IKRAR (Ikatan Kebajikan Rakyat)
2 OGOS
Bagaikan sebuah mimpi ngeri datang hampir setiap malam kepada pemimpin BN bila mengenangkan PR akan menguasai Putrajaya, Parlimen dan seluruh institusi pemerintahan di Malaysia. Mimpi ini mahu dipadamkan dengan berbagai cara tapi ianya tetap datang dan semakin menakutkan. Bukan soal jawatan dan gelaran tapi soal kepentingan yang dikuasai sekarang dan kesalahan bertimbun yang pernah dilakukan kepada rakyat. Apa jadi dengan kes rasuah berbilion RM, apa jadi dengan nasib syarikat kroni, nasib cucu cicit yang bakal menerima habuan kekayaan dari kekuasaan selama ini dan bertimbun kes yang bakal menimpa mereka semua???.
Mimpi di malam hari akan dibawa ke meja perbincangan serius dari semua pemuka pemerintahan BN sekarang dan mereka bekerja tanpa henti siang malam. Seluruh jentera pemerintahan samada yang rasmi atau tidak dikerahkan dan sudah pasti berbilion RM dihambur bagi projek asasi ini. Inilah yang dihadapi oleh PR sekarang dan sudah tentu ikon PR adalah fokus utama mereka untuk dipadamkan. Ikon PR adalah DSAI dan beliaulah yang diintip, diintai, dikejar, dituduh, difitnah dan seribu macam cara agar mereka tetap dapat bertahan di kubu Putrajaya. Oleh itu saya berharap PR jangan ambil mudah soal keselamatan DSAI dan pimpinan PR di seluruh negara kerana ini adalah peperangan yang sangat genting. Sudah tentu perang politik tidak sama dengan perang senjata tapi harus kita ingat bahawa disebalik politik BN-UMNOlah adanya senjata dll. Saya yakin seluruh pimpinan PR sedar akan hal ini dan sila pertingkatkan lagi. Jangan harapkan musuh untuk bermesra dengan kita dan lupakan dulu strategi kemesraan kerana bagi mereka ini adalah saat penentuan hidup atau mati dalam arena politik di Malaysia.
Semoga PR konsisten dan dapat meneruskan perjalanan sehingga kunci Kota Putrajaya dapat diambil secara terhormat.!!..
Renungkan artikel di bawah...
Permatang Pauh tiket Anwar ke Putrajaya |
Mohd Rashidi Hassan Fri | Aug 01, 08 | 4:54:25 pm MYT | |
Dato' Seri Anwar Ibrahim kembali ke Permatang Pauh. Permatang Pauh adalah kerusi tradisi milik Anwar dan keluarganya yang diwakili selama lebih 25 tahun mulai 1982 sehingga 2008. Anwar menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh selama 16 tahun mulai 1982 sehingga 1999. Kerusi tersebut yang terpaksa dilepaskannya akibat dipecat, didakwa dan dimalukan oleh kerajaan Barisan Nasional pimpinan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) ketika itu. Kerusi tersebut terus diwakili isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak 1999 hingga semalam (31 Julai 2008). Kerusi Permatang Pauh tidak dikosongkan hanya semata-mata untuk menunjukkan kasih sayang seorang isteri kepada suami. Ke mana sahaja Wan Azizah pergi dan memegang jawatan sama ada Ahli Parlimen atau Presiden parti, rakyat tetap beranggapan atau mempunyai persepsi bahawa beliau adalah proksi Anwar. Memang pun! Kerusi parlimen Permatang Pauh sememangnya kerusi milik Anwar. Wan Azizah menggantikannya seketika, sementara Anwar disekat undang-undang untuk bertanding dalam pilihan raya. Juga sebagai presiden parti, rakyat tetap beranggapan bahawa Anwar adalah presiden sebenarnya, Wan Azizah hanya sebagai nominee. Sebab itu Anwar digelar Ketua Umum KeADILan atau de facto leader. Parti KeADILan Rakyat, yang sebelum ini dikenali sebagai Parti KeADILan Nasional ditubuhkan kerana Anwar Ibrahim. Untuk memperjuangkan keadilan, cetusan daripada kezaliman melampau yang ditimpakan BN ke atas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada tahun 1998. Dan, Wan Azizah dipilih sebagai presiden parti kerana beliau adalah isteri kepada Anwar, Anwar sebenarnya yang menjadi ikon reformasi politik dalam negara. Kesediaan Wan Azizah melepaskan jawatan sudah lama. Selama 16 tahun Anwar dalam Umno dan kerajaan (1982 - 1998) Wan Azizah tidak mencampuri urusan politik. Beliau adalah suri rumah sepenuh masa. Dalam tempoh sepuluh tahun, seorang suri rumah yang tidak mencampuri urusan politik, terpaksa mengetuai parti politik, terbabit dalam perancangan politik bagi menggantikan suami yang terpenjara selama enam tahun (1998 - 2004) dan empat tahun dihalang untuk bertanding. Tugas Wan Azizah selama sepuluh tahun ini bukannya mudah, mengambil alih peranan Anwar bukannya mudah, justeru keputusannya berundur sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang, harus