi SPR. Mana-mana pihak yang tidak membuat laporan kewangan pilihan raya sebelumnya tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya berikutnya. Ekoran kegagalan itu, calon BN telah membuat petition. Zul juga mempunyai masalah besar kerana dia juga didakwa cuba membuat laporan palsu dalam kes ini.

Menjelang mahkamah membuat keputusan, tiba-tiba calon BN itu telah menarik balik petitionnya. Ekoran itu selamatlah Zul dan kekallah beliau sebagai anggota Parlimen.

Walaupun masih anggota Parlimen PKR, namun tindak tanduk Zul bukan lagi anggota Parlimen PKR. Banyak kenyataan dan tindakan beliau sudah selari dengan Umno dan bukan Pakatan Rakyat lagi. Secara tidak rasmi, dia bagi saya sudah menjadi anggota Parlimen Umno. Apatah lagi, berita angin melaporkan beliau telah bertemu dengan Datuk Seri Najib sebelum itu. Saya tidak berani untuk berkata, adakah beliau bertemu dengan Rosmah atau tidak.

Kemuncak tindakan Zul Nordin adalah selari dengan Umno dalam isu nama Allah. Ketika PAS, sebagai sebuah parti Islam yang dipimpin oleh ulama berkata orang bukan Islam boleh menggunakan nama Allah kerana sememangnya nama Allah sudah digunakan oleh Kristian khasnya di Timur Tengah, Zul mengambil sikap selari dengan Umno. Sikap ini bertentangan dengan sikap PKR dan PAS sendiri.

Ia tidak menjadi masalah lagi kerana di dalam PAS juga mempunyai pendapat yang berbeza sebelum kata sepakat dicapai. Tetapi, apabila Zul membuat laporan polis terhadap anggota Parlimen PAS dari Shah Alam, Khalid Samad ekoran isu nama Allah ini, dia sudah melampaui batas. Semua pihak mengatakan Zul Nordin sudah melampau.

Saya menyokong penuh kenyataan Datuk Zaid Ibrahim yang berkata, "Saya berdoa agar Zul keluar PKR atau dipecat oleh PKR."

Dan kini PKR sudah memecat Zulkifli Nordin. Sebagaimana dijangka, beliau diangkat menjadi hero oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia dan diberikan laporan muka depan akhbar itu.

Saya selalu berkata kepada pemimpin PAS, "kalau kenyataan tuan disiarkan oleh Utusan, apatah lagi di muka depannya, percayalah itu bukan publisiti yang tuan perlukan. Itu sebenarnya publisiti buruk dan percayalah ia akan menyusahkan tuan dan PAS."

Petugas PR kecewa sikap Zulkifli Noordin
Mohd Sabri Said

KULIM-BANDAR BAHARU, 11 Mac: Rata-rata mereka yang pernah bertungkus lumus bekerja memenangkan Zulkifli Noordin pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, kecewa dengan sikap Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu, yang sering dilihat menentang pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat.

Seorang petugas, Mohd Halizal Alias iaitu bekas Setiausaha PAS Kawasan Kulim Bandar Baharu mendedahkan, Zulkifli sewaktu menjadi calon atas tiket PKR semasa PRU-12 lalu hanya datang sehelai sepinggang.

Zulkifli, tegasnya perlu mengingat kembali, siapa yang telah bertungkus lumus memenangkan beliau pada pilihan raya itu.

"Beberapa orang termasuk saya adalah orang yang bertanggungjawab berkempen untuknya.

"Kami melakukan apa sahaja demi rakyat yang bersepakat menolak BN, " katanya dengan nada kecewa.

Kekecewaan terhadap Zulkifli, jelasnya bukan baru kerana ahli parlimen itu juga tidak memberi kerjasama sewajarnya dalam usaha menangani masalah di kawasan beliau.

"Zulkifli tidak pernah turun bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kulim, Lim Soon Nee dan Bandar Baru, Ustaz Yaacob Husein ke Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah di Pejabat Daerah Kulim (MDK)," katanya lagi.

Selain itu, Zulkifli juga didakwa jarang dilihat melakukan tinjauan ke kawasan apatah lagi bersama orang kampung dalam aktiviti kemasyarakatan yang diadakan.

"Jika turun pun beliau sering melakukanya secara persendirian atau senyap tanpa melibatkan kepimpinan PAS atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringkat cabang dan ranting," tambahnya lagi.

Malah jelas Halizal, pejabat ahli parlimen itu di Taman Kota Kenari, Kulim pun telah lama ditutup kerana kerani atau pembantu yang ditugaskan dikatakan tidak dibayar elaun.

Zulkifli juga, katanya pernah berjanji untuk berkhidmat sebaik mungkin sebagai Ahli Parlimen semasa berucap di majlis meraikan kemenangan PR di Dewan Datuk Fadzil Noor, Serdang dahulu.

"Beliau kena ingat kemenangan yang dikecapi atas tiket PKR pada pilihan raya ke 12 lalu merupakan amanah dari Allah SWT bagi mengajar BN yang angkuh dan zalim, bukan untuk bersuka ria atau melanggari amanah dengan bertindak memporak perandakan parti yang memberinya peluang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, " ujarnya.

Pada PRU ke-12 lalu, Zulkifli menang dengan majoriti 5,583 undi.

Beliau mendapatkan 22,255 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang memperolehi 16,672 undi.

Kemenangannya kemudian dipertikaikan calon Umno/BN, Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang mengemukakan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi Alor Star.

Namun pada 13 Oktober 2008, Abdul Aziz secara mengejut telah menarik balik petisyen pilihan raya kawasan itu walaupun keputusannya dijangka akan memihak kepadanya.

Ekoran itu, timbul spekulasi Zulkifli akan menyertai Umno pada waktu itu.