foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

Saturday, September 20, 2008

AGUNG MOHON BERTINDAK SELAMATKAN RAKYAT!!!!

HR9808@IKRAR - adalah wadah bebas bukan partisan yang memfokus kepada kebajikan rakyat.Singkatan;
IKRAR (Ikatan Kebajikan Rakyat)

20/21 Sept

Mendengar berita dari media BN memang sakit hati terutama berkaitan dengan perlihan kuasa kuasa BN ke PR. Hampir sama sahaja kenyataan mereka dan memang dalam keadaan tertekan. Pandangan Dr. Abdul Aziz Bari patut diperhatikan oleh pihak Agung dan Majlis Raja-raja Melayu
.....
Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak - Aziz Bari
Profesor Dr. Abdul Aziz Bari
Sun | Sep 21, 08 | 11:16:57 am MYT

Cara Dato' Seri Abdullah Badawi menjawab soalan-soalan pemberita mengenai Dato' Seri Anwar Ibrahim sejak kebelakangan ini menunjukan bahawa beliau memandang serius cabaran Ketua Pembangkang itu.


Sebelum ini Abdullah biasanya berkata bahawa Anwar hanya bergimik apabila mendakwa bahawa beliau mempunyai cukup bilangan ahli parlimen yang akan melompat ke Pakatan Rakyat, lantas membolehkan kerajaan baru dibentuk.

Tetapi mutakhir ini Abdullah telah bertukar nada. Anwar telah dituduh sebagai pengancam keselematan dan ekonomi negara. Tuduhan ini membayangkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mungkin akan digunapakai.

Jelas sekali kerajaan kini merasa tergugat. Selain cabaran daripada Anwar, parti pemerintah juga digugat oleh perebutan kuasa dalaman. Jika kita lihat reaksi beberapa menteri terhadap penggunaan ISA baru-baru ini, tidak mustahil jika kita katakan bahawa Abdullah tidak lagi dapat mengawal sepenuhnya kabinet beliau.

Negara kita boleh dianggap sebagai menghampiri situasi krisis. Dalam waktu sebegini, kita memerlukan sesuatu yang mungkin kelihatan sedikit 'di luar perlembagaan' (extra-constitutional) untuk menangani keadaan.

Cara-cara biasa mungkin tidak berkesan, terutama kerana kerajaan seolah-olah telah panik dan kelihatan tidak lagi berkebolehan untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dan mengendalikan tugas-tugas biasa dalam pentadbiran.

Negara kita berbeza dengan Thailand dan Indonesia kerana kita tidak mempunyai Mahkamah Perlembagaan untuk dirujuk. Biasanya kita merujuk kepada Mahkamah Persekutuan tetapi sepanjang 51 tahun lepas Mahkamah Persekutuan tidak pernah membicarakan perlanggaran perlembagaan.

Dan, berbeza dengan Mahkamah Agong Amerika Syarikat yang telah beberapa kali membicarakan kontroversi-kontroversi berkaitan perlembagaan, Mahkamah Persekutuan kita tidak langsung dirujuk semasa krisis perlembagaan pada tahun 1983, 1988 dan 1993. Mungkin ini merupakan tempias daripada kurangnya keyakinan rakyat terhadap kredibiliti dan kebolehan hakim-hakim kita.

Maka kita tinggal dengan satu sahaja pilihan iaitu Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong sebenarnya mempunyai beberapa peranan dan kuasa khusus yang boleh digunapakai dalam situasi sekarang. Baginda boleh mendapatkan bantuan daripada Majlis Raja-Raja yang diberi kuasa oleh perlembagaan untuk membincangkan apa sahaja perkara yang dirasakan perlu.

Masalah yang sedang kita alami sekarang berkisar di sekeliling isu perlantikan kerajaan, yang dalam bahasa perlembagaan sebenarnya ialah isu perlantikan perdana menteri. Perlembagaan memberikan tanggungjawab ini kepada Yang di-Pertuan Agong berdasarkan budi bicara Baginda.

Dalam situasi yang terang, contohnya jika terdapat majoriti di parlimen dan ketua yang jelas, maka Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan selain daripada melantik ketua tersebut sebagai perdana menteri dan seterusnya menerima nasihat perdana menteri dalam urusan pembentukan kabinet.

Ini boleh berlaku selepas pilihan raya umum, kematian perdana menteri semasa masih memegang jawatan, ataupun setelah berlaku perletakan jawatan perdana menteri.

Peletakan jawatan boleh berlaku dengan beberapa bentuk. Contohnya peletakan jawatan biasa seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003.

Dalam konteks negeri dan peranan sultan negeri tersebut pula, kita boleh melihat contoh yang berlaku setelah Dewan Undangan Negeri tidak lagi menyokong Menteri Besar mereka seperti yang dialami oleh Menteri Besar Selangor Harun Idris pada tahun 1976 dan Menteri Besar Kelantan Mohamed Nasir pada tahun 1977.

