foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

foto-foto aktiviti dakwah dan kemanusiaan

Monday, February 9, 2009

SEMOGA ALLAH MENERIMA YB ROSLAN SEBAGAI SYAHID...

HR9808@IKRAR - adalah wadah bebas bukan partisan yang memfokus kepada kebajikan rakyat.Singkatan;
IKRAR (Ikatan Kebajikan Rakyat)

8 FEB
Sempat saya membaca berita dari Harakahdaily di Purwakarta sebelum ke Bandung. Teman kenal Yb sejak tahun 1980an waktu itu beliau adalah aktivis yang menggerakkan PUM di Ipoh..Semoga Allah menggolongkan beliau sebagai syahid..Amin..

Ucapan takziah kepada keluarga dan kaum keluarga beliau...!! Semoga perjuangan yang beliau saksikan kepada kita semua menjadi contoh terbaik untuk kita konsistan dalam perjuangan..


Ahli Parlimen Bukit Gantang meninggal dunia
Azamin Amin
Mon Feb 09, 09 1:09:54 pm MYT

BATU GAJAH ,9 Feb (Hrkh) - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Haji Roslan Shaharum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.00 tengah hari tadi ketika dalam perjalanan ke Hospital Batu Gajah.

Beliau yang tinggal di Changkat Larang, Batu Gajah menghadapi masalah kesihatan sekembalinya daripada luar negara, demikian menurut Pegawai Khas beliau, Shaharudin Ahmad Sani kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Shaharudin mengendalikan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Bukit Gantang di Markas PAS Air Kuning, Taiping.

Parlimen Bukit Gantang mempunyai tiga DUN iaitu Changkat Jering, Trong dan Sepetang.

"Dalam lawatan beliau ke Taiwan sebelum ini, beliau pernah dimasukkan ke hospital Taiwan atas masalah gula yang tinggi.

"Apa-apa maklumat terkini saya akan sampaikan," kata Shaharudin ketika dihubungi semasa dalam perjalanannya ke Batu Gajah.

Difahamkan wakil rakyat berusia 50 tahun itu dikatakan telah menghantar keretanya ke sebuah pusat cucian kereta berhampiran rumahnya di Changkat Lalang dekat Batu Gajah.

Kemudian, selepas mengadu sakit dada beliau meminjam basikal milik pekerja pusat tersebut untuk ke farmasi bagi mendapatkan ubat.

Roslan, 50, ditemui terjatuh di bahu jalan oleh ramai kira-kira pukul 11.15 pagi, kata Ketua Polis Batu Gajah, ACP Najib Mohamad.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Nizar Jamaluddin memberitahu kira-kira pukul 1.20 tengah hari bahawa jenazah berada di Hospital Batu Gajah.

Roslan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Sumber Tenaga Manusia dan Pentadbiran di Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan pernah juga berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia, Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Teknologi Mara di Perak.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Safiah Harun dan mempunyai 11 orang anak.

Malam tadi difahamkan semasa perhimpunan rakyat di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Allahyarham kelihatan seperti biasa, bergurau berjenaka bersama rakan-rakan yang lain. Beliau yang juga pengamal pengubatan Syifaq amat disenangi oleh kawan dan lawan kata seorang kenalan.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dibawa ke rumahnya di Kampung Changkat Larang, Pengkalan Pegoh.

Pada pilihan raya unmum ke-12 8 Mac lalu, Roslan memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,566 undi.Allahyarham memperoleh 20,015 undi manakala calon BN, Abdul Azim Mohd Zabidi (Umno) menerima 18,449 dan calon Bebas, M. Morgan mendapat 872 undi. - azm _

HR9808; kami bersetuju dengan pandangan Dr. Harun Din dan rasanya ...semua hal ini ada kaitan dengan fulus dan mohon maaf selagi para Mufti belum keluar dari kepongpong pemerintahan BN ..inilah hasilnya..sebab itu para Imam Mazhab tidak mahu bekerja dengan pemerintah kerana bimbang takut kepada kerajaan sehingga fatwa jadi merapu..Jadi elok kita cadangkan kepada para mufti..bertaubat dan rujuklah kepada mereka yang lebih bertaqwa bukan mereka yang bikin takwa (orang Kedah kata ...)..