dihormati. Laluan mudah untuk Anwar ke Parlimen Sebelum ini memang ada pertimbangan untuk Anwar bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan Gombak kerana penyandangnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali sedia memberi laluan. Manakala kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu yang diwakili peguam Zulkifli Noordin yang menghadapi petisyen pilihan raya, sedang menunggu keputusan mahkamah dna dijangka diputuskan 11 Ogos depan. Jika mengikut trend sokongan rakyat, walaupun mungkin boleh wujud manipulasi BN bagi Bandar Tun Razak, Gombak atau Kulim-Bandar Baharu, Anwar dijangka tidak akan melalui jalan yang sukar untuk memenanginya. Bagaimanapun, jalan terbaik untuk Anwar ialah kembali ke kerusi tradisi yang diwakili beliau dan keluarga sejak 25 tahun yang lalu. Anwar mula mewakili Permatang Pauh pada tahun 1982 menewaskan calon PAS, Zabidi Ali (14,352 majoriti), 1986 menewaskan Mohamad Sabu (10,479 majoriti), 1990 mengalahkan Mahfuz Omar (16,150) dan 1995 menewaskan calon DAP, Abdul Rahman Manap dengan 23,515 majoriti. Pada tahun 1999, Wan Azizah menang dengan majoriti 9077 menewaskan bekas Setiausaha Politik Anwar, Dato' Dr Ibrahim Saad, dikatakan kerana undi simpati terhadap Anwar. Pada 2004 kerusi Permatang Pauh dikekalkan dengan majoriti yang kecil (590 undi) dengan menewaskan bekas Imam Besar Masjid Negara, Dato' Pirdaus Ismail. 2008 menyaksikan Wan Azizah mengekalkan kerusinya dengan majoriti lebih besar iaitu 13,388. Banyak sumber-sumber dalam Umno sendiri yang mengakui bahawa orang-orang Umno tetap mengundi Wan Azizah kerana Anwar, sebagai penolakan terhadap keputusan pucuk kepimpinan Umno yang memecat Anwar. Ketika Anwar dipecat (1998), beliau bukan sahaja TPM dan Menteri Kewangan. Anwar ketika itu juga adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang dan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh. Justeru dengan sokongan padu rakyat dari kalangan pelbagai kaum, beserta dengan penyokong tegar Anwar dalam Umno, Anwar dijangka akan memenangi kerusi Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil nanti dengan mudah, serta pertambahan majoriti lebih besar. Anwar adalah masalah besar bagi Umno/BN Masalahnya bagi Umno/BN mereka terpaksa berhadapan dengan tekanan politik yang amat besar dan sukar jika Anwar kembali ke Parlimen. Umno/BN sedar, jika Anwar menang kerusi Permatang Pauh, Anwar akan menggantikan Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Mereka juga amat menyedari apabila Anwar bertanding pilihan raya, masuk ke Parlimen, bukan semata-mata hendak menjadi Ketua Pembangkang. Hasratnya jelas, iaitu, berusaha mengambil alih kerajaan Pusat sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 6! Sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat, Anwar sudah mengumumkan bahawa tarikh 16 September 2008 adalah 'deadline' utama pembentukan kerajaan baru. Mungkin akibat daripada pelbagai tekanan politik, khususnya isu tuduhan liwat terhadap Anwar, 'deadline' tersebut akan teranjak sedikit. Barangkali ketika pengumuman yang dibuat Anwar tiga bulan lalu, pemimpin Umno/BN kurang gusar, kerana Anwar bukan Ahli Parlimen, untuk menjadi PM, Anwar harus menjadi wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya. Dengan kemenangan Anwar di Permatang Pauh nanti, beliau bukan setakat Ahli Parlimen atau Ketua Pembangkang sahaja, malah jalan ke Putrajaya sudah terbuka luas di hadapan beliau. Jika di luar Parlimen agak sukar bagi Anwar untuk berjumpa, berunding serta bermuqabalah dengan mana-mana wakil rakyat BN yang berminat untuk berhijrah menyertai Pakatan Rakyat. Maka, sebaik sahaja Anwar menjejakkan kali ke Parlimen sebagai Ahli Dewan Rakyat dan duduk di kerusi Ketua Pembangkang di Parlimen, rakan-rakan yang berada di blok kerajaan, akan menjadi seumpama 'cacing kepanasan.' Tidak boleh dibayangkan ketika itu wajah-wajah seperti Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak akan berubah 'merah padam' macam 'cacing kepanasan'. Oleh itu usaha-usaha untuk menyekat Anwar dijangka akan berterusan. Walaupun ada jaminan daripada PM Abdullah, tidak akan wujud sebarang konspirasi untuk 'mengenakan' Anwar, rakyat masih sukar mempercayainya. Isu yang besar di sebalik usaha untuk menyekat Anwar kembali ke Parlimen adalah, bagaimana BN hendak mengekalkan