Tetapi perlembagaan negara kita tidak mempunyai klausa yang jelas dalam isu peletakan jawatan. Satu-satunya peruntukan yang menyentuh isu peletakan jawatan ialah Artikel 43(4) yang menyebut bahawa mana-mana perdana menteri yang kehilangan sokongan dewan rakyat perlu meletak jawatan.

Tetapi perlembagaan kita tidak menyebut mengenai proses menarik balik sokongan terhadap perdana menteri. Ini telah dimanipulasi oleh Umno dan Barisan Nasional. Speaker Dewan Rakyat seolah-olah berusaha keras untuk menafikan usaha Pakatan Rakyat membawa usul tidak percaya di parlimen.

Apa peranan Yang di-Pertuan Agong dalam situasi sekarang? Berdasarkan undang-undang, Yang Di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat kerajaan. Hakikatnya, walaupun tidak disebut secara jelas dalam perlembagaan, Baginda perlu memastikan wujud sebuah kerajaan pada setiap masa.

Seterusnya, jika terdapat persoalan mengenai kredibiliti dan legitimasi sesebuah kerajaan, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh bersikap tunggu dan lihat sahaja. Baginda wajar bertindak proaktif dan mengawal keadaan. Tidak ada institusi lain yang boleh memainkan peranan ini. Kita tidak boleh bergantung dengan kerajaan sedia ada tatkala kesahihan kerajaan tersebut sendiri sedang dipertikaikan.

Mungkin jika kita mengikut protokol dengan ketat maka Anwar tidak boleh ke Istana Negara sekarang. Dengan itu, Yang di-Pertuan Agong sewajarnya menjemput Ketua Pembangkang tersebut untuk mengadap dan mempersembahkan senarai ahli parlimen yang beliau dakwa akan menyokong beliau dalam kerajaan baru.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak untuk mendengar secara terus daripada ahli-ahli parlimen tersebut, sama seperti mana Sultan Selangor dan Raja Perlis telah memanggil mengadap ahli-ahli dewan undangan negeri mereka selepas pilihan raya Mac lalu.

Sekiranya Yang di-Pertuan Agong mendapati dakwaan Anwar adalah benar dan Anwar memang mempunyai sokongan yang mencukupi daripada ahli-ahli parlimen, maka Baginda boleh menitahkan agar Abdullah meletak jawatan.

Bukan sahaja Abdullah boleh dititahkan untuk meletak jawatan, bahkan dalam situasi sedemikian, berdasarkan undang-undang, peletakan jawatan menjadi tanggungjawab Abdullah dan kabinetnya.

Jika diteliti perlembagaan asal yang dihasilkan oleh Lord Reid, sebenarnya memang terdapat peruntukan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong memecat Perdana Menteri dalam situasi sedemikian.

Tetapi peruntukan ini tidak dimasukkan dalam draf akhir yang diluluskan menjadi perlembagaan negara kita. Bagaimanapun, saya berpendapat bahawa Yang di-Pertuan Agong masih mempunyai kuasa untuk menyelesaikan masalah ini.

Artikel 43(4) juga menyentuh mengenai pembubaran parlimen. Tetapi Artikel ini perlu dibaca dengan Artikel 40(2)(b) yang memberi kuasa kepada Yang Di-Pertuan Agong bertindak berdasarkan budi bicara dalam menentukan sama ada perlu atau tidak parlimen dibubarkan setelah diminta oleh perdana menteri.

Berdasarkan pengalaman negara-negara Komanwel, Suruhanjaya Reid mengatakan bahawa terdapat beberapa sebab kenapa pembubaran parlimen perlu diserahkan kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong, antaranya ialah untuk mengelakkan negara kita dipaksa mengulangi pilihan raya berkali-kali oleh kerajaan yang tidak stabil.

Jika kita teliti semula situasi sekarang, maka bagi saya tidak ada keperluan bagi Yang di-Pertuan Agong membubarkan parlimen walaupun diminta. Kita baru sahaja menjalankan pilihan raya umum pada Mac 2008 dan kita boleh membentuk kerajaan tanpa perlu satu lagi pilihan raya.

(Profesor Dr. Abdul Aziz Bari ialah Profesor Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa) - (www.WauBebas.org)._

HR9808:..Amatlah tak adil...Anwar jadi sasaran lagi..sebagai seorang manusia bagilah beliau rehat dari sebarang tuduhan di bulan mulia ini!!!. Hakikatnya memang kita faham bahawa BN takkan berundur selagi belum ke tahap yang lebih serius lagi...Pak Mad Taib juga sibuk buat kenyataan...Apa sudah jadi da...??? Kami menolak tuduhan ini dan mensifatkannya sebagai tindakan budak politik nakal yang hilang tempat bergantung...mereka yang amat bahaya bahkan seratus kali lebih bahaya DARI DSAI..?? Macam hero tapi merekalah pelesap wang rakyat, gadai tanah rakyat, biarkan orang Melayu dalam kehinaan dan bodoh, merekalah pengkhianat bangsa dan negara ini. Sekarang tuduh orang pula..hangpa ni betui-betui benak la...bertaubat dan basuhlah hati hangpa tu..!!! Ramadhan ni bulan rahmat ambillah kesempatan untuk dekatkan diri dengan Allah..bukan tuduh orang itu ini...Depa ni memang tak serik selagi masih duk di atas..Ayuh sdr kita teruskan berdoa agar Allah porak perandakan kesepakatan sesat mereka!!!

