IKRAR (Ikatan Kebajikan Rakyat)
25/26 jUN
Berbicara soal perjuangan dan kaedah yang dipilih untuk berjuang amat penting bagi memastikan hasilnya/natijahnya di dunia dan diakhirat (sebagai seorang Muslim perlu perhitungan ini).
Silakan apa sahaja namanya dan caranya tetapi para pejuang perlu jelas niat, visi dan misinya. Tahniah kepada kumpulan yang mahu berkhidmat untuk rakyat dan bersungguh-sungguh untuk membela nasib rakyat di mana sahaja di dunia ini.
Saya sekarang di Bandung dan sekali lagi sempat menyaksikan pilihanraya daerah untuk memilih Walikota dan Timbalan Walikota. Kebetulan dari calon PKS salah seorangnya adalah kenalan lama yang memang sudah terbukti khidmat beliau kepada masyarakat di Bandung dan beberapa daerah di Indonesia dengan menamakan NGOnya Ummul Quro. Beliau dikenali sebagai seorang tokoh muda yang komited dengan semangat perjuangan memertabatkan rakyat. Namanya Abu Syauqi dan saya agak tergamam juga apabila turun dari bas di BSM Bandung kelihatan poster besar di seluruh kota Bandung. Dalam hati kecil saya berkata-kata ianya sememangnya layak untuk memikul amanah rakyat Kota Bandung. Fikiran saya melayang ke tahun 1999-2000 bersama beliau menjejaki beberapa peristiwa di Ternate dan kota Ambon semasa krisis. Semoga Allah mempermudah usaha beliau dan terbuka hati rakyat untuk memilih beliau sebagai team walikota terbaru..Beberapa pesanan beliau masih terngiang-ngiang di fikiran dan jiwa saya sampai sekarang...
INilah perjuangan dan cara dalam berjuang untuk rakyat. Semakin matang dalam perjuangan maka semakin mantaplah hasil untuk kesejahteraan rakyat. Saya juga tertarik dengan info dari Harakahdaily yang menyentuh persoalan yang sama sekalipun dalam konteks yang berbeza....
Penulis perlu hayati konsep Rabbani |
Abdul Shukur Harun Fri | Jul 25, 08 | 6:34:50 pm MYT | |
Ada pemikiran bernas dan pancaran harapan dari ucapan Puan Rodziah Imail, Exco Kebudayaan Kerajaan Negeri Selangor ketika meramikan Seminar Penulisan Pasca PRU Ke-12 di sini minggu lalu. Dengan itu dapat menerangkan kepada khalayak manusia bahawa di sana ada suatu zat yang apabila ditampilkan di dalam hati necaya akan memurnikan kehidupan kita dan jika disebarluaskan karya penulis itu maka ia akan �merabbanikan� manusia sejagat. Bunyi gagasan itu demikian murni, menjulang tinggi dan amat menyegarkan, bahawa harapan Puan Rodziah itu demikian luhur untuk dilaksanakan oleh para penulis bagi mendekatkan dirinya kepada Ilahi. Tentunya ini membawa kepada konsep sastera ketuhanan. Adapun sastera ketuhanan ini, antara lain, dapat kita nikmati melalui karya penyair sufi zaman dahulu, Rabiatul-Adawiyah, Jalaluddin ar-Rumi dan terkini karya Iqbal dan lain-lain. Puan Rodziah menyampaikan gagasannya ini di depan lebih seratus karyawan dan peminat seni di seminar anjuran Badan Kesenian Paksi Rakyat (Paksi) dan Kerajaan Negeri Selangor di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam. Tema seminar tersebut, �Penulis, Mengepalai atau Mengekori�. Pengarah Seminar tersebut, Prof. Dr. Irwan Abu Bakar. Bagi karyawan Paksi, gagasan yang disampaikan oleh Puan Rodziah ini tentunya mempunyai makna yang besar malah pada hakikatnya menjadi cabaran. Dari segi seni muzik dan lagu, rasanya lagu-lagu puisi Zubir Ali, Dinsman, Anbakri, Ito, Kopratasa dan ramai lagi sudah mendekati karya Rabbani ini. Harapan beliau tentunya supaya ramai lagi para karyawan sastera, muzik dan lagu menampilkan karya mereka dengan konsep ini. Turut membentangkan kertas kerja mereka di seminar tersebut ialah Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Anbakri, S. Othman Kelantan dan Hishamuddin Rais. Disusuli forum di mana ahli panelnya Ainon Muhamad, Tan Sri Dato� Dr. Nordin Kardi, Dr. Chong, Fah, Hing dan Amir Mahmud. Sebuah reolusi telah dikeluarkan selepas itu yang menerima baik gagasan karya Rabbani. Dr. Muhamad Asri dalam kertas kerjanya menekankan mengenai tanggungjawab penulis yang kadang-kadang lebih besar. Sesuatu perkataan yang dilafazkan mungkin berakhir dalam satu majlis, atau tersebar dalam masyarakat dalam tempoh tertentu. Tetapi tulisan mungkin diwarisi dari generasi ke generasi. Justeru itu, katanya, kadar dosa yang ditanggung oleh seseorang itu berdasarkan kadar keluasan daerah keburukan yang ditebarkannya. Namun begitu katanya, yang menggerakkan perkara besar adalah yang memberi manfaat kepada masyarakat. Juga betapa banyak pula, katanya, tulisan yang membawa keburukan, kezaliman, pengubahan hakikat dan fakta sebenar dalam masyarakat. "Pena yang amanah," kata Asri, "bukan seperti pedang sizalim yang menecederakan seiapa saja yang dibencinya. Pena yang amanah bagaikan pedang keadilan yang hanya menghukum yang zalim dan mempertahankan yang benar." Pedang sizalim pula, katanya, amat berbeza dengan pedang perwira yang soleh. Pedang sizalim, kata Asri lagi tidak perlu bertanya salah dan benar sebagai bukti untuk menebas seterunya. "Dia hanya perlu tahu siapa yang di depannya. Orang yang dia suka atau yang dibencinya," ujar beliau. Penulis, katanya, bukan pelacur di mana pena yang menulis atas kehendak orang lain. Seperti seorang pelacur yang memperalatkan tubuh dan rupanya untuk memuaskan nafsu orang lain atas upah yang dijanjikan, kata Dr. Asri, demikian juga penulis yang memperalatkan kebolehannya menulis mengatur rangkap ayat dan bahasa demi memuaskan kehendak orang lain walaupun salah. Beliau mengakhiri kertas kerjanya dengan bermadah: "Wahai penulis, apa yang engkau tulis atas lembaranmu, ia ditulis di sisi Tuhanmu. Maka ketika tanganmu mencatat di bumi, jiwamu hendaklah mendongak ke langit tinggi."- tajdid _ |