Isu Perak: Haron Din jawab Mufti Perak
Salmah Mat Husain
Sun Feb 08, 09 7:43:01 pm MYT

PENGKALAN CHEPA, 8 Feb (Hrkh) - Golongan alim ulama di Negara ini harus bersikap adil di samping memihak hanya kepada Islam dalam menyelesaikan sesuatu isu apa lagi mengeluarkan kenyataan berbaur politik

Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din, menyifatkan kenyataan Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria, yang mengeluarkan kenyataan sesiapa tidak taat kepada pemerintah dianggap derhaka dilihat sebagai tidak menepati tugasnya sebagai Mufti yang hanya wajib memihak pada Islam dan bukannya pada mana-mana individu apa lagi untuk kepentingan politik.

Menurutnya, tindakan sedemikian hanya akan mengundang kekeliruan di kalangan masyarakat, kerana golongan ulama merupakan rujukan utama masyarakat dalam masaalah agama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan mufti berkenaan yang didakwa sedemikian sebagai merujuk tindakan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Muhammad Nizar, yang enggan melepaskan jawatannya sebagai menteri besar.

Harussani baru-baru ini mendakwa, sesiapa yang tidak taat kepada pemerintah ataupun Raja yang memerintah sesebuah negeri, orang itu dianggap derhaka.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Kursus Kepimpinan Dakwah Halaqat, anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan, di Putik, di sini semalam.

"Mufti Perak telah menyatakan pendapatnya, tetapi tidak pernah berlaku seumpamanya sebelum ini di mana Mufti telah memihak pada mana-mana parti politik.

"Sepatutnya sebagai orang yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan agama, Mufti tidak seharusnya terjebak dalam kancah politik, selain hanya memihak kepada kebenaran Islam yang satu,"ujarnya lagi.

Haron Din, seterusnya memberitahu kenyataan Mufti sedemikian jelas menampakkan ianya kurang bijak dalam memberikan pandangannya berhubung kemelut politik di Perak.

"Kalau nak membuat sebarang ulasan pun biarlah ianya memberi gambaran yang jelas iaitu Islam,"ujarnya lagi.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau merujuk pada sejarah Islam bagaimana seorang alim ulama yang masyhur Izzudin Abdul Salam yang berani menyatakan kebenarannya walaupun di hadapan sultan sehingga beliau akhirnya dibuang daerah.

Menurutnya, keberanian ulama di zaman ini amat diperlukan khususnya untuk menangani kegawatan suasana politik dunia dan tempatan yang semakin meruncing.

"Hanya golongan ulama sejati yang berani mengeluarkan kenyataan yang benar walaupun sedar diri terpaksa berhadapan dengan sebarang kemungkinan,"ujarnya lagi. - mk


Nizar Jamaluddin masih MB Perak - Dr Haron Din
Lanjusoh
Mon Feb 09, 09 1:58:50 pm MYT

TANAH MERAH, 9 Feb (Hrkh) - Ketika Adun Sungai Pinang, Nordin Salleh dan Adun Limbongan, Wan Najib Wan Mohamad keluar Semangat 46 dan menyertai Umno pada 1992, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan mengisytiharkan kedua-dua kerusi itu kosong.

Nordin dikatakan menyertai semula Umno kerana tidak puas tak dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri dalam kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan).

Omar Mohamad selaku Speaker ketika itu menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan kekosongan kerusi tersebut.

Tindakan itu dibuat selaras dengan pindaan dibuat pada Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan Perkara XXX1A yang menyebut sekiranya seseorang Adun meninggalkan parti atau dipecat, maka kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya menjadi kosong.

Selepas itu SPR mengadakan pilihan raya di kedua-dua Dun terbabit dengan dimenangi calon Angkatan dari Semangat 46 iaitu Mahmood Yakub di Sungai Pinang dan Samat Mamat di Limbongan.

Namun selepas itu Nordin dan Wan Najib mencabar keputusan Speaker yang mengosongkan kerusi Sungai Pinang dan Limbongan.

Ekoran itu Mahkamah Agung memutuskan pindaaan perlembagaan Kelantan yang dibuat tidak sah dan bertentangan dengan Perkara 10(1)(c) yang menjamin hak kebebasan berpersatuan.

Mahkamah telah memberi semula kerusi kepada Nordin dan Wan Najib sehingga rakyat Kelantan menggelar mereka sebagai 'wakil mahkamah' dan bukan wakil rakyat.

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Mohd Amar Abdullah berkata, kes serupa juga berlaku di Perak sekarang, namun SPR telah bertindak di luar bidang kuasanya.

Katanya SPR enggan menerima keputusan Speaker yang menggosongkan kerusi Behrang, Changkat Jering dan Jelapang apabila Adun berkenaan mengisytiharkan keluar dari KeADIlan dan DAP.

