foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

Friday, December 18, 2009

PERSIDANGAN MAPIM KALI KETIGA...

IKRAR: (Ikatan Kebajikan Rakyat). Badan bebas dan non partisan. Fokus kepada nasib dan kebajikan rakyat.


19 DIS

Pembentangan dan ucapan yang penting semasa MAjlis perundingan pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia.


Mempersiapkan Umat Mendepani Cabaran dan Mengembalikan Kegemilangan
Mohd Azmi Abdul Hamid
Pengerusi Sekretariat MAPIM
PERNYATAAN GAGASAN
MAPIM 2009
2 Muharram 1431H/19 hb Disember 2009
Pendang lake Resort , Kedah

“Sesungguhnya Solatku , Ibadatku , Hidupku dan Matiku
adalah semata-mata untuk Allah rabul ‘Alamin”
Ahlan wasahlan wa marhaban bikum kepada semua delegasi pertubuhan-pertubuhan Islam yang telah dapat menghadirkan diri di Persidangan Majlis Perundingan Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia , MAPIM , untuk kali ke Dua . Kita dengan bangganya menyatakan bahawa ini adalah suatu sejarah besar buat umat di negara ini ketika buat kali keduanya kita telah mengupayakan diri untuk berkumpul dalam suatu persidangan antara warga pelbagai organisasi Islam dalam jaringan keluarga besar MAPIM . Moga-moga Allah menerima pertemuan kita dengan kesedaran kita semua berjanji memegang tali Allah dan kita tidak akan saling tafarruq .
Walaupun MAPIM masih setahun jagung dari segi kehadirannya namun secara semangat dan iltizam kita , wadah ini sudah lama bersemai dan tumbuh dalam sanubari para aktivis Islam yang mahu merealisasikan hasrat li ‘ila likalimatillah.

