foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

Wednesday, December 17, 2008

APA JADI DENGAN KAPAL MALAYSIA...?

HR9808@IKRAR - adalah wadah bebas bukan partisan yang memfokus kepada kebajikan rakyat.Singkatan;
IKRAR (Ikatan Kebajikan Rakyat)

17 DIS
Amat menjemukan bila ada berita yang memalukan iaitu kapal Malaysia sudah 3 kali dirompak di perairam Somalia berulang lagi. Apa dah jadi dengan tentera kita yang katanya telah dihantar ke sana untuk menjaga keselamatan tapi masih dirompak lagi? Tapi inilah realitinya kita diperbodohkan lagi oleh para perompak.

Saya ingin sarankan kepada pihak berwajib:

1. Beri tekanan diplomatik kepada negara tersebut dan jangan sekali-kali menggunakan langkah akhir iaitu menyerang dll seperti yang diambil keputusan oleh USA dan beberapa negara. Langkah diplomatik sebenarnya lebih berkesan seperti hantar balik duta mereka ke negara asal sehingga mereka sendiri berusaha untuk selesaikan masalah dalaman mereka. Begitu juga dengan para pelancong dari negara mereka patut disekat kerana salah satu dari hasil wang kutipan tebusan dibelanjakan bukan sahaja untuk melancong bahkan mungkin digunakan untuk kegiatan jenayah di seluruh dunia. Di negara kita aktiviti pemalsuan wang juga adalah dari grup mereka.

2. Kapal yang sepatutnya punya pangawal yang berpengalaman dalam menggunakan senjata tak sepatutnya hanya menurut sahaja tanpa memberi perlawanan yang sewajarnya. PBB meluluskan gempur bermakna akan muncul masalah baru lagi di perairan itu dan sudah pasti jika tidak diselesaikan dengan cepat maka perang akan muncul lagi di Teluk...Jangan terperangkap lagi dalam strategi US dan negara-negara maju. APa yang dibimbangkan ialah kesan perang bukan terfokus kepada perompak tapi rakyat miskin terbanyak yang akan menerima nasibnya.

3. Kita patut menggesa USA hentikan perang dan mengambil langkah-langkah lain yang lebih bermakna. Kembalikan kapal dan hasil dari kapal lebih bermakna dari menggempur mereka. Apakah ini menjadi alasan yang USA dapat menghancurkan negara miskin ini..???

Media mengeluh ...(apakah ini sahaja kemampuan kita??)

Kapal kita ditawan lagi

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Sebuah kapal tunda dan tongkang milik dua syarikat swasta negara ini bersama 11 anak kapal warga Indonesia yang dalam perjalanan pulang ke Malaysia ditawan sekumpulan lanun Somalia di perairan Yemen semalam.

Kedua-dua kapal tersebut yang tidak membawa sebarang muatan ditawan kira-kira pukul 7.15 pagi waktu tempatan (12.15 tengah hari waktu Malaysia) sebelum dibawa masuk ke perairan Somalia.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Muhamad Hatta Abdul Aziz berkata, Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama kedua-dua syarikat tersebut atas tujuan keselamatan.

“Setakat ini belum ada tuntutan daripada pihak lanun berhubung penawanan dua kapal tersebut. Kita baru dimaklumkan mengenai perkara ini (ditawan lanun Somalia),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


‘Gempur lanun Somalia’

NEW YORK 17 Dis. – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam buat kali pertama memberi kuasa kepada negara-negara yang memerangi kegiatan lanun dekat pantai Somalia untuk melancarkan serangan darat dan udara ke atas kubu lanun di negara itu.

Kegiatan lanun yang menjadi-jadi di salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia itu telah menyebabkan kos insurans melonjak dan memaksa tentera laut negara asing menempatkan kapal perang di perairan berkenaan bagi melindungi kapal dagang.