"SPR tidak wajar meragui surat yang dibawa Speaker, V Sivakumar apabila menerima surat perletakan jawatan daripada Mohd Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi. Tindakan yang sepatutnya diambil SPR mengisytiharkan pilihan raya.

"Namun apa yang berlaku di Perak, SPR menafikan surat yang dibawa Speaker, sedangkan hak menentukan kerusi kosong atau tidak itu hak speaker," katanya pada ceramah di padang Majlis Daerah Tanah Merah di sini, malam semalam.

Dan kata beliau apabila Adun Behrang dan Changkat Jering tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker, mereka boleh mencabarnya di mahkamah.

Mohd Amar yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, Speaker merupakan orang ketiga berpengaruh di sesebuah negeri selepas Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar.

Menurutnya hujah serupa juga diutarakan ahli-ahli akademik di mana mereka mempertikaikan kerajaan baru ditubuh tanpa melalui undi tidak percaya di Dun.

Kata beliau ramai cendikiawan berhujah kerajaan hanya boleh ditukarkan melalui undi tidak percaya yang dibawa ketika persidangan Dun diadakan dan bukan seperti berlaku sekarang.

Oleh itu beliau berkata, kerajaan Perak yang baru dibentuk di Perak sekarang adalah tidak sah.

Padang tempat berlangsung ceramah tersebut penuh sesak dengan kehadiran orang ramai. Segenap ruang padang dipenuhi penduduk tempatan.

Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Harun Din dan Yang Dipertua PAS Tanah Merah, Wan Yusof Wan Mamat.

Harun berkata, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin masih lagi dianggap sebagai Menteri Besar Perak kerana undang-undang menetapkan pemecatan boleh dilakukan melalui usul tidak percaya di Dun.

"Saya hendak bertanya pihak berkenaan peruntukan mana yang digunakan meminta Menteri Besar meletak jawatan. Mengapa tidak boleh tunggu sehingga persidangan Dun berlangsung.

"Atau mungkin mereka bimbang ketiga-tiga Adun terbabit akan berpatah balik kepada Pakatan Rakyat," ujarnya. - mj _

BERNAMA salah lapor kenyataan Aziz Bari

Tarmizi Mohd Jam
Mon Feb 09, 09 12:40:32 pm MYT

IPOH, 9 Feb (Hrkh) - Bernama telah membuat laporan yang silap mengenai kenyataan Profesor Dr Abdul Aziz Bari Jumaat lalu. Bagaimanapun beliau mengakui ia mungkin berlaku kerana beliau sendiri tersasul dalam perbualan telefon dengan wartawan dari agensi berita berkenaan.

Aziz berkata beliau tidak bermaksud mencadangkan supaya sultan menarik balik perlantikan jawatan Menteri Besar Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin. Beliau berkata ini tidak boleh dilakukan kerana sultan tidak mempunyai kuasa berbuat demikian di sisi perlembagaan.

Profesor undang-undang itu berkata apa yang boleh dilakukan ialah menarik balik perlantikan Dato Dr Zambry Kadir atas alasan salah pertimbangan atau salah kira.

"Itu pernah berlaku di Sabah pada 1985 apa TYT Tun Adnan Robert menarik balik perlantikan Tun Datu Mustapha selaku Ketua Menteri Sabah atas alasan beliau ditekan oleh beberapa orang yang menceroboh masuk ke kediaman rasmi beliau", jelas Aziz.

Harakah cetak edisi Isnin (Bil1413, 9-12 Februari 2009) memuatkan laporan Bernama mengenai kenyataan Aziz pada halaman N.9 Dalam kes berkenaan Tun Mustapha menyaman Tun Adnan Robert tetapi ditolak oleh mahkamah.

Bagaimanapun Aziz menjelaskan soal itu ialah soal teknikal dan apa yang lebih penting di Perak sekarang ialah cadangan beliau untuk menyelesaikan kemelut dan krisis politik yang berterusan. Beliau berkata krisis itu sudah berlanjutan dan perlembagaan tidak menyediakan sebarang peruntukan untuk menanganinya. Aziz berkata menunggu keputusan mahkamah agak lama dan ketika itu ia mungkin terlambat dan keadaan sudah semakin teruk.

"Dalam keadaan sekarang sultan mempunyai autoriti untuk mengambil beberapa langkah drastik dan tidak ada siapa pun termasuk mahkamah yang boleh mempersoalkannya", tegas beliau.