kuasanya dalam sebulan dua ini. Justeru tidak mustahil dalam keadaan yang tertekan sedemikian rupa, tindakan luar jangka bagi menyelamatkan kepentingan politik kelompok tertentu, boleh mengatasi jaminan keselamatan dan keadilan terhadap Anwar. Faktor teras mengapa Anwar dipercayai rakyat Menjadi masalah yang besar kepada BN juga ialah, apa sahaja yang tindakan yang diambil terhadap Anwar dan Pakatan Rakyat sudah tidak dipercayai rakyat. Bukan sahaja BN. Rakyat juga sukar untuk mempercayai polis dan kehakiman. Persepsi ini seolah-olahnya sudah sebati dengan rakyat. Hakikat sebenarnya, BN, Umno dan Abdullah Badawi sedang menghadapi krisis kepercayaan rakyat, bukan setakat dari penyokong Pakatan Rakyat sahaja, malah dari parti komponen BN sendiri. Sehingga kini, selepas Dr Mahathir (yang sebelum ini turut dipertikaikan rakyat), belum ada mana-mana pemimpin Umno yang mendapat sokongan dari rakyat berbilang kaum. Seburuk-buruk zaman Dr Mahathir, BN hanya hilang dua negeri, tetapi zaman Abdullah kini, BN tewas enam negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Abdullah, BN dan Umno sedang mengalami krisis kepercayaan daripada pelbagai kaum sama ada Melayu, Cina, India, Sikh, Melanau, Iban, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Sebab itu wujud fenomena baru pasca PRU ke 12, iaitu rakyat dari kalangan pelbagai kaum, sudah meletakkan keyakinan dan kepercayaan ini kepada Anwar Ibrahim. Faktor terasnya ialah kepercayaan terhadap Anwar. Rakyat yang menolak BN, yakin bahawa Anwar adalah faktor perpaduan, penyatuan (unifying factor) bagi rakyat pelbagai kaum, yang dilihat tidak stabil dan berkecamuk di negara ini. Pengiktirafan atau recognition seumpama ini sukar diperolehi mana-mana pemimpin. Pemimpin tersebut harus mempunyai karisma dan diyakini rakyat. Faktor utama kepada kesimbangan politik dalam negara ialah perpaduan kaum yang terdiri daripada pelbagai etnik dalam negara. Kunci atau key kepada perpaduan kaum, buat masa ini hanya pada Anwar, lain-lain pemimpin politik bukan tidak berkarisma, tetapi tidak sampai ke tahap sebagaimana Anwar. Key unity factor ini boleh dilihat dengan jelas apabila ramai pemimpin BN, sama ada dari Umno, MCA, MIC, Gerakan, PBB, SUPP, SAPP, PBS, UPKO dan sebagainya, selesa berunding dan berbicara dengan Anwar. Jaminan transaksi kuasa yang aman dan stabil Anwar Ibrahim memberikan komitmen yang jelas bahawa beliau akan berusaha membawa Pakatan Rakyat ke Putrajaya. Anwar sudah meletakkan sasarannya. Tetapi memberi jaminan bahawa beliau tidak akan gelojoh, kerana tidak mahu dilabel sebagai 'street-fighter' atau pemimpin demonstrasi jalanan, yang dianggap boleh mencetuskan elemen ganas. Pada Anwar, sebarang transaksi kuasa harus berjalan dengan lancar atau 'smooth transfer', kerana Anwar mahu Malaysia mencatatkan transformasi kerajaan dengan sejarahnya yang tersendiri, tanpa sebarang kekecohan atau pertumpahan darah, 'no arrest, no assassination.' Anwar tidak mahu memalit sejarah negara sama seperti kejatuhan Ferdinand Marcos di Filipina yang tumbang akibat pembunuhan Benigno Aquino. Anwar juga tidak mahu kerajaan BN jatuh sebagaimana jatuhnya Presiden Suharto di Indonesia, selepas ramai mahasiswa terkorban semasa mendesak dilakukan demokrasi dalam negara. Peralihan kuasa akan dibuat dengan jaminan keadilan dan kestabilan dengan membawa harapan baru kepada rakyat Malaysia. Harapan ini melampaui batasan parti dan bangsa. Jika BN mengamalkan dasar, Umno selesaikan masalah kaum Melayu, MCA uruskan masalah kaum Cina dan MIC atasi masalah kaum India, tetapi tidak Pakatan Rakyat. Anwar sudah memberi jaminan bahawa beliau adalah orang Melayu/ Islam yang tetap akan mempertahankan kepentingan bangsa dan agamanya sendiri. Malah lebih baik daripada itu Anwar berkata, "saya adalah orang Melayu, tetapi masalah kaum Cina, India dan sebagainya adalah masalah saya juga, yang saya akan sedaya upaya selesaikan." Justeru politik pasca baru ini, merentasi sempadan bangsa dan agama adalah sistem politik alaf baru yang sedang ditunggu-tunggu rakyat sekarang. Apa yang penting, semua pihak harus memberikan kerjasama sebaiknya, menjayakan hasrat pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat, dengan jaminan keadilan, kesaksamaan dan kestabilan. _ |
No comments:
Post a Comment
silakan komen dan beri pandangan anda untuk kebaikan semua!!