Penganalisis bagaimanapun berkata, tindakan antarabangsa itu tidak memadai untuk mencegah serangan lanun, sebahagiannya kerana tentera laut yang memburu mereka tidak mempunyai kuasa untuk meneruskan operasi ke atas kubu lanun di darat.

Draf resolusi tajaan Amerika Syarikat (AS) semalam, yang diluluskan dengan sebulat suara oleh 15 anggota Majlis Keselamatan, meluaskan kuasa tersebut kepada negara-negara yang bekerjasama dengan kerajaan sementara Somalia untuk memerangi kegiatan lanun.

“Negara-negara berkenaan boleh mengambil segala langkah perlu di Somalia, termasuk di ruang udaranya, untuk tujuan menghalang pihak yang menggunakan wilayah Somalia untuk merancang, membantu atau melakukan kegiatan lanun dan rompakan bersenjata di laut,” menurut draf tersebut.

Sidang Majlis Keselamatan itu dihadiri oleh Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dan Menteri Luar Britain, David Miliband.

Walaupun peranan kerajaan Somalia berkali-kali ditekankan dalam resolusi itu, kerajaan sementara itu lemah dan mengalami perpecahan.

Negara itu dalam keadaan huru-hara sejak keruntuhan pemerintahan diktator 17 tahun lalu.

Puak berhaluan Islam menguasai sebahagian besar selatan Somalia manakala militia-militia kabilah yang bertelagah berkuasa di bahagian lain.

Pada sidang semalam, AS juga buat kali pertama menyatakan, PBB perlu menghantar pasukan pengaman ke Somalia dan Washington akan mengusahakan resolusi di Majlis Keselamatan menjelang akhir tahun ini untuk tujuan tersebut.

– Reuters

Anak kapal ditawan lanun sihat

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Semua 11 anak kapal Masindra 7, kapal tunda milik syarikat Malaysia yang ditawan lanun di perairan Yemen pada Selasa lepas, dilapor berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Wisma Putra juga telah memberitahu perkara itu kepada Kedutaan Besar Indonesia di sini memandangkan semua anak kapal itu terdiri daripada warga negara Indonesia.

"Perampas kapal tunda itu dalam komunikasinya dengan pemilik kapal, Masindra Shipping (M) Sdn. Bhd., melalui telefon satelit telah memaklumkan kapal itu akan dibawa ke perairan Somalia serta urusan pembayaran wang tebusan akan dibincangkan kemudian," katanya di sini hari ini.

Rais berkata, daripada taklimat yang diberi oleh wakil Syarikat Masindra Shipping Sdn. Bhd., kapal itu mempunyai bekalan makanan yang boleh menampung selama 30 hari.

Katanya, syarikat itu turut mengharapkan kerjasama Kerajaan Malaysia dalam menyelesaikan krisis itu tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Kejadian itu berlaku pada 12.15 pagi waktu Malaysia apabila kapal tunda yang didaftarkan di Pelabuhan Klang bersama sebuah tongkang sedang berada 45 batu nautika dari pesisir pantai Yemen.

Rampasan kapal tunda tersebut turut dimaklumkan kepada pejabat perwakilan Malaysia di Sana'a oleh sebuah syarikat Malaysia, Muhibbah Engineering cawangan Sana'a, yang menyewa kapal tunda dan tongkang tersebut.

Rais juga berkata, kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Sri Indera Sakti yang kini berada di Teluk Aden, sedia memberi bantuan yang sewajarnya kepada semua kapal dagang Malaysia yang menggunakan laluan di perairan tersebut.

"Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada Persatuan Kapal-kapal Malaysia supaya menyebarkan berita tersebut kepada semua syarikat perkapalan Malaysia," katanya.

Semalam Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, kapal KD Sri Indera Sakti tidak menerima maklumat mengenai pergerakan kapal Masindra 7 dari pemilik syarikat perkapalan itu.

Abdul Aziz berkata, kapal dagang milik Malaysia perlu memaklumkan kepada kapal TLDM itu jika ingin melalui perairan itu bagi memudahkan koordinasi dilakukan untuk menggelakkan diserang lanun.