Aziz berkata di bawah teori undang-undang perlembagaan sultan mempunyai kuasa khas atau kuasa simpanan untuk membubarkan dewan tanpa permintaan dari kerajaan yang ada. Beliau berkata keadaan sekarang kelam kabut dan sultan tidak boleh memberi perintah atau arahan kerana kerajaan tidak bergantung kepada mandat istana.

"Bagaimanapun sultan boleh bertindak atas sifat sebagai pelindung atau penjaga negeri dan perlembagaan. Kuasa ini meskipun kontroversial ia boleh digunakan untuk melaksanakan demokrasi. Bagaimanapun ia tidak boleh digunakan untuk kepentingan peribadi sultan. Ia mesti digunakan dalam konteks menjernihkan keadaan dan memulihkan demokrasi".

Aziz berpendapat apa yang dilakukan oleh istana Terengganu Mac 2008 lalu sebenarnya adalah kuasa khas atau kuasa simpanan. Ini kerana, katanya, perlantikan itu tidak mengikut peruntukan biasa yang menangani isu perlantikan. Ketika itu Umno, yang memiliki majoriti dalam DUN Terengganu, mahukan Dato' Seri Idris Jusoh yang bagaimanapun ditolak oleh istana. Apa yang menarik ialah perlantikan itu disenangi oleh rakyat.

Di Perak sultan boleh menggunakan pertimbangan yang sama untuk membubarkan dewan bagi membolehkan pilihan raya. Jika dilihat kepada reaksi rakyat dan beberapa pungutan suara jelas rakyat mahukan dewan dibubarkan.

Aziz berkata cara sultan melantik Zambry sebenarnya betul di dalam keadaan yang biasa. Dan itulah yang dilakukan oleh Sultan Selangor, Raja Perlis dan Raja Nazrin sendiri Mac 2008 lalu.

Bagaimanapun, kata Aziz, dalam konteks pergolakan politik di Perak minggu lalu yang merupakan kemuncak kepada beberapa kejadian misteri seperti kehilangan, penculikan dan dakwaan rasuah formula tersebut tidak tepat dan ini jelas kelihatan dalam protes yang meletup selepas Sultan melantik Zambry.

Aziz berkata sultan boleh menangguhkan perlantikan tersebut apalagi di dalam keadaan kerajaan yang ada telah pun memfailkan saman mengenai status tiga ADUN yang menjadi misteri itu.

"Pendeknya, formula yang dipakai oleh sultan meskipun betul bukanlah merupakan ubat yang sesuai bagi penyakit yang sudah kronik itu. Takkanlah kita nak beri panadol setiap kali kita pening kepala. Mungkin pening kepala itu petanda penyakit lain", ujarnya dan Aziz berpendapat undang-undang perlu ditafsir dalam konteks moden.

"Sekarang kita ada emel, blog dan segala macam. Pada 1956 itu semua tidak ada. Dan sebab itulah perlembagaan meletakkan budibicara yang seolah-olah mutlak di tangan Raja. Hari ini dengan teknologi canggih yang ada kita tahu apa yang rakyat mahu dan mereka jelas hendakkan pilihan raya.

"Pada saya tidak wajar faktor itu tidak diambilkira. Dan kita jangan lupa Suruhanjaya Reid mengingatkan Raja-Raja supaya meletakkan kepentingan negara dalam soal pembubaran dewan,"katanya.

Aziz mengakui memang ada insiden penolakan permintaan pembubaran dewan sebagaimana yang berlaku di Kelantan pada 1977. Tetapi, katanya, tindakan Pemangku Raja ketika itu - Sultan Kelantan sekarang - adalah betul di dalam suasana ketika itu. Prinsip Kelantan tidak boleh digunapakai di Perak dalam senario 2009.

Aziz menjelaskan meskipun peruntukan mengenai perlantikan kerajaan dan pembubaran dewan semacam berasingan kedua-duanya harus ditafsir bersama. Jika tidak akan berlaku kekecohan sebagaimana yang wujud di Perak sekarang.

Aziz menyebut bahawa dalam satu syarahan di INTAN tahun lalu Raja Nazrin sendiri menegaskan bahawa "Raja-Raja tidak pekak dan bisu". - azm _

HR9808: Raja atau Sultan..tolong tenguk ke langit dan bumilah..yang menciptakan semua ini bukan kamu..tapi Raja segala raja..jadi..hakikatnya kita semua sama...Insaflah dan bertaubatlah!!!

