foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

Sunday, July 20, 2008

MUZAKARAH PAS DAN UMNO...GIMIK POLITIK DESPERADO PIMPINAN UMNO??

HR9808@IKRAR - adalah wadah bebas bukan partisan yang memfokus kepada kebajikan rakyat.Singkatan;
IKRAR (Ikatan Kebajikan Rakyat)

21 JUN.

Berita utama tv3 diulang beberapa kali tentang muzakarah...sepertinya ia amat penting demi agama, bangsa dan negara. Apakah penyokong PR dan rakyat biasa dapat memahami semua ini? Yang jelas penyokong PR menolak apa juga nama dan bentuk kerjasama dengan UMNO kerana sudah terbukti dalam sejarah UMNO adalah parti yang diisi dengan konsep perjuangan perkauman , opotunis dan sangat pragmatis. Mereka boleh menyamar dalam mencapai tujuan untuk terus kekal dalam pemerintahan di Malaysia. Bukan buruk sangka tapi ianya adalah rialiti...Soal strategi PAS itu adalah hak PAS dan masa depan PAS di Malaysia. Jangan sampai tersalah langkah kerana kegagalan penyatuan PR hari ini membawa kesengsaraan sehingga berpuluh tahun akan datang. Kami yakin semua pihak dari PR akan terus komit dengan agenda yang telah disepakati bersama. Dengarkan dan bertindaklah untuk memenuhi harapan rakyat terutama dari 5 negeri yang telah PR urus sekarang. Di luar 5 negeri, masih ramai lagi rakyat yang sudah bersiap sedia untuk melakukan hal yang sama. Kepada seluruh pemimpin PR kami berpesan...ANDA ADALAH HARAPAN UMMAT DAN DI TANGAN ANDA ADA SEGALANYA!!!

RENUNGAN DARI BEBERAPA KENYATAAN PIMPINAN PAS...

PAS mengakui bertemu Perdana Menteri
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Sun | Jul 20, 08 | 11:57:32 pm MYT

PAS tidak menafikan bahawa memang telah ada pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan YAB Perdana Menterti yang juga selaku Presiden Umno, bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu.

Perjumpaan pertama dengan YAB Perdana Menteri berlaku sejurus selepas PRU ke 12 yang lalu yang melibatkan Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Nasharudin Mat Isa; Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustapha Ali dan ahli parlimen Shah Alam,YB Hj Abd Khalid Samad.

Pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS.

Berikutan itu Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam.

Sehubungan dengan ketetapan itu pertemuan telah diadakan lagi di bangunan Parlimen yang melibatkan Timbalan Presiden PAS dan YAB Perdana Menteri, yang telah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulamak.

PAS bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu di Malaysia. - mr/mks.

20 Julai 2008,
Presiden,
Parti Islam Se Malaysia (PAS).
_


Kenyataan PM bertujuan pecahbelahkan
Abdul Aziz Mustafa
Sun | Jul 20, 08 | 8:58:52 pm MYT

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Hrkh) - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai perundingan dengan PAS bertujuan menabur benih perpecahan di dalam PAS yang mungkin mara mengambil alih tempat Umno pada masa depan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa.

Membidas kenyataan Perdana Menteri dalam sebuah akhbar harian hari ini, Exco kerajaan negeri Kelantan itu mengulangi penegasan bahawa PAS tidak mampu berpecah semata-mata untuk memenuhi impian Perdana Menteri mendapatkan 'keldai' korban yang boleh ditunggang, walaupun sementara.

Perdana Menteri hari ini menyatakan bahawa beliau telahpun tiga kali bertemu pemimpin PAS yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

"Pengumuman sebelah pihak oleh Abdullah tentunya ada motif tersirat. Jujurkah Abdullah bila beliau umumkan pemimpin 'decision-makers' PAS telah tiga kali menemui beliau?

"Atau beliau sedang memainkan PAS dengan satu strategi politik dengan umpan yang enak? Sekurang-kurang, dalam keadaan terlalu terdesak, beliau boleh mencapai matlamat politik jangka pendek," katanya.

Presiden Umno itu, kata Husam, cuba menggambarkan gambaran positif terhadap dakwaan pertemuannya itu dengan menggunakan istilah -decision-makers' - 'pembuat keputusan', walaupun dia tahu mana-mana pertubuhan, apatah lagi parti Islam seperti PAS, tidak dimiliki oleh mana-mana pemimpin, sebesar mana pun pemimpin itu.