Politik Anwar bahaya

Oleh Norfatimah Ahmad dan Sazarina Shahrim




Sentimen Cina, India cetus keresahan kaum

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memainkan sentimen amat berbahaya dengan menimbulkan pelbagai isu berbentuk spekulasi seolah-olah melakukan 'tawar-menawar' dengan masyarakat Cina dan India untuk meraih simpati bagi mencapai impiannya untuk berkuasa.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menimbulkan lepas satu isu satu isu lain, macam dalam drama, plot demi plot, sedangkan semua itu hanya spekulasi politik.

"Anwar meraih simpati undi Cina dan India untuk berkuasa. Ini mengakibatkan wujud salah interpretasi mengenai hak kaum. Semua kaum seharusnya mematuhi hak mereka dalam Perlembagaan Persekutuan kerana perkara itu sudah dipersetujui ketika kemerdekaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat tidak terpengaruh dengan slogan politik Anwar yang memainkan sentimen orang Cina dan India supaya meruntuhkan keharmonian serta kemakmuran yang dibina kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Rakyat perlu kembali kepada semangat kerjasama kaum ketika Perlembagaan Persekutuan digubal. Kita tidak boleh pinda Perlembagaan ikut alunan macam turun naik ombak kerana yang akan jadi mangsa adalah rakyat dan kestabilan negara," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian selepas menyampaikan cek berjumlah RM18.25 juta sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada Jabatan Agama Islam Selangor untuk elaun 2,300 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di Bangi, Selangor.

Katanya, berikutan sentimen yang dimainkan Anwar itu, wujud persepsi rakyat bahawa kerajaan BN lemah, sedangkan BN sudah mentadbir dengan baik.

"Kalau BN benar-benar lemah, keadaan kewangan tidak stabil dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak cekap mentadbir negara, bagaimana kerajaan boleh mengumumkan bajet yang begitu pemurah dan menyenangkan tahun demi tahun sejak 2004?" katanya.

Muhammad juga menafikan wujud tekanan daripada Ahli Majlis Tertinggi (MT) supaya Abdullah melepaskan jawatan Presiden Umno lebih awal.

"Tidak ada apa-apa tekanan kepada Pak Lah, tiada perkara seperti itu dalam mesyuarat MT. Seperti mesyuarat MT lalu, mereka memberikan pelbagai cadangan supaya Abdullah perbetulkan satu atau dua perkara berkaitan perjalanan parti untuk memperkasakan lagi parti.

"Perdana Menteri dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak akan mematuhi pelan peralihan kepemimpinan parti yang dipersetujui pada 2010," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata ada pihak tertentu yang baling batu, sembunyi tangan dengan cuba menggunakan blog, internet dan media bagi mempengaruhi pandangan umum bagaimana pelan peralihan kepemimpinan itu patut dilakukan, sedangkan kaedah pelaksanaannya sudah dipersetujui bersama antara kedua-dua pemimpin itu pada 2010.

"Mereka nak guna blog dan internet untuk ajar kita mengenai peralihan kepemimpinan dan kuasa. Sangat malang kerana kebanyakan rakyat terlalu mempercayai kandungan bahan dalam blog sedangkan di Amerika Syarikat, rakyat negara itu menyiasat dulu butiran dalam blog dan tidak mempercayai bulat-bulat apa yang ditulis dalam blog," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MIC, Datuk S Veerasingam, berkata Anwar jelas bermain sandiwara selama ini yang bukan saja menggugat hubungan kaum, malah menjejaskan ekonomi negara.

"Permainan politik Anwar sangat bahaya dan tidak bertanggungjawab. Saya minta orang ramai terutama masyarakat India tidak terpengaruh dengan pembohongan beliau," katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin sokongan masyarakat India terhadap BN akan terus kukuh dan segala tembelang Anwar akan terbongkar.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai, berkata cara politik yang berbaur perkauman sangat berbahaya terutama di Malaysia yang memiliki rakyat majmuk.

"Anwar terus menerus menggugat keamanan negara dan bermain dengan emosi rakyat.

Beliau terus menerus mengeruhkan suasana politik. Pembangkang yang diketuai Anwar akan mempolitikkan apa saja isu yang ada demi kepentingan agenda politik mereka," katanya ketika dihubungi semala

HR9808: Dari pemerhatian saya, tak mustahil DSAI sekali lagi akan dikenakan ISA jika PR lambat membentuk Kerajaan dan BN akan mencari seribu macam alasan agar DSAI ditangkap..INilah standard budak kampung berpolitik...dah nak kalah dia mula mencari alsan itu ini dan diucapkan dengan nada sinis ...Kenapa tak boleh terima yang BN dah ditolak rakyat????