Tindakan Karpal bersifat peribadi, Umno 'berselindung' atas nama istana
Azamin Amin
Mon Feb 09, 09 9:59:53 am MYT

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Hrkh) - PAS berpendapat bahawa cadangan tindakan yang sedang diambil oleh Peguam Karpal Singh untuk menyaman Baginda Sultan Perak adalah tindakan peribadi beliau dan tidak pernah dibincangkan, serta tidak pernah juga dipersetujui oleh mana-mana pimpinan parti politik dalam Pakatan Rakyat.

Presiden PAS Dato� Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS sekali lagi ingin mempertegaskan pendirian bahawa parti itu senantiasa mendukung prinsip rukun negara termasuklah prinsip kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Katanya sudah tentu rakyat tidak lupa akan tindakan tanpa susila yang dimulai oleh kerajaan pimpinan Umno dan Barisan Nasional pada tahun 1993 semasa pindaan perlembagaan terhadap kuasa imuniti Raja-Raja dilakukan.

"PAS berpendapat bahawa untuk memastikan keadilan terpelihara, semua pihak dalam negara kita ini termasuklah Umno seharusnya menghormati ketiga-tiga intipati penting dalam mendepani suasana yang sedang berlaku di Perak," kata Ustaz Hadi.

Image"Oleh yang demikian, tindakan pihak tertentu dalam Umno yang cuba untuk mengheret dan berselindung di sebalik Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak dalam tindakan mereka untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak adalah amat dikesali," kata Ustaz Hadi dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily. - azm _





'Roslan tinggalkan rekod baik untuk pemimpin kemudian'
Azamin Amin
Tue | Feb 10, 09 | 12:09:42 pm MYT

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Hrkh) - Rekod kepimpinan yang baik dan sikap mesra rakyat yang ditunjukkan oleh Allahyarham Roslan Shaharom, memberi kesan serta meninggalkan laluan 'mudah' kepada pemimpin yang bakal bertanding seterusnya menerajui khidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang yang baru.

Demikian diluahkan Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Ahmad Awang tentang kehilangan besar PAS terhadap pemergian seorang sahabat dan pemimpin yang disenangi ramai itu.

"20 tahun saya kenal dengannya dan mula-mula ketika dalam Persatuan Ulama Malaysia dimana beliau adalah Setiausa persatuan bagi cawangan Perak. Hasil usaha beliau dan rakan-rakan, akhirnya Perak kini mempunyai 10 Pusat al-Quran yang melahirkan ramai tahfiz.

"Selain menjadi anak murid Dr. Haron Din, beliau begitu disenangi kerana banyak berjasa dalam memberi khidmat sebagai pengamal perubatan Islam," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Jelas Ustaz Ahmad, ketika hariu pengebumian Allahyarham selama, ratusan orang ramai dan penyokong menghadirinya termasuk di kalangan kaum Cina dan India yang merasai kehilangan pemimpin berjasa itu.

"Mereka kata, jarang dengar dia bersuara kasar. Tenang dan banyak membantu penduduk setempat yang menghadapi masalah malah mereka susah hati dengan kehilangannya," kata Ahmad yang ditemui oleh beberapa orang penyokong kaum India semalam.

"Insya-Allah, dengan rekod yang baik yang ditinggalkan Roslan, akan memudahkan laluan pemimpin atau calon untuk mencapai kemenangan," katanya yang juga merupakan Naib Presiden PAS.

Kepada kaum keluarga, Ustaz Ahmad merakamkan ucapan takziah dan berharap diperkutakan kesabaran mengahadapi ujian yang cukup berat malah berharap agar para penyokong dan penduduk di Bukit Gantang meneruskan perjuangan yang ditinggalkan Allahyarham semasa hayatnya.

"Kasih sayang Allah terhadap Roslan mendahului kita dan walaupun ianya takdir nbamun begitu berat kepada keluarga dan PAS juga. Kita berharap semua bersabar dan terus memberi sokongan kepada perjuangan yang ditinggalkan," katanya Ustaz Ahmad yang turut mengimami solat jenazah Allahyarham semalam.

Pada pilihan raya unmum ke-12 8 Mac lalu, Roslan memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,566 undi.Allahyarham memperoleh 20,015 undi manakala calon BN, Abdul Azim Mohd Zabidi (Umno) menerima 18,449 dan calon Bebas, M. Morgan mendapat 872 undi. - azm _

No comments:

Post a Comment

silakan komen dan beri pandangan anda untuk kebaikan semua!!