Setiap aktivis Islam harus faham bahawa tidak ada yang dapat memastikan kelancaran mengembalikan umat kepada kegemilangan melainkan setiap gerakan Islam mengambil sikap memahami sejarah yang lalu , mengetahui dengan penuh prihatin realiti masa sekarang dan menyiapkan umat untuk masa mendatang.
Tanpa memahami apa yang telah berlalu dan kenapa ia berlaku serta apakah akibat dari sejarah yang telah berlalu, sebuah gerakan Islam tidak mungkin dapat mengesan dimana kelemahan , apakah kesilapan umat yang terdahulu. Juga kita semestinya mengambil dari sejarah , rumusan dan ibrah yang dapat dipelajari antara kekuatan dan kerapuhan umat pada zaman sebelum kita sehingga kita boleh mengenali sempadan dan dapat menambah kebijaksanaan.
Demikian sebuah gerakan Islam juga tidak boleh menyepi dari mengetahui hal ehwal apa yang sedang berlaku masa sekarang. Dengannya kita dapat memeta tindakan sesuai dengan kondisi umat yang sedia ada sekarang disamping boleh memeta apakah yang harus menjadi keutamaan untuk melakukan islah dan taghyir bagi memperbetulkan kepincangan semasa. Begitu juga ehwal semasa umat perlu digarap dengan penuh kesedaran yang kritikal bagi memastikan realiti yang ada dapat diubah kearah yang lebih baik dan memulihkan apa yang telah tersasar.
Seterusnya kita harus sedar betapa kita perlu punya rangkakerja untuk mempersiapkan umat bagi melanjutkan kehidupan masa mendatang . Ini juga sangat kritikal . Tanpa perancangan yang jitu guna untuk memeter strategi , umat akan lempuh kerana tidak bersiap untuk berdepan cabaran mendatang.
Demikian kami merumuskan betapa kita perlu mempunyai keupayaan yang maksimal ketika ingin menjadi jurutera dan arkitek umat. Bahawa sesungguhnya umat akan terus berhadapan dengan keadaan yang melemahkan jika gerakan Islam lengah dalam menjalankan fungsinya dengan sempurna.
Wadah-wadah Islam perlu beranjak dari terlalu banyak beretorika dan menumpukan keupayaannya kearah aksi-aksi nyata yang boleh merubah kondisi umat. Sudah sampai masanya sebuah strategi sinergi yang pintar dapat direalisasikan sehingga gerakan Islam mampu menjadi third force untuk menangani pelbagai isu umat.
Akan rugilah umat jika gerakan Islam tidak mampu menerajui dan memimpin umat ketika umat sering dicatur oleh hegemoni kuasa Barat dan kuasa Timur , dari luar dan juga dari dalam. Kita mesti menyegarkan budaya saling memanfaatkan keupayaan setiap organisasi Islam supaya pengemblengan umat akan menjadi lebih berkesan.
Gerakan Islam sangat berat tanggungjawabnya bilamana upaya pertubuhan-pertubuhan bersifat politik punya kelemahan dan keterbatasan mereka yang tersendiri. Gerakan siyasah punya tempat dan peranannya yang khusus . Sementara ia penting dalam memastikan kuasa politik tidak berpindah tangan kepada gologan yang mempunyai sikap memusuhi Islam , namun gerakan Islam sebagai wadah umat tidak boleh mengambil sikap bersahaja kerana setiap wadah Islam yang bersifat massa akan menjadi daya ketiga yang dapat mengimbangi kebuntuan ketika berlaku konflik antara partai politik.
Hanya gerakan Islam yang siap berperanan untuk mengimbangi percaturan politik sahaja yang boleh membawa nakhoda umat untuk merongkai kemelut yang tidak berkesudahan. Sesungguhnya perhitungan gerakan Islam ialah untuk membawa perubahan kearah mengembalikan izzah umah berdasarkan tuntutan Islam. Tidak ada yang lebih membanggakan gerakan Islam bila melihat tanda perubahan kearah penghayatan Islam secara kaffah dapat direalisasikan. Tidak ada yang akan lebih menggusarkan gerakan Islam jika umat tidak menunjukkan kemahuan untuk kemabli kepada Islam.
Persoalan yang ingin dipecahkan oleh MAPIM ialah untuk memberi fokus kepada isu-isu utama umat dan membina mekanisme bagaimana sebuah jaringan efektif dapat dibina diklangan wadah-wadah Islam untuk menangani isu-isu besar umat. MAPIM berhasrat untuk mengembleng segala keupayaan organisasi Islam agar dapat menyatukan suara dan tindakan ketika membina gagasan Islamisasi menjadi suatu kenyataan dalam kehidupan umat.
MAPIM berpandangan bahawa umat perlu keluar dari sindrom meraba-raba dalam perdebatan yang berpanjangan ketika mencari alternatif. Sementara kita akur ujudnya pembaharuan zaman yang semakin kompleks baik dari segi demografi penduduk dunia mahupun geo-politik rantau dan antarbangsa , kita harus yakin bahawa Islam merupakan satu-satunya jalankeluar yang viable merentas kawasan dan menjangkau zaman. Keruntuhan hampir semua regim dan sistem yang ditampilkan diserata dunia baik dari segi politik , ekonomi mahupun sosial seharusnya meyakinkan kita bahawa “now is the time” ( inilah masanya ) untuk Islam ditampilkan sebagai jalan keluar dari kemelut zaman .
Malangnya , apa yang kelihatan menjadi hambatan umat untuk mencuri kesempatan keemasan ini ialah tercetusnya polemik-polemik dalaman umat yang melelahkan. Sementara silang hujah yang terpaksa diketengahkan ada keabsahannya kerana sememang menjadi agenda para munafiqun dan fasiqun mahu memporak-perandakan umat Islam dari segala penjuru , akan tetapi perlu ada kewarasan dan hikmah yang tinggi agar perangkap musuh tidak akan menyebabkan kita tersasar jauh dari intisari perjuangan kita.
Kami menghargai betapa kemurnian Islam perlu dipertahankan tetapi kita jangan terperangkap dengan agenda musuh. Kita harus sentiasa ingat bahawa selaian asakkan budaya menjadi senjata paling berkesan untuk menyebabkan umat Islam hilang arah , kita juga perlu akur asakkan pemikiran dan dengan itu asakkan tasawur kaum Muslimin akan terus menjadi sasaran.