"PAS sebagai jamaah Islam dikendalikan dengan kaedah dan etika harakah Islamiyyah yang tertentu, termasuk musyawarah," tegas beliau.

Selain memecahbelahkan PAS, Husam menjangka, antara matlamat politik jangka pendek yang hendak dicapai Perdana Menteri dengan pengumumannya itu ialah mengukuhkan kedudukannya di dalam Umno di tengah pergolakan dalaman yang tidak menentu, menghilangkan keyakinan dalam Pakatan Rakyat dan menghalang Agenda Post Pilhanraya 2008 dan menjarakkan semula PAS dari sokongan masyarakat bukan Melayu, mungkin 40 tahun kebelakang semula.

"Mungkin Abdullah mendapat inspirasi umpan 'Negara Islam' yang dilemparkan oleh Dr. Mahathir selepas melihat kemaraan pembangkang dalam pilihanraya 1999 dan umpan itu menjadi sehingga pembangkang undur semula dalam pilihanraya 2004," katanya.

Husam menegaskan bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS sudah tentu tidak akan mengkesampingkan perpaduan ummat Islam dan tidak pula menjadikan perpaduan nasional agenda kedua selepas perpaduan Islam.

Perpaduan Islam, tegas beliau, dicapai dalam konteks perpaduan nasional yang semestinya diasaskan bukan di atas asas kaum semata-mata seperti dilakukan oleh Umno selama ini, tetapi di atas asas yang lebih kukuh seperti tiada diskriminasi kaum, tiada diskriminasi berdasarkan fahaman politik dan keadilan untuk semua.

"Perpaduan versi Umno sudah lusuh. Umno sesama Umno pun tidak dapat disatukan. Apatah lagi formula itu hendak digunakan bagi ummat Islam dan nasional," tegas beliau.

Sambil menyifatkan Perdana Menteri sudah pun mencapai maksud yang diharapkan pada darjah yang tertentu yang belum parah, Husam mengingatkan tugas utama pemimpin PAS pada waktu ini ialah memastikan parti tidak berpecah, bahkan kekal bersatu.

"PASlah satu-satunya parti yang paling stabil, kukuh dan mantap buat masa ini. Jika jangkitan kuman Umno meresap dan memecahkan PAS, perkongsian kuasa dengan Umno hanyalah ulangan percantuman sementara era Barisan Nasional dulu yang berakhir PAS ditolak ke tepi selepas Umno mencapai kekuatan mereka semula," kata beliau.

PAS juga, katanya, hendaklah memastikan kepercayaan dan harapan masyarakat bukan Islam terhadap PAS tidak dikhianati.

"Islam menekankan kepada kesetian terhadap janji," tegas beliau.

Jika PAS mempunyai pandangan dan agenda yang berguna untuk kepentingan negara, agenda ini boleh dimaklumkan kepada rakyat secara terbuka dan tuntutan boleh dibuat untuk Umno menerima atau melaksanakannya, tanpa terikat dengan satu perkongsian kuasa yang akan meletakkan PAS selama-lamanya pemain kedua yang bertugas menyelamatkan Umno dengan faham sekularnya yang merosakkan itu, katanya.

"Berulang kali PAS memainkan peranan yang sama," katanya lagi.

Tetapi itu tidak penting bagi Perdana Menteri, kata Husam, kerana dalam ketidaktentuan sebelum Disember ini, beliau memerlukan segala dahan yang ada untuk berpaut.

Pada waktu kepercayaan kepada kepimpinannya berada pada titik yang paling rendah, keupayaan pengurusan ekonomi yang hampir sifar, hala tuju negara yang amat kabur, keyakinan terhadap kemampuan membawa keharmonian pelbagai kaum yang amat rendah, kehilangan keyakinan terhadap institusi utama seperti kehakiman, polis dan jabatan Peguam Negara, Husam menyifatkan Perdana Menteri memang memerlukan PAS.

"Jawatan kerajaan yang mungkin ditawarkan oleh Abdullah kepada PAS tentulah bukan segala-galanya," tegas beliau. _


Mursyidul Am tidak mahu sejarah hitam berulang kembali
Salmah Mat Husain
Mon | Jul 21, 08 | 7:19:24 pm MYT

KOTA BHARU, 21 Julai (Hrkh) - PAS dibimbangi akan menjadi seperti kera sumbang, manakala di kiri kanan pula kena marah sekiranya meneruskan muzakarah dengan pemimpin Umno.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, apabila berlaku muzakarah penyokong kita marah kepada PAS dan orang Pakatan Rakyat juga curiga.