Pada Rabu lepas kapal KD Sri Indera Sakti telah membantu menyelamatkan kapal Zhenhua 4 yang didaftarkan di China di Teluk Aden daripada dirampas lanun.

Kapal KD Sri Indera Sakti telah berada di perairan Teluk Aden ekoran kejadian dua buah kapal MISC ditawan lanun pada Ogos lepas.

Pada 19 Ogos, MT Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal, 29 daripadanya rakyat Malaysia dan selebihnya rakyat Filipina ditawan lanun di perairan itu menyebabkan seorang anak kapal warga Filipina mati akibat terkena peluru sesat.

Sepuluh hari kemudian MT Bunga Melati 5 dengan 41 anak kapal, 36 rakyat Malaysia dan selebihnya rakyat Filipina pula dirampas di perairan sama ketika dalam pelayaran dari Yanbu, Arab Saudi, ke Singapura.

Pada 27 September anak-anak kapal tangki Bunga Melati 5 dibebaskan dan diikuti pembebasan anak-anak kapal tangki Bunga Melati 2, dua hari kemudian setelah MISC membayar sejumlah pampasan.

- Bernama

Operasi TLDM Teluk Aden sehingga Februari


MOHAMMED Noordin (kanan) menyambut ketibaan pegawai dan anak kapal KD Mahawangsa yang kembali daripada Operasi Fajar mengawasi kapal dagang yang diancam lanun di Teluk Aden, Somalia di jeti Pangkalan TLDM, Lumut, baru-baru ini.
- Bernama


LUMUT 19 Dis. - Operasi Fajar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dijalankan khusus bagi melindungi kapal- kapal dagang negara di perairan Teluk Aden, Somalia akan dihentikan selepas Februari tahun depan.

Pemangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali berkata, keputusan untuk tidak menyambung operasi itu telah dipersetujui oleh TLDM dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

''Operasi Fajar di perairan Teluk Aden akan berakhir pada penghujung Februari depan dan sebarang keputusan untuk menyambung semula operasi itu bergantung kepada arahan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Majlis Keselamatan Negara.

''Kerajaan memutuskan untuk tidak melanjutkan operasi tersebut kerana penugasan melindungi kapal-kapal dagang memerlukan kos yang tinggi," katanya pada sidang akhbar selepas menyambut kepulangan Kapal Diraja (KD) Mahawangsa yang selesai menjalankan Operasi Fajar di Pangkalan TLDM Lumut di sini, kelmarin.

Seramai 236 pegawai dan anggota TLDM yang bertugas dengan KD Mahawangsa selamat tiba di Pangkalan TLDM Lumut pada pukul 9.15 pagi itu selepas 100 hari menyertai misi khas mengiringi kapal dagang negara di perairan Teluk Aden.

KD Mahawangsa yang dipimpin oleh Ketua Gugusan Tugas, Kapten Khalid Jaafar memulakan pelayaran ke Teluk Aden pada 7 September lalu dengan kekuatan 236 orang pegawai dan anggota TLDM.

Ia turut dikuatkan dengan Pasukan Khas Laut, helikopter TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Pasukan Perubatan dan Pasukan Gerak Khas dari Tentera Darat Malaysia (TDM).

Menurut Mohammed Noordin, sejak memulakan operasi, KD Mahawangsa telah mengiringi dengan selamat 36 kapal dagang milik negara secara berkumpulan merentasi perairan Teluk Aden sehingga melepasi kawasan ancaman untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing- masing.

''Selain kumpulan kapal dagang negara, hampir setiap iringan KD Mahawangsa turut ditumpangi oleh beberapa kapal dari negara lain yang melalui kawasan tersebut.

''Antara konvoi terakhir iringan KD Mahawangsa ialah kapal Eagle Valencia yang merupakan kapal terbesar milik Malaysian International Shipping Corporation (MISC) Bhd. yang membawa muatan 2.3 juta tong minyak,'' katanya.