Bermula dengan menjadikan generasi muda sebagai prime target , medan pendidikan akan menjadi wahana paling efektif untuk mencorakkan aliran pemikiran era pasca penjajahan. Kami tidak terlalu hairan untuk mengenali akan ujud sejumlah organisasi mahupun institusi yang akan berfungsi khusus untuk melancarkan strategi halus yang mahu memporak-peranda
Lantaran itu MAPIM ingin menyegarkan gagasannya untuk melancarkan gerakerja berikut:
1. Mengukuhkan kesatuan Ummat
Bahawa umat yang kukuh bermula dengan kesatuannya dalam mempertahankan Islam. MAPIM berusaha untuk merealisasikan wehdatul ummah dalam ertikata sebenar dan dalam seluruh aspek.Sebarang unsur yang boleh menggugat umat atas dasar selain Islam tidak akan dikompromi. Kami mahu perpaduan ummah menjadi agenda terpenting selaian mengujudkan kondisi untuk membangun ummah sebagai umat yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Bahawa kesatuan ummah adalah senjata paling ampuh untuk kita menghadapi fitnah dan mehnah dari dalam mahupun dari luar. Kesatuan umat adalah sasaran utama kita dan ia akan hanya mampu dicapai setelah umat dapat dibina dengan seluruh kekuatan yang dibekal Islam iaitu keutuhan dan kesahihan aqidah , kemurnian dan ketepatan ibadah , kemantapan dalam penghayatan akhlaq serta ketinggian semangat jihad.
2. Merangsang perubahan untuk mengembalikan kegemilangan ummah
Bahawa MAPIM berkerja untuk merealisasikan perubahan yang murni dan tulin untuk kegemilangan ummah.Perubahan yang diharapkan tidak lain dari perubahan untuk merealisaikan terjemahan Islam dalam seluruh aspek kehidupan ummah. Perubahan yang MAPIM akan gerakkan adalah untuk membuktikan bahawa Islam adalah pilihan terbaik untuk memecah kemelut umat yang semakin kusut.Dalam masa yang sama keupayaan umat untuk cemerlang dalam setiap aspek akan diusahakan. Segala kepincangan diklangan umat semada dari sudut ekonomi , sosial , pendidikan mahpun budaya dan politik akan dibentaras. MAPIM merangka model perubahan bukan sahaja diperingkat makro malah akan melahirkan perubahan mikro yang sampai kesetiap pendaerah umat.
3. Mempersiapkan generasi pewaris
MAPIM sangat serius memikirkan generasi pelapis. Tanpa kerangka pembinaan generasi pelapis , gerakan kecemerlangan umat akan terbantut. Lantaran itu sebuah strategi yang jelas untuk mengujudkan kondisi pembentuk generasi muda yang soleh akan menjadi agenda utama. Dalam masa yang sama segala kemungkaran yang menjebak generasi muda akan diperangi habis-habisan.Kami berpendirian bahawa generasi muda semamngnay menjadi sasaran musuh Islam. Lantaran itu MAPIM akan bekerja keras untuk berdepan dengan segala unsur yang merosak generasi muda semada dari segi pemikiran , tingkahlaku mahupun sikap.MAPIM akan mengujudkan sebuah skim pembinaan generasi muda yang cukup mantap sehingga lahir agen-agen penggerak anak muda yang berkesan membentuk mereka disemua lapangan.
4. Menangani hegemoni kuasa Barat
MAPIM tidak akan berkompromi dengan hegemoni Barat yang terus berusha untuk tidak membenarkan Islam berdaulat hatta dinegara umat islam sendiri. Program pendedahan dan pendidikan umat terhadap segala agenda Barat yang mahu mendominasi kehiduapn umat akan ditentang. Umat islam akan dilengkapi dengan maklumat bagi memahami bagaimana barat meneruskan agenda neo-kolonialisme mereka melalui pelbagai medan. Bahawa MAPIM akan terus memberi pandangan dan memantau setiap perjanjian yang dilakukan oleh kerajaan dengan kuasa Barat. MAPIM akan menyedarkan masyarakat terhadap setiap agenda Barat dengan segala implikasi yang datang bersama hubungan Negara Islam dan Barat.
5. Membenteras aliran sekularisasi-liberal
Bahawa MAPIM sangat peka dan perihatin terhadap aliran pemikiran sekular-liberal yang sudah mula menyebar dikalangan umat. Sesuai dengan agenda Barat , golongan sekular-liberal akan meneruskan agenda mengarus-perdanakan pemikiran mencabar keabsahan Islam menurut ulama’ yang mu’tabar. Bermula dengan menyebarkan pemikiran sekular yang memisahkan Islam dari kehidupan umat , diikuti dengan pemikiran plural yang menyamakan Islam dengan agama-agama lain dan diperkukuhkan dengan pemikiran liberal yang mencabar autoriti ahli agama dalam keilmuan islam , golongan ini bergabung tenaga untuk mengelirukan pemikiran umat. Lantaran itu MAPIM akan membina gerakan membentengi umat dari kesesatan pemikiran kelompok ini disamping menyediakan para cendekiawan dan ulama yang mampu berdepan dengan kelompok ini secara langsung. Disamping itu MAPIM akan bergerak untuk mendedahkan golongan ini yang cuba mempengaruhi pemikiran umat dengan pemikiran sesat tersebut dan mendidik masyarakat supaya mampu menyarin pemikiran-pemikiran mereka.
Penutup
MAPIm hanyalah sebuah kenderaan. Yang menjadi persoalan pokok ialah bagaimana kenderaan ini dapat dijadikan wahana untuk memngemudi umat kearah izzatul islam. Semestinya cabaran dan hambatan adalah sangat banyak dan rencam. Namun betapa banyak dan rencam sekalipun ia tidak akan mengurangkan tanggungjawab wadah-wadah Islam untuk meneruskan cita-cita mengembalikan kegemilangan umat. Tergantung ke atas setiap aktivis dan organisasi Islam untuk berfungsi semaksimanya untuk menjayakan cita-cita murni ini.Pra-syarat terpenting tidak lain dari memfokuskan seluruh tenaga untuk menangani kemelut umat dengan berkesan. Adalah menjadi sangat mengecewakan ketika kepincangan akhlaq yang sepatutnya dapat ditangani dengan tuntas namun maseh terus berpanjangan. MAPIM mengharapkan gabungan seluruh kekuatan dapat digembleng dikalangan pertubuhan Islam sehingga kita tidak lagi hanya bersungut dan merintih. Masanya adalah sekarang dan disini.