Oleh itu bagi mengelakkan kekecewaan penyokong, muzakarah antara PAS dan Umno dianggap tidak perlu bagi mengelak berulang sejarah hitam yang pernah berlaku sebelum ini.

"PAS akan lebih berhati-hati agar tidak terkena perangkap Umno kali kedua. Itu bukan cara parti yang memperjuangkan Islam berpolitik di mana cara berkenaan tidak ubah seperti menolong pihak lawan dan bukannya untuk menjaga kestabilan parti.

"Itu perangkap namanya,"katanya pada persidangan media di Kota Darulnaim petang ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mendedahkan muzakarah bersama PAS sudah tiga kali diadakan bagi membincangkan beberapa isu berkaitan agama dan orang Melayu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebelum ini menegaskan muzakarah yang dicadangkan perlu bersyarat di mana Umno perlu meminta maaf secara terbuka kepada PAS terhadap banyak kesalahan yang dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, PAS tidak akan menerima nasib buruk diperangkap Umno kali kedua, cukup hanya sekali.

"Umno sekarang sudah lemas dan dia nak minta tolong PAS, sedangkan PAS sendiri bekerja keras untuk melemaskan Umno, tetapi apabila Umno lemas sekarang kita nak angkat dia balik, itu bukan kerja kita.

"Biar lemaslah dia, dah 50 tahun kita lawan Umno, bila dia lemas kita lanyak dia...sepatutnya begitu," ujarnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan meminta anggota parti menyoal diri masing-masing sama ada mereka ingin menjaga parti atau Islam.

Katanya, sekiranya hanya untuk menjaga parti, ia bukan hala tuju perjuangan parti yang sebenarnya.

"Kita nak jaga Islam, jaga Umno apa yang akan kita dapat. Umno ni sebenarnya parti yang melonggarkan iman, orang Melayu selama ini longgar kerana Umno.

"Tetapi kalau PAS nak jaga Islam, bukan caranya untuk PAS bekerjasama dengan Umno, sebab parti itu parti sekular yang hanya memperjuangkan dasar untuk dunia semata-mata,"ujarnya.

Katanya, soal bangkit dari kubur dan akhirat tidak pernah menjadi hala tuju dan perbincangan di kalangan pemimpin Umno.

Ditanya isu muzakarah sengaja diperbesarkan media, beliau berkata, ia sudah menjadi agenda media untuk melariskan jualan.

"Itu kerja orang surat khabar, dia akan berbuat sesuatu untuk melariskan akhbar masing-masing, itu jelas.

"Jadi untuk melebarkan perjuangan PAS hanya melalui ceramah dan internet. Apa yang menjadi isu di media sekarang kerana mereka mempunyai agenda sendiri, sebab semua suratkhabar harian proUmno belaka," ujarnya.

Beliau juga turut menafikan wujud perbezaan pendapat antara beliau dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam isu muzakarah.

Katanya, kewujudan berbezaan pandangan tidak bererti parti itu mengalami masalah kepemimpinan.

"Sehingga hari ini ia tidak menjadi masalah, sebab kita hidup tidak boleh senyap, banyak mana yang kita nak luah, kita luahkan, kemudian kita dengar balik.

"Sekarang masing-masing sudah meluahkan pandangan, jadi terpulang kepada penyokong untuk membuat penilaian,"ujarnya.

Beliau juga berkata, biar pun sudah ada pertemuan pemimpin PAS dengan Presiden Umno, ia tidak bererti sudah ada persefahaman antara kedua-dua parti tersebut.

Ditanya adakah beliau kecewa dengan tindakan pemimpin PAS mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi parti Umno beliau berkata, tidak juga.

"Benda atas dunia ni begitulah, masalah perkara biasa berlaku seperti dalam rumah tangga antara suami isteri, kesilapan dilakukan suami adakalanya tidak disedari.

"Saya setuju benar biar Umno jadi pembangkang bukan sahaja di Kelantan, tetapi di seluruh negara termasuk di peringkat pusat,"ujarnya.

Beliau juga meminta ahli parti dan penyokong Pakatan Rakyat bertenang dalam menghadapi situasi sekarang serta tidak mudah termakan taktik yang dimainkan musuh.

Mursyidul Am juga berharap perwakilan membahaskan isu tersebut di Muktamar PAS di Ipoh Ogos depan. - mj/mks. _


No comments:

Post a Comment

silakan komen dan beri pandangan anda untuk kebaikan semua!!