Beliau berkata, Operasi Fajar kini diambil alih oleh 204 krew KD Sri Indera Sakti yang sudah belayar ke Teluk Aden pada 1 Disember lalu dan bakal menamatkan misi mereka pada Februari tahun depan.

Operasi Fajar dilaksanakan apabila kapal MT Bunga Melati 2 milik MISC dengan 39 anak kapal dirampas lanun di Teluk Aden berdekatan Somalia dan Yemen ketika dalam perjalanan dari Dumai ke Rotterdam pada 19 Ogos lalu.

Sepuluh hari kemudian, sebuah lagi kapal milik MISC, MT Bunga Melati 5 dengan 36 anak kapal turut dirampas di perairan sama.

Malaysia sedia sertai pasukan PBB pantau lanun

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Malaysia telah menghantar surat kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyertai pasukan pemantau bagi menangani kegiatan lanun di perairan Somalia.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kerajaan juga telah menghantar surat kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Condoleezza Rice berkaitan perkara yang sama.

''Pada masa ini kawalan di perairan Somalia bagi menangani lanun dilakukan sendiri oleh negara-negara yang mempunyai armada tentera laut dan bukan di bawah panji-panji PBB,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan RM150,000 Kementerian Luar kepada Yayasan Anti Peperangan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Majlis Keselamatan PBB kelmarin telah memberi kuasa kepada negara-negara yang memerangi kegiatan lanun dekat pantai Somalia untuk melancarkan serangan darat dan udara ke atas kubu lanun di negara itu.

Sebuah kapal tunda Masindra 7, milik syarikat swasta negara ini bersama 11 anak kapal warga Indonesia yang dalam perjalanan pulang ke Malaysia ditawan sekumpulan lanun Somalia di perairan Yemen kelmarin.

Kedua-dua kapal tersebut yang tidak membawa sebarang muatan ditawan kira-kira pukul 7.15 pagi waktu tempatan (12.15 tengah hari waktu Malaysia) sebelum dibawa masuk ke perairan Somalia.

Sebelum ini kapal MT Bunga Melati 2 milik MISC dengan 39 anak kapal dirampas lanun di Teluk Aden berdekatan Somalia dan Yemen ketika dalam perjalanan dari Dumai ke Rotterdam pada 19 Ogos lalu.

Sepuluh hari kemudian, sebuah lagi kapal milik MISC, MT Bunga Melati 5 dengan 36 anak kapal dirampas di perairan sama.

Mengenai anak kapal Masindra 7 katanya, semuanya selamat dan sihat.

Katanya, pihak syarikat ataupun kerajaan belum menerima tuntutan daripada lanun yang merampas kapal tersebut.

Sementara itu, Rais menyifatkan tindakan wartawan Iraq membaling kasut ke arah Presiden George W. Bush sebagai simbolik penentangan terbaik terhadap pencerobohan Amerika Syarikat (AS) ke atas negara itu.

"Episod membaling kasut itu, pada pandangan saya merupakan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) yang paling sesuai untuk seorang pemimpin yang menamakan Iran, Iraq dan Korea Utara sebagai paksi kejahatan," katanya.

Minggu lalu, wartawan televisyen al-Baghdadia, Muntadar Al-Zeidi membaling sepasang kasut ke arah Bush ketika sidang akhbar semasa lawatan perpisahan Presiden AS itu ke Iraq.

Insiden itu menonjolkan kebencian mendalam yang terus dirasai di negara ini terhadap Bush yang mengakui perang di Iraq masih belum dimenangi.

Menurut Rais, tindakan wartawan tersebut paling sesuai memandangkan AS telah menggunakan kuasa vetonya menyerang Iraq enam tahun lalu tanpa mendapat persetujuan ahli Majlis Keselamatan PBB yang lain iaitu Rusia, Perancis dan China.

No comments:

Post a Comment

silakan komen dan beri pandangan anda untuk kebaikan semua!!